Saturday, March 23, 2013

Bahagia :)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat & Salam atas baginda Rasulullah SAW,
ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmatNya, Redha Alhamdulillah atas segala ketentuanNya.


Tips untuk bahagia dalam kehidupan sementara ini ialah ;
sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT

Dalam meniti arus kehidupan sebagai hamba Allah SWT, hidup kita pastinya tidak pernah lepas daripada menempuhi segala ujian & cubaan. Sering kita dengar bahawa nikmat itu jua bentuk ujian & cubaan daripada Allah SWT, tetapi fitrahnya...perkara kesedihan itu benarlah ujian nyata yang kita rasa. Beruntunglah kepada mereka yang sering merasakan setiap detik kehidupan ini ialah ujian biarpun suka mahupun duka, dan senang atau susah.

          Teringat di awal penghijrahan, difitnah dicaci maki tidak semena-mena itu biasa. Namun, janji Allah SWT itu benar. Bahawa doa orang teraniaya pasti dimakbulkan-Nya hingga akhirnya terbukti jua apa yang dikata benar berfakta bukan omong kosong membohong.

Pesan ibu untuk si anak sebagai penguat menghadapi kehidupan di awal penghijrahannya.

Andai masa dapat diputar, pasti setiap titik hitam, tulisan catitan dosa, sekelumit kecil mungkar ingin dijauhkan sejauh-jauhnya. Namun, perkara itu tidak akan terjadi kerana hakikatnya dunia ini semakin menghampiri tamat tempohnya. Sudah terlalu lama usia sang bumi yang terus berkhidmat setia mengikut perintah Penciptanya, Ilahi. Jadi, sebagai hamba-Nya teruslah bersangka baik dengan setiap perancangan & keizinan-Nya. Andai kita pernah jatuh ke lembah kejahilan, Allah SWT ingin kita menghargai nikmat tetap teguh di jalan yang lurus dengan petunjuk-Nya. Andai kita pernah jatuh ke lembah takbur & kesombongan, Allah SWT ingin kita menghargai nikmat tawaduk dalam kehidupan. Andai kita pernah jatuh ke lembah alpa & keangkuhan, Allah SWT ingin kita menghargai nikmat zuhud yang berterusan. 

Sentiasalah bersangka baik dengan setiap perancangan Allah SWT.

          Mengorak langkah sebagai hamba Allah SWT yang semakin mengenali rahmat Tuhan, hati tidak akan pernah tenang melihat keluarga yang masih menjauh berbatu-batu dari Ilahi. Cita-cita ke syurga seakan tidak sempurna melihat kemungkaran yang dilakukan keluarga masih menebal menjadi sejati dalam diri setiap mereka. Langkah tawaduk seorang hamba seperti tidak kena apabila bongkak keluarga kepada Allah SWT masih tinggi. Doa hambaNya yang hina terus dipanjat, pelihara mereka...pelihara mereka...pelihara mereka...

          Jarang terucap seruan kebaikan kerana hati tahu benar betapa lemahnya diri menahan segala perli & kata-kata yang menjanjikan kesedihan. Ambil jalan mudah, elokkanlah diri terlebih dahulu. Kekalkan apa yang baik, buanglah apa yang buruk. Mujahadah terus untuk tetap istiqamah. Doa hambaNya yang hina terus dipanjat, pelihara mereka...pelihara mereka...pelihara mereka...

          Dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan kejayaan dunia, agama itu dibiarkan seolah tidak nampak. Apabila hidayah Allah SWT tiba padanya, agama itu dijadikan yang utama dan urusan dunia menyusul seiring bersama. Risau...hanya itu yang mampu terungkap. Mampukah sebelum nyawanya ditarik, dakwah kepada keluarga itu sampai? Sebelum nafasnya berakhir, perubahan keluarga itu dilihat? Sebagai hamba, ruang berdoa itu terbuka luas. Namun, mulut tidak mampu mengungkap kata-kata doa sepanjang-panjangnya...kerana tidak mampu. Mahu dimulakan dari mana doa itu? Mahu diakhirkan di mana pula doa itu? Akhirnya hati yang kecil itu bergetar. Bisikan hati berdoa, pelihara mereka...pelihara mereka...pelihara mereka...

          Tidak pernah hati merungut diberikan ujian hebat melalui mereka yang disayangi. Benar, titisan air mata itu turun jua ke bumi sebagai tanda lemahnya diri sebagai hamba tanpa kekuatan dari-Nya. Namun, itu bukan tanda putusnya harapan pada yang Maha Berkuasa. Harapan terus dipanjat, pelihara mereka...pelihara mereka...pelihara mereka...

          Alhamdulillah...satu persatu telah Allah SWT ubahkan...tanpa doa bertadahkan tangan, setiap bisikan hati itu Allah SWT makbulkan. Kini, tiada lain yang diinginkan..semoga hidup mereka berakhir dalam redha-Nya dan tinggal tetap di syurga-Nya selepas dibangkitkan kelak di hadapan-Nya. Aminn Ya Rabb~

          Jika kita sudah tahu seseorang itu sememangnya panas baran, pastinya sedikit sahaja ujian yang kita beri sudah cukup untuk buat dirinya melenting hingga mengungkit segala. Sebaliknya jika kita sudah tahu seseorang itu sememangnya sering berlapang dada dalam setiap yang mendatang dalam hidupnya, pastinya kita tidak akan jemu untuk terus menguji hingga kita tahu tahap sabarnya..dan Allah SWT akan terus menguji kita hingga akhirnya kita layak menerima syurga-Nya di akhirat kelak.


.: Sentiasalah mengembalikan semuanya kepada Allah SWT :.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...