Thursday, January 10, 2013

Pimpinan perlu DIPIMPIN

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat & Salam atas baginda Rasulullah SAW, ahlul bait, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat-Nya, Redha Alhamdulillah atas segala ketentuan-Nya



Melihat kepada lembaran sirah & sejarah, pemimpin Islam yang dikagumi & menjadi panduan dalam jalan kepimpinan mestilah berdasarkan aqidah yang teguh. Lihat sahaja bagaimana Rasulullah SAW yang memotivasikan ahli Badar ketika perang itu dengan kata-kata taujihad penuh initipati aqidah yang mantap.

     Sebagai pemimpin Islam, mereka tidak akan mampu meneruskan peranannya dengan sempurna tanpa sahsiah kepimpinan yang baik. Kepetahan berucap, kematangan ilmu ialah suatu bonus pada pemimpin yang mempunyai kelebihan tersebut. Namun, tanpa sahsiah kepimpinan yang baik, bonus itu hanya tinggal bonus pada nama kerana yang wajibnya tiada. Bagaimana bacaan doa iftitah di awal solat ingin dikira sebagai pahala sunat jika solat itu pun didirikan tanpa wudhu' yang sah? Begitu jua dalam hal kepimpinan Islam. Bagaimana segala yang indah (pidato, hujah, taujihad) pada pandangan mata itu akan diterima sekeliling jika kemantapan aqidah dalam diri pimpinan itu ditolak tepi? Setiap pemimpin Islam harus sedar bahawa tidak akan ada sesuatu perkara pun yang berlaku tanpa izin-Nya. Setiap pemimpin Islam harus yakin bahawa kita sebagai hamba-Nya sentiasa mendambakan pertolongan daripada Allah SWT. Namun, keyakinan ini hanya dapat dirasa oleh jiwa yang bersih berteraskan aqidah yang sahih dan dihiasi dengan amalan-amalan soleh.

Persediaan ke arah KEPIMPINAN ISLAM

1. Ilmu


"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)." 
- Surah at Taubah:122


Saidina Umar r.a pernah berkata, "Belajarlah kamu sebelum kamu menjadi pemimpin."

     Sebagai pemimpin Islam, mereka harus menuntut ilmu yang menjadi asas dalam perjuangan. Ilmu aqidah perlu dipelajari bukanlah sehingga sungguh khatam beribu kitab Aqidah barulah diri bersedia menjadi pimpinan. Cukup pada asasnya pemimpin Islam itu tahu perkara asas dalam ilmu Aqidah kerana perjuangan Islam yang dibawa ialah berpandukan Aqidah kepada Allah SWT. Jika pemimpin Islam sendiri tidak menyedari hakikat matlamat kepimpinan yang akhirnya bermatlamatkan hanya kepada keredhaan Allah SWT & tertegaknya hukum Allah SWT di bumi-Nya, maka pasti musibah akan menimpa keseluruhan medium perjuangan kerana tiada yang jelas matlamat kepimpinan dalam Islam. Jika pemimpin sendiri sudah tidak faham, ahli bawahan lagi lah tidak terbina fikrah yang sebenar. Itulah pentingnya tanggungjawab saling tegur-menegur antara pimpinan & ahli bawahan.
     
     Hakikatnya, kita sering membina banyak komuniti dalam SATU komuniti. Mudah cerita, dalam kumpulan Islam yang katanya berjuang atas jalan yang sama, sering mewujudkan banyak 'geng'-'geng' di dalamnya. Geng budak gerak kerja & Geng budak pondok sering dibicarakan secara 'belakang tabir' oleh kebanyakan ahli bergelar pejuang Islam. Keadaan ini terjadi kerana tiadanya kesinambungan antara mereka yang menuntut ilmu dan mereka yang bergerak kerja. Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 122 di atas tidak dihayati sepenuhnya sebagai salah satu landasan dalam perjuangan.
     
     Geng budak pondok asyik dengan menuntut ilmu hingga lupa untuk disampaikan pada yang asyik bergerak kerja. Geng bergerak kerja pula asyik bergerak kerja hingga lupa untuk mendapatkan ilmu daripada geng budak pondok. Sama-sama harus saling berperanan dalam memastikan keberlangsungan ikatan dalam satu kumpulan yang berteraskan aqidah.
     
     Ilmu dalam konteks aqidah sangat perlu dalam diri setiap individu pejuang Islam dalam membuahkan amal dan membentuk keimanan dengan berpegang kepada Al-Quran dan menghayati setiap sunnah Rasulullah SAW.


