Sunday, May 11, 2014

Budaya HADIAH! 2.5.14

Dengan Nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat SALAM atas baginda Rasulullah SAW, ahlul bait,
para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
ALHAMDULILLAH atas segala nikmat & ketentuan-Nya.





Saat sudah semakin hampir dengan pembentangan akhir projek Tahun Akhir, bertimpa-timpa hadiah yang Allah SWT berikan. Komputer riba yang secara tiba-tiba rosak tanpa sempat dirinya menyediakan 'back-up' untuk projeknya mengundang sesak dada di mana nak dikorek beratus ringgit di saat dirinya juga sedang merasa papa, berbahagi rezeki buat lebih daripada 8 orang ahli keluarga. 

     Perihal urusan peribadi dirinya memang sedang serabut tapi banyak Allah SWT tolong 'cover'kan. Selagi berpeluang, jadilah insan yang bermanfaat untuk umat..itu pegangannya. Secara tiba-tiba suatu hari, dia mendapat mesej daripada mak, "ayah dah lafaz 2 mei lepas...ibadah mak lebih khusyuk sekarang." Dia terkejut namun masih mampu menaip kata dasar kepada syukur iaitu "Alhamdulillah mak.. :) ". Itu hipokrit! Depan keluarga, dia seakan tabah sungguh..tetapi hakikatnya di hadapan Allah SWT dia jatuh lemah rebah menerima hadiah yang Allah SWT berikan kepadanya satu demi satu tanpa sebarang senggang waktu untuk dia merasa 'rehat daripada kesedihan'. Allah SWT ajar dirinya terus tabah! "Wahai diri, bertabahlah kerana Allah SWT kerana Allah SWT lebih mengetahui perihal dirimu. Kamu hanya ada Dia..hanya Dia!"

     Seingat dirinya, dia ada memberi pesan kepada ibunya jika ada sebarang insan yang hadir di rumah untuk merisik atau meminang, tolak sahaja kerana dirinya tidak mahukan sesiapa & tidak terbuka untuk siapa-siapa. Mak yang semakin risau dengan perihal anak sulungnya itu yang sering menolak perihal jodoh sekadar mengiyakan kehendak anaknya.

     Seingat dirinya, adik bongsunya sering mengatakan ayat yang sama dengan intonasi yang sama setiap kali dia membawa adik-adiknya keluar rumah berjalan-jalan melihat dunia luar memandangkan hanya dirinya yang menjadi harapan keluarg. Dialah ibarat suami yang menenangkan isteri apabila maknya mengadukan pelbagai permasalaha, dialah ibarat anak tunggal yang berdikari membawa urusan dirinya sendiri, dialah ibarat abang sulung yang menjaga ibadah adik-adik perempuannya, dialah juga ibarat sang ayah yang membawa anak-anak menikmat sedikit rezeki kurniaan Allah SWT. Ayat adiknya yang tidak pernah berubah setiap kali keluar bersama kakak-kakaknya ialah, "Bestnya..semua orang keluar dengan family masing-masing." Setiap kali kata-kata itu keluar, hati kecil si kakak pasti tersentuh. Bawa lah adik-adik itu ke mana sahaja pun...tunaikanlah hak yang pelbagai pun kepada adik-adik, pasti takkan dapat menyamai nikmat keluarga bahagia yang sebenar. Dalam hatinya hanya terusik "Maafkan kak dik...hidup kamu sejak kecil tanpa keluarga yang sempurna." Namun, dek perhatiannya kepada keluarga...setiap minggu dirinya diminta balik ke kampung halaman untuk si adik-adik itu melepaskan rindu & si mak meluahkan rasa yang terbuku di jiwa..hingga ada ketika si adik bongsu sanggup untuk memberi kakak sulungnya itu duit tabung simpanannya untuk membeli tiket pergi & balik kampung halaman dari kampusnya.

     Walau apa pun yang dia ingat. Hakikatnya sudah tertulis kini. Jodoh antara mak & ayahnya hanya bertahan sehingga 23 tahun umurnya. Di saat umur sebegitu, kebanyakan teman taulannya sibuk memikirkan tentang perihal hidup berumahtangga dengan restu ibu ayah, tetapi ketentuan atasnya ialah jodoh ibu ayah yang hampir di waktu sudah. Mungkin itu hadiah hari lahirnya yang ke-23 kerana tarikh perceraian itu sama bulan dengan tarikh lahirnya. Alhamdulillah..segala puji bagi Allah SWT atas setiap ketentuan-Nya. Cita-citanya untuk menyatukan kedua-dua keluarga punah dengan izin Allah SWT dan dirinya sebagai hamba Allah SWT hanya mampu tabah kerana Allah SWT.

     Bertimpa-timpa hadiah Allah SWT beri tanpa sebarang petunjuk dan semua hadiah itu bertemakan 'kehilangan'. Namun, tidak mengapalah jika itu caranya untuk dirinya menjadi hamba Allah SWT yang diredhai Tuhannya. Dalam kehilangan, Allah SWT ajarkan erti kebahagiaan. Ya..sungguh sakit...terasa pilu yang paling dalam tetapi siapalah hamba Allah SWT untuk mempertikai segala pemberian-Nya, cukuplah sekadar meredhai dengan hati yang tinggi mujahadah untuk diikhlaskan. Syukur atas setiap apa yang Allah SWT berikan kepada dirinya kerana dirinya tahu ujian yang diberikan kepada dirinya masih kecil sebenarnya kerana Allah SWT pastinya memberikan ujian yang mengikut kemampuan dirinya. Ya, kerana Allah SWT dirinya masih mampu & terus bertabah tanpa merintih sedikit pun kepada orang tuanya. Dia hanya ada Allah SWT.

     Mengambil Saidina Umar r.a sebagai idola nya yang sering meletakkan musibah itu sebagai nikmat & berpegang pada pesanan sahabatnya bahawa golongan sufi sering mendoakan diri mereka dalam kesusahan supaya mereka terus sentiasa mengingati Allah SWT & merintih kepada-Nya, menjadikan dirinya lebih kuat untuk bertahan dalam dunia yang sementara. Ya Rabb, andai nyawa perlu dicabut dari badan..cabutlah ia dalam keadaan sang tubuh badan mempunyai hati yang penuh dalam keimanan.





.: Apabila Allah SWT ingin menyayangi seseorang hamba, Allah SWT ingin sentiasa mendengar rintihan hamba-Nya itu. Demi Allah SWT, rintihan ini untuk Kamu Ya Rabb :.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...