Monday, February 4, 2013

Wanita Cerdik & Perjuangan ISLAM

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat & Salam atas baginda Rasulullah SAW,
ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin,
seluruh umat Islam.
Syukur ALHAMDULILLAH atas segala nikmat-Nya,
Redha ALHAMDULILLAH atas segala ketentuan-Nya.





Biarpun banyak bahan bacaan kini yang membicarakan tentang perjuangan masa sekarang, namun insan-insan hebat pada zaman Rasulullah SAW yang dijunjung tinggi kedudukan mereka sebagai serikandi Islam masih lagi segar menjadi bahan asasi sesuatu penulisan. Perjuangan mereka masih segar di ingatan biarpun sudah terlalu jauh bezanya perjuangan di zaman mereka dengan zaman kini.


ISLAM Mendidik Wanita Terdidik.

Islam yang datang sebagai agama yang memenuhi tuntutan fitrah manusia mampu melahirkan susuk tubuh wanita yang indah terjaga pembawakannya & bijak akal fikirannya.

Menjadi wanita cerdik ialah tuntutan, terutamanya kepada suri para pejuang. Suri hidup yang cerdik tahu meletakkan dirinya sebagai isteri pejuang. Bijak menggalas amanah sebagai insan yang paling hampir dengan seorang pejuang, hidup dalam medium perjuangan, menjadi pendokong & penyokong yang terbaik buat suaminya yang bergelar pejuang.

     Isteri yang cerdik tahu menguruskan hidupnya sebagai seorang muslimah yang bergelar isteri kepada pejuang Islam seperti Latifah suri hidup Imam Hassan Al-Banna. Isteri yang cerdik juga tahu peranannya sebagai ibu yang mentarbiyah anak-anaknya hingga layak menjadi pejuang agama seperti Ummu Nidhal yang redha dengan kesemua anaknya yang syahid di Palestin. Isteri yang cerdik juga tahu menimbulkan suasana yang mendamaikan di saat seluruh alam seolah menghimpit suaminya sebagai pejuang seperti Saidatina Khadijah r.a. Isteri yang cerdik juga tahu mendatangkan keceriaan dalam kehidupan berumah tangga supaya tidak merasakan bahawa perjuangan itu menyakitkan seperti Saidatina Aisyah r.a.

Melihat kepada Saidatina Khadijah r.a yang terlalu mencintai suaminya, Rasulullah SAW & perjuangan baginda sanggup untuk menginfakkan biarpun tulangnya untuk perjuangan Islam selepas perginya beliau meninggalkan dunia yang fana. 

     Cerdiknya seorang isteri pejuang yang sedar bahawa dirinya ialah hamba Allah SWT hingga dirinya sentiasa redha andai terpaksa dikorbankan dalam setiap langkah perjuangan suaminya. Perjuangan tidak pernah terpisah dengan pengorbanan. Pengorbanan tidak pernah terpisah dengan keredhaan. Keredhaan tidak pernah terpisah dengan bukti kasihnya Allah SWT pada setiap hamba-Nya yang merasakan dirinya bertuhan yakni Allah SWT pemilik segala kehidupan..

     Melihat kepada ketokohan baginda Rasulullah SAW dalam kehidupan berumah tangga, biarpun baginda menikah dengan wanita-wanita yang mempunyai pelbagai latar belakang kehidupan mereka yang tersendiri, kesemua isteri baginda mempunyai banyak persamaan. Antara persamaan yang mampu dikoreksi ialah 'cerdik'. Selain daripada terpelihara dalam sifat malu yang menandakan keimanan mereka, isteri-isteri baginda juga merupakan wanita-wanita syurga yang dihidupkan di dunia dengan pelbagai kelebihan yang sepatutnya dijadikan ikutan buat para muslimah kini.

     Saidatina Aisyah r.a ummahatul mukminin menjadi rujukan utama kaum muslimin selepas kewafatan Baginda Rasulullah SAW kerana keakraban dirinya dengan baginda & juga kecerdasan fikirannya yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun. Hasil tarbiyah Rasulullah SAW atas dirinya, Aisyah r.a menjadi suatu simbolik kecerdikan serikandi Islam. Kepetahannya berhujah dalam akhlak Islam yang masih terpelihara selain bertunjangkan pengisian yang mantap dengan mesejnya melayakkan Aisyah r.a di tempatnya suatu ketika dahulu ketika hayatnya dan masih lagi diingati sehingga kini.

