Friday, January 23, 2015

Kegembiraan Berterusan

Dengan Nama Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Selawat & Salam atas Baginda SAW, ahli keluarga,
para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Alhamdulillah atas nikmatNya, Alhamdulillah atas ujian & ketentuanNya.




Allah SWT ajar sabar melalui ujian,
Allah SWT ajar redha melalui musibah,
Allah SWT ajar berlapang dada melalui kesempitan.

Fitrah hamba..sentiasa hidup dalam keadaan berharap kepada Penciptanya. Diberi ujian, dia berharap akan kesabaran. Diberi nikmat, dia berharap akan kesyukuran. Hati yang kecil itu penuh dengan segala kerumitan. Hati itulah yang gembira apabila dia mendapat sesuatu yang dia suka, hati itu jugalah yang menangis mendapat sesuatu yang tidak diharapkan. Namun, hanya Allah SWT yang berhak secara mutlak menjaga hati itu agar sentiasa dalam redhaNya biarpun hati itu ditimpa pelbagai jenis perasaan yang sukar digambarkan.

Sayyidah Hakama…berhadapan dengan ujian kehidupan & peribadi, memberinya rasa syukur yang tinggi apabila dirinya ditunangkan dengan hamba Allah SWT yang dilamarnya. Melihat cinta sang jejaka itu yang tinggi terhadap Rasulullah SAW, hatinya terpaut untuk menjadikan sang jejaka itu pembimbing dirinya & keluarganya kerana hanya yang cinta kepada Rasulullah SAW akan dapat menyayangi umat Rasulullah SAW. Biarpun belum dapat Islam itu diamalkan sepenuhnya dalam keluarganya, sunnah Rasulullah SAW pun masih lompang dalam gaya hidup keluarganya namun dia masih tidak berputus asa untuk membawa sekurang-kurangnya tempias keberkatan Rasulullah SAW ke dalam keluarganya.

Almaklum hati yang sudah berpunya pasti akan merasa gembira apabila penantian kepada seorang pemimpin qawwiy yang didambakan untuk membawa diri & keluargnya ke syurga semakin ke penghujungnya. Tarikh walimah itu sudah dihebahkan tanpa dimaklumkan siapa bakal suaminya. Tidak disangka, ramai sungguh insan yang menyayangi dirinya sebenarnya. Pelbagai respon bahagia & positif yang diberikan oleh insan-insan sekelilingnya. Dia juga berbahagia melihat respon sahabat-sahabat yang turut bahagia. Dirahsiakan siapa pasangannya kerana segan & niatnya untuk mengelakkan ruang fitnah yang mampu terbuka & paling penting kerana belum lagi sampai kepada keperluan untuk mendedahkan insan itu.

Beberapa ketika kemudian, hebahan walimah perlu didedahkan beserta nama pasangannya untuk memudahkan urusan sahabat-sahabat datang ke walimah mereka bersama. Tersebar luas sudah hebahan itu. Panas disangkan hingga ke petang tapi hujan bersinggah di tengah hari. Walimah tersebut terpaksa ditangguhkan. Tarikh nikah terpaksa diubahkan. Segala perancangan dirombak, perancangan Allah SWT juga yang menjadi sesuatu yang pasti.

Tumbang dirinya. Demam tiba-tiba. Allah SWT bagi hadiah. Hadiah yang sungguh merobek hatinya. Selepas satu..satu lagi ujian yang Allah SWT beri. Dia mengambil masa yang agak lama untuk benar-benar redha dengan segala apa yang Allah SWT beri.

Dah ramai ni nak survey bas untuk pergi walimah kau.

Sepantas mungkin terus laju laptop nya dibuka, gambar diedit, dipost kan dalam Facebook untuk hebahan walimah itu ditangguhkan supaya tidak ada pihak yang bersusah-susah untuk ke walimah mereka yang tidak tahu bila.


“Berhijrahlah kamu untuk mencari ketenangan.”


Beberapa hari selepas peristiwa itu, hatinya masih lagi lemah. Pantang mendengar perkataan yang mengusiknya tentang perkahwinan, pernikahan & seangkatan dengannya pasti bergenang sekolam mutiara matanya walaupun niat kawan-kawan hanyalah untuk bergurau senda. Hanya Allah SWT tahu betapa rapuh hati itu menerima ketentuan waktu itu.

