Monday, March 23, 2015

Perlunya Memilih Pekerjaan


Aku berlindung kepadaMu ya Allah daripada syaitan yang direjam.
Dengan Nama Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah,
Selawat Salam atas Baginda SAW, ahlul bait, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Alhamdulillah atas nikmatNya, Alhamdulillah atas ujian ketentuanNya.



Bergelar penganggur yang masih junior kerana belum mencecah setahun menganggur, terasa juga ingin berkongsi sesuatu berdasarkan pengalaman sendiri. Almaklumlah…tulisan cerita tentang perihal diri sendiri, memang tidak banyak manfaat kepada umat kerana diri ini bukan tokoh atau ilmuwan, sekadar hamba Allah SWT yang masih lagi bertatih mengenal Allah SWT. Yang baik, ambillah..semoga pahala manfaatnya dapat memberi saham buat diri ini di akhirat nanti. Yang buruk, diri ini berlapang dada sepenuhnya insyaAllah menerima teguran & kritikan.

Jawatan Kosong, Kerja Kosong..pelbagai lagi kata kunci yang terpacul keluar sepanjang proses mencari pekerjaan di laman sesawang. Memang banyak peluang kosong, banyak juga kehendak majikan, banyak juga pilihan, banyak juga keperluan jadinya pasti kita akan berhadapan dengan pelbagai pilihan.

Dek lemahnya diri & kurangnya pengetahuan tentang apa yang terbaik untuk diri sendiri, kerana itu seringlah kita berdoa semoga Allah SWT memberikan pekerjaan yang terbaik untuk diri, keluarga, agama, dunia & akhirat kita.

1.       Diri sendiri.
Kita lebih maklum tentang potensi diri kita walau apa jua kelulusan pendidikan kita. Ada yang bertahun belajar tentang haiwan, tapi minat sebenarnya pada tumbuhan & berasa yakin untuk mencari pekerjaan di bidang tumbuhan iaitu bidang yang diminati. Silakan.

Kita juga lebih tahu apa kekuatan & kelebihan diri kita. Kita mampu menerima bebanan tugas yang banyak atau kita mudah tertekan dengan suasana kerja yang tegang, kita sendiri lebih tahu apa yang kita harus lakukan. Menerima suasana itu & mendidik diri untuk lebih kuat menerima tekanan atau memilih pekerjaan yang lebih menenangkan diri.

Kita juga harus tahu apa yang kita ingin sumbangkan kepada Islam melalui pekerjaan yang ingin kita ceburi. Adakah pekerjaan itu mampu menjadikan kita lebih dekat kepada Allah SWT atau lebih menjauh? Akan kita kupas isu itu dari sudut pilihan ‘agama’ sebentar lagi.


2.       Keluarga.
Kita lebih tahu apakah kondisi keluarga kita sendiri. Jadinya, kita harus sedar & bijak untuk membahagikan tuntutan keluarga & keperluan kita mencari rezeki.

Berbicara tentang diri sendiri (bukan syok sendiri, tetapi sebagai panduan buat sahabat yang pastinya lebih hebat dalam membuat keputusan berbanding diri saya yang faqir)…
-          Ibu sering tidak sihat.
-          Seorang adik akan menghadapi peperiksaan penting pada tahun ini.
-          Seorang adik akan menghadapi peperiksaan ulangan yang penting pada tahun hadapan & dia perlu belajar sendiri kerana telah pun berhenti sekolah lebih awal.

Jadinya, saya agak bertegas untuk mendapatkan pekerjaan yang tiada shif, cukup sekadar office hours kerana tuntutan keluarga. Mereka tidak minta untuk saya berbuat demikian tetapi saya merasakan itu keperluan saya. Home Tutor untuk adik sendiri itu keperluan buat saya buat masa ini. Sememangnya gaji yang banyak turut menyumbang untuk keluarga saya gembira tetapi keberadaan saya di sisi mereka pada kebanyakan masa itu lebih utama.


3.       Agama.
Pemilihan ini yang paling penting. Redha Allah SWT terletak di sini.

Tidak dinafikan pelbagai kerja yang ada dihadapan mata & mudah sahaja untuk lepasan universiti memohon pekerjaan itu contohnya di 7 Eleven, Tesco, Aeon & sebagainya yang hampir sama. Saya mendedahkan terus industri ini bukan untuk mengaibkan, cuma ini cara untuk saya lebih membuka mata para gadis-gadis yang saya kasihi kerana Allah SWT.