     Sebagai hamba Allah SWT, isteri yang cerdik pandai menjaga maruah dirinya, suaminya, keluarganya, agamanya & perjuangannya. Isteri yang cerdik segera bertaubat jika terlanjur melakukan dosa & kemungkaran biarpun nyata mahupun tersembunyi, sedar mahupun alpa. Isteri yang cerdik hatinya erat tertaut kepada Allah SWT hingga setiap tindakan yang ingin diambilnya daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara disandarkan penuh kepada Allah SWT. Getar hati kecilnya andai Allah SWT murka padanya. Syukur gembira tidak terkata andai dapat merasakan kasih Allah SWT padanya.

     Isteri yang cerdik sentiasa merasakan kenikmatan tika suaminya gembira dalam layanannya kerana setiap keredhaan suaminya ialah pahala buatnya. Isteri yang cerdik lebih mementingkan akhirat daripada dunia kerana dirinya yakin dalam mengejar kejayaan akhirat, kejayaan dunia pasti terikut sama. Isteri yang cerdik lebih mementingkan perasaan insan sekelilingnya berbanding dirinya sendiri kerana dirinya sedar setiap mujahadahnya diniatkan hanya untuk Allah SWT pemilik mutlak dirinya. Isteri yang cerdik cukup bersederhana dalam melayari kehidupannya kerana yakin dengan limpahan nikmat di dunia masih belum pernah dapat pernah habis disyukurinya & kekayaan di syurga mengatasi segala buatnya. Isteri yang cerdik jelas dalam meletakkan matlamat kehidupannya & turut membawa bersama insan sekeliling menuju matlamatnya, mardhatillah. Isteri yang cerdik bijak dalam memberi peringatan dengan penuh lembut & berhikmah kepada suaminya yang memimpin keluarga menuju Jannah-Nya andai ada perkara yang khilaf di matanya.


Wanita Terdidik Sering Di 'culik'.

Medium pentarbiyahan yang cukup cantik oleh Allah SWT atas setiap hamba-Nya menempatkan wanita dalam pelbagai tempat. Isteri-isteri baginda Rasulullah SAW juga pernah dimiliki oleh insan lain sebelum mereka disunting oleh Rasulullah SAW & dijanjikan syurga buat mereka sebagai ganjaran akhir penghidupan sebagai pendokong perjuangan baginda SAW.

     Saidatina Khadijah r.a pernah berkahwin 2 kali iaitu dengan Abu Halah bin Zurarah At-Tamimi & Atiq bin Aiz Al-Makhzumi, Saudah r.a pernah berkahwin dengan Al-Sakran, Saidatina Aisyah r.a sempat bertunang dengan Jubayr ibn Mut'im ibn Adi, Saidatina Hafsah binti Umar pernah berkahwin dengan Khunais bin Huzafah, Zainab binti Khuzaimah r.a pernah berkahwin dengan Thufail, Ummu Salamah r.a pernah menjadi isteri kepada Abdullah bin Abd al-Asad, Zainab binti Jahsy r.a pernah menjadi isteri kepada Zaid bin Harisah, Juwairiyah r.a pernah berkahwin dengan Masafeah ibn Sufian, Safiyya binti Huyay r.a pernah berkahwin dengan Kinanah, Ummu Habiba binti Sufyan r.a  pernah berkahwin dengan Ubaidullah, dan Maimunah binti Al-Harith pernah berkahwin dengan Abu Rahmah sebelum mereka semua bernikah dengan manusia agung Rasulullah SAW.



.: Seluruh urusan hidup indah pada waktunya.
ALHAMDULILLAH atas segala nikmat kurniaan-Mu Ya Allah SWT 
Jagalah diri kami sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik penjaga
Peliharalah diri kami sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pemelihara
Lindungilah diri kami sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pelindung :.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...