Wednesday, June 4, 2014

Minggu 'Final Exam' Medan Redha-Nya

Dengan Nama Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Selawat & Salam atas Baginda SAW, ahlul bait,
para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Alhamdulillah atas nikmatNya, Alhamdulillah atas ketentuanNya.



Setiap apa yang ditentukan Allah SWT itu ada hikmah-Nya, kita sebagai hamba...wajib atas diri kita untuk sentiasa bermujahadah me'redha'kan hati menerima setiap ketentuan itu sebagai hadiah istimewa daripada Ilahi pencinta hakiki.

Minggu ini sudah masuk minggu kedua peperiksaan akhir bermula. Mujahadahnya hanya Allah SWT yang tahu. Termuhasabah diri atas beberapa perkara yang melibatkan para pendakwah di alam kampus.

Pendakwah di alam kampus, medan akademik juga ialah jalan jihad menegakkan Islam buat dirinya. Akhlak kepada guru, adab kepada ilmu, keikhlasan mencari restu & pelbagai perkara yang mendatangkan redha Allah SWT atas diri para du'at itu.

Namun, alangkah rugi apabila para du'at itulah golongan yang lemah dalam mujahadahnya ketika bermulanya peperiksaan. Para du'at yang berdakwah kerana Allah SWT bukanlah mereka yang hebat berbicara tentang jihad, pengorbanan, mehnah tribulasi dalam perjuangan Islam ketika usrah...namun, di alam hakiki kehidupan mereka sebagai pelajar semua bicara ilmiah itu seperti tidak wujud dalam jiwa mereka.


Para pendakwah yang bergerak kerana Allah SWT bukanlah insan yang ;

Menafsirkan 'Jihad' itu sebagai sungguh-sungguh dalam perbuatan, tetapi ketika menelaah pelajaran bibirnya yang paling lancang mengutuk keji ilmu itu 'entah apa-apa', 'merepek sungguh' & seangkatan dengannya.

Mengatakan 'Pengorbanan' itu melepaskan apa yang dicintai, tetapi dalam kehidupan hakiki katil yang empuk itulah peneman. Mengangkat tubuh untuk bangun sujud bertahajjud kepada Allah SWT ketika sepertiga malam itu ibarat mustahil. Andai mampu mata itu bertahan bersengkang lama, bukan kerana ibadat kepadaNya...tetapi kerana persediaan sebelum menghadapi kertas peperiksaan esoknya.

Merungkaikan 'Mehnah & Tribulasi' itu sebagai ujian luaran & dalam atas diri sendiri, tetapi hakikat kehidupan realiti dirinya sendiri yang hanyut dengan mehnah & ujian tersebut. Munajat pada Allah SWT berkira-kira, berdoa pun tidak bersungguh-sungguh, bersolat pun laju pergerakan tanpa sempat makna zikir dihayati, tidur berjam-jam menggantikan 'hutang tidur' yang tertunggak hingga lewat waktu menunaikan solat pada-Nya, kebergantungan yang kurang pada Allah SWT hingga merasakan setiap usaha itu atas diri mereka sendiri.


          Pendakwah yang berdakwah kerana Allah SWT ialah insan yang mesti sedar bahawa mereka sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT & setiap bait kata serta amalan mereka dicatit malaikat yang setia di kiri & kanan.

          Andai Rasulullah SAW sanggup berdiri tegak beribadat hingga sakit-sakit kakinya membengkak sebagai tanda dirinya menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT pemilik sekalian alam, apakah hak pendakwah yang baru sahaja bertatih melangkah melakukan amar ma'ruf & nahi munkar itu untuk berkira-kira dalam ibadatnya? Andai pendakwah itu meletakkan 'sebab duniawi semata' sebagai alasan mendekati Allah SWT, apakah jaminan Allah SWT sudi melihat wajahnya di akhirat sana kelak?








.: Semakin hebat diuji, semakin besar peluang untuk meletakkan diri di sisi Ilahi. :.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...