Sunday, December 21, 2014

Cuti yang Bermakna

Dengan Nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat & Salam atas Baginda SAW, ahli keluarga,
para sahabat, para rabii tabiin, seluruh umat Islam.
Alhamdulillah atas nikmatNya, Alhamdulillah atas ketentuanNya.



         Hampir seminggu dirinya menghabiskan masa cuti di rumah. Mengubah angin bergembira bersama keluarga dengan kesederhanaan yang ada. Cuma kali ini, ada insan asing yang baru bersamanya. Bakal menantu ibunya. Apabila niatnya ingin memudahkan urusan supaya si ibu tidak lagi berasa lemah jantung membantunya menguruskan urusan pernikahannya yang sudah semakin dekat, terpaksa diizinkan juga tunangnya ikut sekali membantu segala urusan di rumah.

     Beberapa hari sebelum berangkatnya dia kembali ke rumah untuk menguruskan hal pernikahannya, air matanya tertumpah lagi di hadapan kawan-kawan yang sekepala dengan dirinya. Sebak, lemah, sungguh rasa tidak mampu. Sejak dirinya bekerja, hampir segala tanggungjawab menjaga keluarga diserahkan kepadanya secara total sedangkan menyara dirinya sendiri pun dia masih tidak mampu; berhutang keliling pinggang, meminta tidak kira masa asalkan keluarganya tidak melata.


"Kamu ada duit x? Kalau ada, tolong masuk kat akaun adik jap. Dia takde duit nak makan tu."
"Owh..ada..ada.."

1 mesej ditaip...

"As salam wbt awk. Nak pinjam RM50 boleh? Nak bank in kat adik. Saya tengah takde duit sgt ni."
"Boleh.."

___

"Ayah, hujung minggu ini akak nak balik rumah sebab tak sempat dah nak uruskan hal nikah kalau tak uruskan dalam minggu ni juga."
"Ha..boleh. Nanti sampai sana, tolong repairkan kereta, buka akaun bank adik, bla..bla..bla.."
"Baik ayah."

_______________________________________________________

Sesak. Dalam kesempitan masa & wang, masih lagi pelbagai harapan diletakkan atas bahunya. Harapannya untuk sang ayah cuba memahami dirinya walau untuk seketika pun seakan tinggal harapan. Kata-kata ibu menambahkan lagi beratnya amanah itu terasa, "Nanti kamu dah kahwin, ayah akan bagi semua tanggungjawab pada kamu sebab kamu dah ada suami." Kata-kata itu seakan betul, daripada urusan belanja adik hingga kepada urusan rumah yang jauh beratus kilometer dari tempat tetapnya kini terletak bawah tanggungjawab.

Menangis. Lemah dalam doanya kepada Allah SWT sebagai tempat mengadu penat dirinya menghadap semua. Kemudian, hatinya mampu ditenangkan apabila mengenangkan mungkin inilah caranya Allah SWT mengabulkan doanya bahawa dia ingin sentiasa bersama keluarganya..menjaga mereka hingga ke akhir hayatnya kerana hanya dialah harapan keluarga.

Alhamdulillah. Sehari sebelum keberangkatan pulangnya ke kampung halaman, dia mendapat beberapa kejutan daripada kawan-kawan yang memberinya hadiah duit hingga beratus. Segala puji bagi Allah SWT yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Rezeki. Benarlah, Allah SWT itu pemilik segala. Dalam keadaan dirinya yang sudah tidak ada walau sekeping duit RM 1.00, Allah SWT berikan rezekinya melalui kawan-kawan yang sangat pemurah. Allah SWT benar-benar menunjukkan kekuasaanNya melalui kesusahan yang diberi kepada hambaNya kerana pastinya sifat hamba itu...dia akan kembali kepada Tuan-nya terutamanya dalam keadaan kesempitan. Alhamdulillah bersyukur atas nikmat kesempitan yang diberikan.

       Setibanya di rumah, pelbagai cerita yang dikongsikan oleh ibu yang sudah lama memendam rasa. Jantung ibu sudah mulai tidak stabil dek tekanan yang diterimanya. Tambahan ibu tidak lagi bergantung dengan ubat kerana tiada kewangan yang mencukupi. Rumah yang akan dilelong, keluarga yang menekan berkenaan majlis pernikahan, hutang yang meninggi, salah faham dengan ayah, nenek yang sakit, keperluan sekolah adik...terlalu banyak hingga di benak hatinya terusik bahawa 'ibu sangat tabah.' Allah SWT berhak menarik nyawa ibu bila-bila masa sahaja & sungguh sering dirinya berbisik kepada Allah SWT bahawa dia masih lagi mampu redha dengan pelbagai ujian tetapi dia tidak mampu kuat andai nyawa ibu ditarik. Allahu Allah.


"Wahai Allah yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Rezeki, hampar luaskanlah rezeki buat diriku & keluarga dan jadikanlah kami sebagai hambaMu yang bersyukur."