Masih banyak lagi pekerjaan yang tidak meraikan ‘keperluan’ seorang gadis / wanita Muslim dengan baik. Apakah itu ‘keperluan’ gadis / wanita Muslim?
-          Solat pada waktunya.
-          Menutup aurat dengan sempurna.
-          Pemeliharaan diri daripada ikhtilat melampau.

Masih ada industri yang tidak membenarkan pekerja Musim solat pada waktunya dengan cara memberikan waktu rehat pada waktu yang tidak sesuai. Contohnya jam 12.00 tengahari hingga 1.00 petang sahaja sedangkan waktu Zuhur masuk pada jam 1.15 petang.

Masih ada industri yang tidak membenarkan pekerja Muslim wanita menutup aurat dengan sempurna. Mereka diwajibkan untuk memasukkan tudung dalam kemeja berlengan pendek, pastinya nampak bentuk dada sedangkan seorang gadis / wanita Muslim itu diminta untuk melabuhkan tudung / kain menutupi dada. Ada juga diantaranya yang diminta untuk memasukkan baju ke dalam seluar yang pastinya akan menampakkan bentuk punggung / bahagian belakang mereka. Ada juga diantaranya yang diminta untuk memakai baju company yang sememangnya ketat & langsung tidak dibenarkan untuk memilih saiz yang longgar.

Masih ada juga industri yang tidak memelihara kehormatan wanita sebagai aurat yang perlu dijaga. Mereka diwajibkan untuk berjabat tangan dengan para lelaki yang dikatakan berjawatan tinggi dalam company atau pelanggan sebagai tanda menghormati mereka & menjadikan itu sebagai budaya biasa dalam pekerjaan.

4.       Dunia & Akhirat
Saya tidak dapat menghuraikan lebih tentang pemilihan ini. Bagi saya, ini rahsia Allah SWT cuma kita juga perlu bijak menilai apa yang baik & buruk buat diri kita. Jauhi syubhat & perkara yang melalaikan. Segala apa yang Allah SWT berikan insyaAllah itulah yang terbaik buat diri kita. Semoga kegigihan kita mencari rezeki yang berkat atas dunia ini diberi ganjaran oleh Allah SWT kesenangan buat kita sekeluarga di akhirat kelak.

Seperti yang sering kita dengar, ‘setiap orang punya bahagian masing-masing…’. Jadinya bersyukurlah dengan bahagian masing-masing. Mungkin ada perasaan kurang berpuas hati dengan tulisan saya pada kali ini. Ini pandangan peribadi saya yang faqir. Jangan pula selepas membaca tulisan saya ini, kita berubah watak menjadi lebih sensitif dengan mereka-mereka yang berpakaian sendat di 7 Eleven misalnya sehingga banyak pula lintasan hati kita yang menghina mereka. Kita sensitif & peka dengan mereka biarlah kerana kita mendoakan mereka supaya terus dijaga Allah SWT. Siapa tahu pahala mereka bermujahadah untuk mengubah kebiasaan itu diberkati Allah SWT? Siapa tahu setiap hari dia gigih berdoa semoga Allah SWT mengubah kemungkaran yang ada dalam suasana pekerjaannya? Alam ini tersangatlah kecil jika dibandingkan dengan kekuasaan Allah SWT yang Maha Agung. Bersangka baiklah sentiasa.

Sehingga kini, saya masih lagi belum beroleh sebarang pekerjaan. Doakan semoga urusan saya & keluarga dipermudahkan Allah SWT, dimurahkan rezeki yang diberkati, dijauhkan daripada menjadi hambaNya yang berputus asa dengan rahmatNya, & diberikan kecukupan dunia dan akhirat.

Allah SWT itu Maha Agung, mintalah padaNya dalam setiap ketika. Yakinlah bahawa ketenangan hati itu juga nikmat rezeki dari Allah SWT yang Maha Baik.



.: Sedarkah kita bahawa Allah SWT mungkin sedang bersangka baik dengan kita bahawa kita akan bertaubat daripada dosa-dosa kita, kerana itulah Dia menangguhkan balasan azab buat kita sang pendosa? Bersangka baiklah sentiasa. :.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...