2. Amal & Tazkiyah

Setiap pemimpin Islam harus sentiasa bermuhasabah bagaimana hubungannya dengan Allah SWT dalam pembawakan diri sebagai hamba-Nya dan memimpin hamba-Nya yang lain juga  ke arah pengabdian kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah S.A.W, 
"Hamba yang paling dimurkai Allah ialah sesiapa yang pakaiannya lebih baik daripada amalannya. Bahawa pakaiannya seperti pakaian Nabi-Nabi dan amalannya 
amalan pembesar-pembesar angkuh"
(Riwayat Imam ad Dailami)

Sabda Rasulullah S.A.W lagi, 
"Datang seorang lelaki pada hari Kiamat, dia dicampak ke dalam neraka tiba-tiba perutnya keluar berjela maka dia  berpusing di dalamnya seperti keldai yang berpusing pada pinggulnya. Penghuni neraka berkumpul kepadanya lalu mereka bertanya; Bukankah awak dahulu menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran? Dia menjawab; Ya, sayalah menyuruh orang kepada kebaikan tetapi saya tidak mengerjakannya dan saya juga melarang kemungkaran, tetapi saya melakukannya."
(Muttafaqun 'Alaihi)

Sepatutnya pemimpin Islam haruslah menjadi contoh kepada orang lain dengan amal-amal soleh yang lebih baik, kalau tidak mereka selayaknya menjadi penipu umat kerana petah berbicara dengan bahasa yang indah lagi manis, bijak berhujah dengan segunung ilmu di dada tetapi sayang kerana amalan soleh itu sangat sedikit. Kurangnya mujahadah menuju redha Allah SWT. Kurangnya kebergantungan kepada Allah SWT.

Menjadi pejuang Islam kita haruslah mendidik diri dengan amalan-amalan yang mampu mendekatkan diri kepada Allah SWT ;

1. Mendirikan solat ;  solat wajib semestinya, solat sunat itu jangan dilupa. Solat-solat sunat itu mampu menjaga diri, membersihkan hati, mendidik diri agar sentiasa dekat dengan Allah SWT.

2. Berpuasa ; berpuasa di bulan Ramadhan itu wajib, yang sunat itu perlu. Puasa mampu mendidik diri merasa serba cukup dengan rezeki, melatih diri dengan penghayatan kesihatan yang baik.

3. Zikrullah ; setiap langkah dalam keadaan mengingati Allah SWT cukup nikmat kerana sentiasa merasakan diri akrab dengan Allah SWT. Sesungguhnya dengan mengingati Allah SWT, hati akan menjadi tenang.

4. Berbelanja pada jalan Allah SWT ; berbelanja di jalan Allah SWT bukan sahaja berkenaan zakat tetapi jua menginfakkan dan jua mendermakan rezeki yang Allah SWT beri di jalan Allah SWT. Berbelanja di jalan Allah SWT juga mendidik diri dengan pengorbanan demi Allah SWT. Namun, beringat tanpa keikhlasan segalanya sia-sia.


3. Mehnah

Apabila kita sudah berikrar dengan kalimah 'Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT, Rasulullah SAW itu pesuruh Allah SWT', kita sudah dijanjikan dengan pelbagai mehnah (ujian). Hanya orang yang beriman akan diuji kerana ujian itu sendiri diciptakan untuk mengetahui tahap keimanan kita kepada Allah SWT.

     Semua orang mampu menepuk dada mengaku ikhlas menerima setiap ujian & tarbiyah, sanggup mati kerana Allah SWT, kuat, berani, tabah & sebagainya namun jangan dilupa bahawa setiap itu akan diuji oleh Allah SWT. Sebagai manusia biasa, ditarbiyah melalui hakikat kehidupan itu ialah kemestian. Perkara yang baik bagi seseorang itu jika dia tidak hanya ditarbiyah dengan kertas-kertas modul, buku-buku, dan kuliah-kuliah tetapi mengalaminya sendiri pada peringkat kenyataan dan hakikat ujian praktikal sebenar daripada Allah SWT. Sungguh, setiap ujian itu untuk memupuk kesabaran, keikhlasan kepada Allah SWT, meningkatkan kebergantungan kepada Allah SWT, melatih diri sentiasa bersyukur kepada Allah SWT, dan sekaligus sebagai cara untuk Allah SWT melayakkan kita untuk menegakkan kalimah-Nya.


.: Semoga setiap langkah kaki dalam perjuangan berlandaskan keikhlasan kepada Allah SWT :.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...