Friday, February 27, 2015

Tidak Mampu; Terus Merindui Dia

Dengan Nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat & Salam atas Baginda SAW, ahli keluarga,
para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
ALHAMDULILLAH atas nikmatNya, ALHAMDULILLAH atas ketentuanNya.





Selepas bercerai, ibulah tempat untuk dia menumpang kasih. Namun, dia tidak mampu.

Tidak mampu untuk sering menziarahi ibu dek tiadanya duit yang mampu dihulurkan kerana dirinya juga sesak menanggung hutang demi suapan buat sang anak-anak makan.

Tidak mampu juga untuk dia sering menghubungi ibu di kampung kerana segannya untuk menjawab permintaan sang ibu yang menginginkan dirinya pulang sedangkan dia tidak mampu kerana tidak berwang..tiada juga kenderaan..terlalu banyak kekangan menghalang perjalanan.

Tidak mampu juga untuk dia sering mengadu menceritakan rasa dihatinya kerana insan yang bercerai hidup dengannya ialah menantu yang sangat disayangi ibunya suatu ketika dahulu..takut terobek lagi tercalar pandangan ibu terhadap insan itu.

Tidak mampu juga untuk dia sering menceritakan masalahnya kerana sehingga kini dia masih menumpang rumah insan itu dengan izin si tuan rumah..masih menggunakan apa yang ada biarpun yang ada itu pun serba kekurangan.

Tidak mampu juga untuk dia meluah rasa kerana sedar layak dirinya hanyalah diam..kerana dia tidak mahu menambahkan susah si ibu memikirkan nasibnya.

Tidak mampu untuk banyak bercerita kerana pendam itulah pilihannya..sehingga bergolak jantungnya menahan derita yang ada.



Namun...

Aku juga bersaksi bahawa dia juga satu-satunya insan yang paling tidak mampu menahan air mata yang tumpah saat ibunya dibawa ke kuburan..diletakkan di dalam tanah. Saat orang lain semuanya tenang, dia insan yang paling teresak tangisnya..dan aku tidak pernah melihat tangisan dia sehebat itu. Selesai tamat ibunya dikuburkan pun air matanya masih laju berderai biarpun tika yang lain sudah lama tenang menerima ketentuan.

Aku juga tahu bahawa tangisan dia itu bukannya tangisan tidak redha menerima ketentuan..tetapi kerana terlalu banyak perkara yang 'terkilan'. Terlalu banyak yang dikesalkan..namun aku tahu dia bukan sengaja untuk berbuat semua itu kerana dia sememangnya tidak mampu. Segan hidup meminta, lebih segan lagi untuk hidup menyusahkan ibunya.

Aku juga tahu tangisan itu tanda dia memohon kekuatan dari Allah SWT yang Maha Kuat..bercerai hidup dengan sang suami..bercerai mati dengan si ibu sendiri.



Jadinya...

Dek kekesalan itu..dek terkilan itu..ada suatu hasratnya yang ingin ku kabulkan. Bernikah di rumah ibunya kerana itu antara hasrat terakhir ibunya untuk melihat diriku bernikah di rumahnya kerana selain mengejar cinta yang Allah SWT redha, aku ingin menjaga cinta yang sememangnya sedia ada antara aku dan dia.

Aku cinta dia.
Aku kasih ibunya.

Aku cinta dia.
Dia ialah ibuku tercinta.


Semoga syurga tempat semua insan yang aku sayangi.

Al-fatihah buat arwah nendaku, Sipah binti Mastan.
Kakyang rindu wan.




.: Berderet orang berkahwin setiap minggu, terus dikatakan 'musim orang kahwin'. Setiap hari ada yang pergi kembali bertemu Ilahi namun kita tidak katakan 'musim orang meninggal dunia'. Sungguh, kehidupan dunia ini sementara, kehidupan akhirat kekal menanti di sana :.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...