Saturday, August 24, 2013

Andai Esok Tiada

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat Salam atas baginda Rasulullah SAW,
ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas nikmatNya, Redha Alhamdulillah atas ketentuanNya.



Bertatih dengan langkah kecil, berlari dengan langkah kanak-kanak hingga akhirnya dewasalah ia, seorang insan yang diberi maklum bahawa Allah SWT itu Tuhanmu yang Esa, Nabi Muhammad SAW itu Pesuruh TuhanMu yang Esa dan jika mahu apa-apa, tadahkan tangan kamu minta terus pada Allah SWT ya. “Baik!” jawabnya.

                Bertahun dalam medium dewasa, jarang sungguh solat itu sempurna 5 waktu fardhunya. ‘Ikut mood’ itu gaya solatnya. Secara tiba-tiba datang ujian yang bertandang tanpa sebarang ketukan. Alhamdulillah ujian itu hadir sebagai ‘turning point’ dalam hidupnya. Hilang liar pergaulannya, terjaga bisikan hatinya, tertunduk pandangannya, lembut hatinya membaca bahasa alam, hidup rasa ditemani makhluk Allah SWT sentiasa.

                Daripada solat fardhu yang terjaga lengkapnya, kini terjaga pula pahala berjemaahnya. Kejar selagi sempat, masuk selagi mampu. Allah SWT tidak pernah kedekut pahala, cuma dia yang perlu rajin mengumpul pahala. Tiba suatu malam, hatinya tiba-tiba terasa hiba.

Allah SWT…andai esok roh dirinya berpisah daripada jasad, mampukah dirinya bertemu menghadapMu wahai Tuhan.  Menjadi anak sulung yang dilahirkan dalam sifat kepimpinan sebagai perempuan, masih belum mampu untuk membataskan penguasaan terhadap keluarga. Bukan dirinya yang menjadi imam mengetuai solat kaum keluarga, jadinya dia hanya mampu untuk menyuruh setiap ahli keluarganya untuk solat namun biasalah suruhan itu tidak langsung diendahkan terutama oleh mereka yang bergelar muslimin di rumahnya.

                Tidak putus dia mengharapkan supaya pahalanya melimpah ruah agar pahalanya mampu diberikan kepada setiap muslimin di rumahnya yang masih lagi jauh dari Tuhan. Tidak diharapkan pahala itu berbaki padanya kerana cukuplah di akhirat nanti Allah SWT sudi melihat wajahnya dengan penuh rahmat dari Allah SWT.

                Semoga Allah SWT memberikan kekuatan padanya menunaikan segala hutang-piutangnya atas dunia ini, baik kepada Allah SWT mahupun kepada manusia. Semoga Allah SWT memberikan dirinya rasa sentiasa bahagia dengan baki hidup yang ada. Semoga Allah SWT sentiasa menjadikan hatinya sentiasa hidup dengan kasih sayang rahmatNya.



.: Hidup ini adalah untuk bertemu denganMu Tuhan :. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...