Thursday, April 18, 2013

Pasak Tinggi Niat Hati

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat & salam atas Baginda Rasulullah SAW,
ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
ALHAMDULILLAH atas nikmatNya, ALHAMDULILLAH atas ujian & ketentuanNya.


Berdebar hati hanya Allah SWT yang lebih tahu tiap ketika diri ini menanti keputusan hasil daripada interview dengan supervisor harapan dengan tajuk yang diinginkan,
'Effects of Therapeutic Ultrasound Treatments on Breast Cancer Cell Lines'

Alhamdulillah, diri ini diterima. Emel ringkas daripada Dr, 'U can register. Good Luck.' cukup membuatkan diri ini gembira. Alhamdulillah! Habis semua orang yang diminta doanya dimesej untuk mengucapkan terima kasih untuk doa. Insan paling awal menerima mesej itu tentulah mak! :) Seusai mesej pesanan ringkas dihantar kepada mak, mesej pesanan ringkas daripada mak diterima.

"Alhamdulillah.
Mak tak tahu nak cakap apa.
Mak tengah sakit kepala yang teramat sangat ni."

Benak fikir, mak kembali sakit dengan penyakit kebiasaannya itu. Harapan dari kejauhan, semoga mak terus dipelihara sebaiknya oleh Allah SWT. Hinggalah tika malamnya, sedang sibuk menyiapkan assignment, tetiba satu panggilan telefon diterima. 'Sayangku' menelefon. Hati rasa tidak sedap, bergerak langkahan kaki menuju ke luar bilik. Tidak pernah diri ini menjauhkan diri daripada orang sekeliling apabila ahli keluarga yang menelefon namun kali ini kaki ini bergerak sendiri melangkah keluar bilik. 

          Seperti biasa, momentum ceria diri ini menyambut panggilan mak. Digambarkan mak ingin tahu berkenaan cerita interview yang berjaya antara diri ini dengan supervisor ataupun ingin mengucapkan tahniah atas keputusan yang dimurahkan oleh Allah SWT. Namun, segala sangkaan itu meleset apabila mak mengatakan ada perkara yang ingin dimaklumkan kepada diri ini. Nadanya serius..amat serius. Tidak hairanlah mak sakit kepala yang teruk pada siang tadinya. Dalam panggilan telefon, lagak diri ini kuat. Setelah dimatikan panggilan, bergetar jiwa meronta hati bergenang air mata mengharapkan ketabahan di peringkat mak dan diri ini sebagai anak sulung.

Emak...
sampai bila
segalanya tersimpan rapi
dalam ruang kecil hati

Emak...
sampai bila
segalanya kau telan
sendirian dalam kesunyian

Emak...
sampai bila
ingin kau bertahan
dalam dunia yang penuh ujian

Emak...
sampai bila
ingin kau tanggung
setiap benda yang kau selindung

Emak...
sampai bila
bibirmu ingin tersenyum bahagia
tika hatimu membengkak membuak seksa

Emak...
sampai bila..
sampai bila..
sampai bila..

Allah...
jadikan dirinya sentiasa dekat denganMu
jadikan dirinya kuat dengan bantuanMu
jadikan dirinya tabah di sisiMu
jadikan dirinya wanita syurgaMu
jadikan dirinya hamba yang dikasihiMu
jadikan dirinya sentiasa dalam redhaMu..


.: Semakin tinggi pasak niat sentiasa ikhlas menjadi hamba, semakin tinggi ujian daripadaNya :.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...