Selepas selesai urusan boring audit pengijazahan & sebagainya di fakulti, dia akan kembali ke kampung halaman yang jauh nun di utara. Dia sering termenung sewaktu itu untuk mencari kekuatan dirinya. Diluahkan rasa kepada sahabat baiknya, “Tak tahu nak kerja apa. Boleh ke nak kerja jadi penulis buku je? Minat menulis je ni.” Saja dialihkan fokus hidupnya untuk terus mencari pekerjaan sedangkan Allah SWT maha tahu bahawa dia sedang berusaha untuk melupakan segala pahit yang dirasa. Pada waktu itu, dia dalam keadaan beruzlah sebenarnya..menjauhkan diri daripada sahabat-sahabat yang mengenalinya kerana belum cukup kuat masih lemah & kurang lagi keyakinan berhadapan dengan orang lain. Namun, Allah SWT mengizinkan juga sahabatnya menemuinya sebelum keberangkatan ke kampung halaman.


“Kami sahabat-sahabat mampu sumbang sebanyak ini kepada awak.
Tidak kisahlah bila-bila pun walimah awak, nanti gunalah duit ini.”


Allahuakbar..mengalir terus air matanya. Badan yang lemah itu dirangkul erat dalam pelukan sahabat. Dua sahabat itu menangis bersama. Pesanan turut sempat disisipkan buat dirinya. Syukur. Hanya terima kasih mampu diucapkan tika itu. Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak juga berterima kasih kepada Allah SWT. Dia juga sedar sumbangan itu turut diberikan oleh sahabat-sahabatnya yang juga tidak begitu berkemampuan. Sungguh, kadangkala sedekah daripada orang yang tidak mampu itu lebih tinggi nilainya daripada sedekah orang yang kaya-raya. Allah SWT mengasihi orang-orang yang kurang mampu dalam harta tetapi masih berkemampuan hebat untuk bersyukur. Syurga itu kebanyakan ahlinya ialah yang kurang berharta di dunia namun tinggi nilai syukurnya.

Dalam perjalanan ke kampung halamannya itu, Sayyidah Hakama memikirkan secara dalam & tenang atas setiap ketentuan yang berlaku dalam hidupnya kini. Di saat dia sudah redha bahawa urusan pernikahannya ditangguhkan, Allah SWT berikan sesuatu yang diluar jangkanya. Sumbangan daripada sahabat sangat banyak untuk dirinya. Sungguh, dia tidak berharta untuk membalas segala jasa mereka melalui harta juga, insyaAllah doa dititipkan buat mereka agar mereka di syurga-Nya kelak bersama keluarga mereka semuanya.


 ***


Setibanya di rumah, pelbagai kata-kata kurang sedap terimbau kembali di mindanya. “Dah lah hidup susah tak berduit, tak minta hantaran pula.” Suatu lagi kekuatan dimintanya daripada Allah SWT untuk berhadapan dengan pelbagai kata yang bakal mendatang jika dimaklumkan bahawa pernikahannya ditangguhkan. Allah..berat ujianMu kali ini. Hanya itu yang dirasainya. Hanya Allah SWT yang Maha Tahu segalanya setia disisi. Dia yang memerhati, Dia yang memberi kuat, Dia yang memiliki dirinya mutlak, Dia berhak atas segala-galanya.

Di saat dia merasa dia sudah mula kuat, sering dia diajukan soalan “bila walimah?..akak nikah bila?..” & segala macam persoalan yang berbunyi sama. Bergenang lagi air matanya. Dia belum kuat lagi sebenarnya, itu yang Allah SWT ingin tunjukkan. Namun, dia menggagahkan diri untuk menjawab persoalan sahabat-sahabat yang disayanginya itu kerana dia sedar mereka sedang mengambil berat tentang dirinya. Cara Allah SWT mengasihi dirinya ialah Allah SWT memberikan dirinya sahabat-sahabat yang sering mengikuti sunnah Baginda SAW yakni sering membantu orang lain yang memerlukan. Betapa dekat diri sahabat-sahabatnya itu dengan Rasulullah SAW dek kehidupan mereka yang sentiasa dalam sunnah Baginda Rasulullah SAW itu. Kemudian, dia dijemput pula oleh sahabatnya untuk menghadiri walimah mereka, tersentuh lagi hati itu. Aishh..rapuh yang tidak kuat sepenuhnya lagi rupanya. Allah SWT akan menguji selagi kita tidak melepasi ujian tersebut dengan baik. Itulah permainan kehidupan ini. DIa bersangka baik bahawa rezeki setiap insan itu telah ditetapkan oleh Allah SWT. Mendoakan kebahagiaan sahabat itu kewajipan buat dirinya & itulah ubat untuk dirinya gagah melihat nikmat kebaikan yang Allah SWT berikan atas hambaNya yang lain. Dirinya yang sakit digagahkan untuk menjaga amalan supaya dapat dirinya terjaga & sakitnya tidak semakin memburukkan keadaan. Kekuatan diminta daripada Allah SWT, merintih merayu kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala buat dirinya & keluarganya.