       Si ibu tetap tabah. Dia bergantung penuh pada Allah SWT. Setiap kali selepas solat, dia akan mengambil masa yang lama ketika mengaji kerana katanya semua ayat yang dibacanya itu ialah ayat untuk ubatnya; kanser, sakit jantung, stress & sebagainya. Sungguh tabah si ibu walau dirinya sering berduka.

       Namun, di sebalik dukanya si ibu..rumah itu tetap riuh rendah dengan gelak tawa adik-adiknya baik lelaki mahupun perempuan kerana mereka sangat suka mengusik tunangnya yang sangat pemalu & terlalu sering mengucapkan 'tak kisah'. Semua benda ditanya jawabnya 'tak kisah', memang jadi bahan sungguh la di rumah itu.

       Sepanjang keberadaan dirinya & tunangnya di rumah itu, solat fardhu berjemaah 5 waktu tidak pernah missed dilakukan di rumah itu. Tunangnya itulah imamnya, hinggakan adik lelakinya yang sudah bertahun tidak solat bersiap awal untuk solat maghrib berjemaah walaupun kecundang di saat akhir. Jelas nampak walaupun tunangnya itu tidak banyak berbual, sekadar menjadi bahan utama menjadi lauk oleh dirinya & adik-adik...semua adik-adiknya menghormati dirinya. Yang sebelum ini sudah biasa berseluar singkat sangat, kini berkain pelikat sokmo di hadapan bakal abang iparnya. Memang kena gelak sahaja kerana pelik tengok tiba-tiba jadi sopan hanya kerana segan dengan nakal abang ipar.hehe

     Agak teruk tunangnya itu dibahan oleh dirinya & adik-adik tapi si ibu setia mem'back up' tunangnya itu. Sungguh istimewa layanan mak padanya. Hingga ada ketikanya mak menegur dirinya, "cuba lembut sikit kak. Awak tu kasar sangat." Gelak sahaja menjadi responnya kepada bebelan si ibu. Rumah itu bahagia dalam senda gurau. Tiba-tiba adik yang sebelum ini cukup membantah untuk kakaknya menikah awal sehingga bengkak-bengkak matanya menangis kerana tidak mahu melepaskan kakaknya menikah kini meluahkan rasa, "Aku suka korang balik rumah." Disambung oleh adik bongsunya yang agak brutal, "Aah. Tak yah balik U la korang ni." Dirinya sekadar gelak & bertanyakan beberapa soalan, "So boleh la akak nikah awal? Boleh la akak nikah dengan dia? Boleh la dia jadi abang ipar korang?" "Semua bolehhhh!" Alhamdulillah syukur atas segala kurniaan Allah SWT.


-Allah akan berikan sesuatu yang kita perlu bukan yang kita mahu.-


      Kini, dia semakin yakin insan yang dilamarnya itu ialah pemuda yang cukup qawiy untuk bersama keluarganya & Alhamdulillah keluarganya dapat menerima tunangnya itu dengan sangat baik. InsyaAllah tunangnya yang pada asalnya sekadar 'perlu' kini semakin dia 'mahu' demi dakwah kepada keluarganya. Benarlah jika ingin dicintai manusia, cintailah Allah & Rasulnya. Dek cintanya tunangnya itu pada Allah & RasulNya, dia melamarnya supaya tempias cinta itu terkena pada dirinya. Alhamdulillah tidak salah memilih cinta Allah & RasulNya sebagai yang utama kerana Allah SWT akan melengkapkan cinta yang lainnya.

      Dalam sesuatu keindahan pasti terselit beberapa kesedihan. Ketika dia ingin menguruskan hal pernikahan dirinya, ibu meminta dia mengambil sijil cerai ibu yang belum dituntut di pejabat agama. Jadinya, dia dihantar ke pejabat agama tersebut oleh ibunya & adik-adiknya bersama tunangnya. Dia menguruskan dahulu urusan penceraian ibunya. Hati anak mana yang tidak meruntuh ke tanah apabila menurunkan tandatangan sebagai wakil yang mengambil sijil cerai tersebut & melihat nama-nama insan yang bercerai itu ialah nama ibu & ayahnya yang disayangi. Menulis perkataan 'anak' dalam ruangan hubungan di borang tersebut menggagahkan dirinya supaya tidak mengalirkan air matanya di hadapan tunangnya itu. Selesai sahaja urusan itu, tunangnya pula membuka bicara kepada pegawai yang bertugas itu untuk urusan pernikahan dirinya. Pelik tapi itulah yang benar, tika si ibu baru sahaja bercerai...si anak pula ingin menikah. Namun, masing-masing sudah lali dengan fenomena unik yang berlaku sepanjang hidup. Inilah yang dinamakan 'bahagian masing-masing'.



.: Tidak salah memilih cinta Allah & RasulNya sebagai yang utama kerana Allah SWT akan melengkapkan cinta yang lainnya. :.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...