Friday, January 23, 2015

Pemergian Nenda

Dengan Nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat & Salam atas Baginda SAW, ahli keluarga,
para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Alhamdulillah atas nikmatNya, Alhamdulillah atas ketentuanNya.



Bismillah. Tidak pernah lagi setakat ini minggu belajar yang mudah dikenal pasti sebagai ‘study week’ sunyi daripada perhatian Allah SWT. Jika sebelum ini, pernah Allah SWT berikan amanah menjaga adik yang sedang dalam proses untuk meninggalkan tabiat ketagih hidu gam yang agak teruk…kini Allah SWT berikan hadiah istimewa melalui pemergian nenda tercinta kembali bertemuNya. Al-fatihah~

Dalam masa merehatkan minda daripada soalan matematik yang benar-benar menguji otak & keikhlasan jiwa di saat tempoh peperiksaan yang semakin dekat, jari-jemari ini terasa ingin menari riang atas papan kekunci computer riba pinjaman ini. Terasa benar lain debarnya untuk menghadapi peperiksaan akhir pada se mini, mungkin kerana status ‘repeated’…jadi fokus, usaha, & harapannya luar biasa.


Pemergian nenda tercinta



Mesej pagi tadi daripada ibunda tercinta benar-benar membantutkan fokusnya untuk kembali menelaah pelajaran sempena peperiksaan akhir setelah hampir seminggu tidak langsung menyentuh buku dek sibuk cutinya bersama urusan keluarga. Ayah berjanji akan pulang ke kampung bersamanya pada keesokan harinya untuk menziarahi nenda yang sedang tenat di hospital & dikatakan tiada harapan mengikut logik akal seorang doktor perubatan yang lebih berilmu pengetahuan.

Namun, bentak hatinya tetap ingin bertola ke kampung pada hari itu juga. Izin diminta dari sang ayah untuk pulang ke kampung pada hari itu juga & ayahnya perlu menyusul kemudian dek cuti yang diluluskan untuk ayahnya bermula pada keesokan harinya. Izin diberi, barang-barang dikemas rapi. Dalam kelam-kabut mengejar waktu perjalanan bas yang entah bila targetnya, Allah SWT datangkan 2 orang hamba Allah SWT yang solehah yakni adik-adik kampus tercinta, Amirah & Athirah (bukan nama sebenar) untuk menghantarnya ke terminal bas. Dalam kesempitan wang yang mereka ada, turut juga dihulurkan sedikit sumbangan wang bagi menemani perjalanan kakaknya itu. Allah SWT yang Maha Pemurah mengurniakan sahabat-sahabat & insan-insan yang pemurah juga hatinya.

Dalam perjalanannya, mesej daripada adik tercinta diterima;
“Along, nanti kau balik rumah tolong singgah tempat kerja aku boleh ke? Aku nak RM5, aku tak makan pape lagi dari semalam, hari ni makan kentang goreng je. Malam ni ada pasar malam.”
“Boleh.” Laju mesej adiknya dibalas.

Belahan dompetnya diselak, sekeping nota RM 20 miliknya sahaja yang tinggal. Andai itu diberi pada adiknya, tiada lagi wang yang tertinggal buat dirinya kerana dia tidak pernah meminta baki daripada adiknya malah sering memberi lebih sedangkan dirinya sendiri tidak berwang. Baru dia teringat, beberapa keping duit yang diberi sang adik-adik kampus tercinta sebelum dia bergerak menuju ke bas. Alhamdulillah sekeping nota wang RM 5 ada diselitkan oleh mereka. Setibanya di taman perumahannya, dia memberikan RM 7 buat adiknya itu.

Bersangka baik sentiasa dengan Allah SWT.
Bersangka baik sentiasa dengan Allah SWT.
Bersangka baik sentiasa dengan Allah SWT.

Hikmah yang besar dalam kesempitan yang diberi Allah SWT kepada dirinya & keluarganya ialah kini adik-adiknya lebih bertanggungjawab mengambil kakak mereka di hentian KTM. DI balik titisan hujan yang agak lebat, pulanglah 2 beradik itu ke rumah. Menarik, indah dalam susah. Selepas mengemas rumah, bergeraklah mereka bertiga ke hospital dengan menaiki 2 motor; dirinya menumpang adiknya yang agak ‘nakal’ manakala adiknya si penuntut universiti itu menaiki motor yang lain. Benarlah lain biah, lain sikapnya. Adiknya yang agak nakal menunggang motor ibarat pelesit di tengah lebuhraya dalam kehujanan yang agak lebat & gelapnya suasana sedangkan adiknya yang menunggang motor keseorangan entah di mana posisi nya yang pastinya tidak begitu jauh dari posisi mereka. Menarik, biar kuyup namun terasa berkat susah yang Allah SWT beri...ikatan keluarga itu makin dekat.

Bersangka baik sentiasa dengan Allah SWT.
Bersangka baik sentiasa dengan Allah SWT.
Bersangka baik sentiasa dengan Allah SWT.

Setibanya di hospital, keadaan nenda sememangnya tenat. Beliau sudah tidak sedarkan diri. Kata orang jika sudah ‘jatuh’ anggota tubuh seseorang, ajalnya semakin hampir. Tubuh beliau sememangnya jatuh, baik kaki mahupun hidungnya. Semua yang hadir sudah redha untuk melepaskan beliau pergi menghadap Ilahi kerana dia hanya bergantung dengan mesin untuk terus bernafas. Masa lawatan yang semakin hampir ke tamatnya, memaksa tiga beradik itu untuk mengundur diri terlebih dahulu. Dalam hujan yang lebat itu, ditunggang laju motor masing-masing untuk ke kampung menemani ibu yang tinggal seorang diri. Ibu memasakkan telur dadar buat santapan mereka bertiga yang kelaparan. Selepas isya’, kembali mereka menunggang motor ke rumah dalam hujan yang lebat. Tinggallah si kakak itu sendirian apabila adik-adik lelakinya keluar untuk urusan masing-masing pada malam itu.

Tika sedang lena tidur dek kepenatan seharian dibasahi hujan, panggilan daripada ibu mengejutkannya. “Wan dah takde.” Fahamlah dirinya nenda beliau sudah kembali ke rahmatullah. Ayah yang tiba di stesen bas terus menuju ke hospital menaiki tekssi untuk bertemu dengan nenda buat kali yang terakhir. Namun, baru sahaja tiba di pintu hospital ayah dikejutkan dengan berita pemergian nenda tercinta pada waktu itu. Terkilan benar hatinya apabila mendapat berita itu kerana sejak perceraian antara ibu & ayah, ayah belum sempat bersua muka dengan nenda.

Kini jasad itu telah selamat kembali ke rahmatullah. Doa-doa yang dititipkan ketika pengebumian jasad itu cukup memberi kesan kepada hati-hati yang berfikir. Sejauh mana dakwah itu digagahkan buat insan sekeliling terutama buat ahli keluarga yang masih jauh dari Allah. Semoga Allah SWT redha atas setiap usaha.

Al-fatihah buat arwah nenda…


.: Cinta itu akan benar-benar utuh jika terus gagah ditempuh ujian. Begitu juga kasihnya Allah SWT, semakin Dia sayang…semakin banyak ujian yang Dia beri. Bukan kerana Dia ingin menjatuhkan pencinta-Nya tetapi kerana Dia ingin pencinta-Nya sentiasa dekat dengan Dia :.  



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...