“Dan bersabarlah (Muhammad) menunggu ketetapan Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau berada dalam pengawasan Kami, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu ketika engkau bangun, dan juga pada sebahagian malam bertasbihlah kepada-Nya dan (juga) pada waktu terbenamnya bintang-bintang (pada waktu fajar)”
– At-Tur : ayat 48-49 -


Akhirnya keputusan bilakah pernikahan dirinya & tunangnya itu mencapai kata sepakat hasil perbincangan keluarga kedua-dua pihak. “Ini mama..boleh ke kalau…”. Itulah kata-kata bakal ibu mertuanya yang ingin memaklumkan sendiri kepada dirinya keputusan yang telah disepakati hasil perbincangan bersama ibunya. Sungguh, masa yang panjang itu lebih baik buat semua pihak. Membolehkan dirinya memuhasabah diri, memberi peluang buat tunangnya gigih dalam majlis ilmu, melapangkan dada kedua-dua buah pihak keluarga. Jika sebelum ini pernikahan itu hanya ingin diraikan bersama keluarganya sahaja, kini perspektif dirinya berubah untuk turut meraikan pernikahan bersama sahabat-sahabatnya. Mencari rezeki lebih untuk meraikan tetamu dengan lebih baik itu cita-citanya dalam majlis pernikahannya nanti.


“Keputusan yang terbaik ialah keputusan yang paling menenangkan hati &
melapangkan jiwa kebanyakan insan di sekeliling kita.”


Jika ditanya oleh orang kepada dirinya, ‘apakah yang dimaksudkan dengan keputusan yang terbaik?’, dia sudah tahu apa jawapan yang mampu diberinya berdasarkan tarbiyyah yang diterimanya daripada Allah SWT yang Maha Tahu. Semoga barakah yang berterusan buat semua insan disekelilingnya.


“Barangsiapa yang berselawat kepada Rasulullah SAW,
Allah SWT akan mencukupkan keperluan dunia akhiratnya.”


 Selawat itu menjadi pegangan & keyakinannya. Tidak diminta agar Allah SWT memberi lebih. Cukup sekadar Allah SWT memberikan apa yang perlu & dia masih tetap terus mampu untuk bersyukur dalam setiap kecukupan yang ada biarpun kecukupan itu tampak kurang di mata insan lain. Allah SWT Maha Kaya lagi Maha Pemberi Rezeki Maha Mengetahui apa yang terbaik buat setiap hambaNya.


***


Selepas beberapa peristiwa yang berlaku, membuatkan dirinya berfikir adakah salah dirinya menghebahkan walimah itu sebelum ini? Salahkah dia menghebahkan kegembiraan buat dirinya walhal sebelum ini pun dirinya sering menceritakan kedukaan yang dialaminya? Salahkah segala-gala yang dibuatnya? Apakah yang patut dibuat sebenarnya? Apakah yang terbaik buat dirinya?

Semakin lama, semakin dia faham apakah permainan yang sedang berlaku. Perkara yang patut dilakukan oleh setiap hamba ialah sentiasa bersangka baik kepada Penciptanya kerana segala baik buruk itu hanya di pandangan mata manusia sedangkan di sisi Allah SWT yang Maha Tahu itu tersimpan seribu hikmah. Jika kita sudah mampu untuk bersangka baik & menerima segalanya dengan redha seikhlas hati, Allah SWT akan berikan lebih lagi nikmatNya, semakin tinggi lagi ganjaran daripadaNya.

Kisah Rasulullah SAW yang menghebahkan kegembiraan apabila taubat Kaab bin Malik diterima Allah SWT membuatkan dirinya semakin tenang. Tidak salah dirinya menghebahkan kegembiraan sebelum ini kerana itulah sunnah Rasulullah SAW. Baginda SAW menghebahkan kegembiraan dirinya, menunjukkan juga nikmat yang Allah SWT berikan kepada Baginda SAW. Itu sunnah Baginda SAW. Hatinya lebih tenang. Dia bersangka baik bahawa setiap tindakannya dalam jagaan Allah SWT. Biasalah lumrah hidup kadang kita suka, kadang kita duka tetapi walau apa yang berlaku sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT itulah rahsia untuk terus gagah. Biarpun lambat namun biarlah mujahadah itu akhirnya bertemu dengan keredhaan kerana adanya pertolongan Allah SWT atas keredhaan hambaNya. Sungguh kegembiraan yang hakiki ialah apabila kita dapat bertemu dengan Allah SWT & Rasulullah SAW kelak di akhirat sana. Semoga dirinya, keluarga & sahabat-sahabatnya berserta keluarga mereka dapat bertemu bersama untuk mendapat kegembiraan hakiki itu.



.: Lihat kehidupan ini dari kaca mata hamba, pasti hidup ini akan lebih bahagia dalam kesederhanaan yang ada kerana itulah pemberian dari Dia :.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...