Thursday, January 10, 2013

DAJJAL Final Exam

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Selawat atas baginda Rasulullah SAW, ahlul bait, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat-Nya, Redha Alhamdulillah atas segala ketentuan-Nya


Melangkah kaki masuk ke dewan peperiksaan, beserta selawat..doa..mengharapkan segala urusan dipermudahkan. Namun, sepanjang peperiksaan berlangsung, toyol itu jadi harapan. Kerja Dajjal itu yang dilakukan.

"Alaa..kau tulis je dalam tisu kecik pastu letak dalam poket. Nanti buat-buatlah selsema, tengok la."

"Alamak, sibuk pulak brother ni nak jaga sini. susah kot nak usha jawapan dorang ni ha"

"2 markah ni bezakan aku dengan budak-budak kelas ni, xleh jadi ni. kena tanya jugak jawapan ni"

"kita terpaksa lah buat macam ni, susah kot soalan tu."

"kitorang tak caya kau macam ni. kalau kau dari dulu macam ni, mesti kau dah lama jadi 1 geng dengan kitorang dah. cayalah~"


Cukuplah sekadar itu kata-kata yang sering kedengaran daripada mereka-mereka yang menjalankan 'penipuan terancang' semasa peperiksaan berlangsung.


Allah SWT MAHA MELIHAT

Sedarilah setiap langkah kita mahupun niat kita sentiasa diperhatikan Allah SWT, tidak terlepas juga daripada catatan malaikat kiri & kanan. Sekecil-kecil zarah hingga sebesar-besarnya perkara akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat nanti. Dalam keadaan tanpa seurat benang di badan, matahari di atas kepala hingga menenggelamkan kita dalam peluh sendiri, menanti giliran untuk dihisab satu persatu sehingga habis seluruh manusia dihisabkan. Beruntunglah menjadi umat Muhammad SAW yang dihisab paling awal di akhirat nanti walaupun kita pada hakikatnya ialah umat akhir zaman. Lebih beruntung lagi apabila kita dapat bersama Rasulullah SAW di akhirat nanti, menerima syafaat daripada baginda. Namun, jika kita sudah bersahabat dengan 'Dajjal halus' ketika final exam, tidak perlulah kita bercita-cita untuk bersama Rasulullah SAW tanpa taubat & penyesalan atas kesilapan terancang tersebut.


Aqidah-mu GOYAH

Aqidah ialah keimanan & keyakinan kita kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan tanpa sedikit pun keraguan. Baik, ini jawapan on paper . Lebih mudah boleh kita katakan aqidah itu ibarat kebergantungan kita kepada Allah SWT.
     Nama pun dah 'toyol', kenapalah masih lagi mengharapkan pertolongan 'toyol' itu. Yakinlah bahawa segala atas muka bumi ini milik Allah SWT. Jadi, maka jadilah kata Allah SWT. Tidak kira kita sudah berusaha sehabis baik atau belum. kita wajib kembali kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan. Namun, kita mestilah berusaha sehabis baik dalam setiap perbuatan yang dilakukan.
     Kita ialah hamba. Hamba Allah....yang bertuhankan Allah SWT yang Maha Mengetahui segalanya. Apabila kita menjadi hamba Dajjal final exam tersebut, itu bermakna kita sudahpun meletakkan kebergantungan kita kepada yang selain daripada Allah SWT. Yakinlah bahawa ilmu itu makhluk Allah SWT, jua rezeki daripada Allah SWT. Apabila Allah SWT nak beri, Dia akan beri pada hamba yang dipilih-Nya. Kita sebagai hamba hanya perlu berusaha untuk mendapatkannya mengikut jalan yang diredhai-Nya. Kerana itulah walau sehebat mana kita mentelaah pelajaran, tetapi ikatan hati & keimanan kita sangat lemah pada Allah SWT..kita masih merasakan kosong di jiwa. Merasa diri bertuhan pada tika-tika tertentu. Tika solat, rasa bertuhan itu tiba. Tika belajar, Tuhan dilupa entah ke mana. Allah SWT berhak untuk memberikan redha-Nya kepada yang diingininya. Bertaubatlah...


Fitnah DAJJAL yang SEBENAR

Sesungguhnya al-Quran tidak menyebutkan Dajjal secara jelas kerana dia telah mengaku sebagai tuhan padahal dia adalah manusia, di mana keadaan sangat bertentangan dengan kemuliaan Rabb, keagungan, kesempurnaan, dan kesuciaan-Nya dari segala kekurangan, kerana dia sangat hina di sisi Allah dan sangat kecil sehingga tidak layak untuk disebutkan (di dalam al-Qur-an). Walaupun demikian, para Nabi memberikan peringatan akan kedatangannya, menjelaskan bahaya fitnahnya, sebagaimana yang telah dijelaskan. Sesungguhnya setiap Nabi telah memberikan peringatan akan (kemunculannya) dan memberikan peringatan terhadap fitnahnya.



Bayangkan..jika kerana 2 markah di dunia yang kita lebih risaukan (gred) daripada redha Allah SWT yang Maha Memiliki & Maha Berkuasa atas kita, adakah kita mampu untuk melawan fitnah Dajjal sebenar apabila dia muncul?
     Tika turunnya Dajjal itu, kita tidak diuji dengan perkara sekecil 2 markah ini, tetapi dengan perkara yang lebih besar daripada itu. Kita diuji dengan rezeki, makanan, minuman, harta, banyak lagi yang benar-benar dapat menguji. Bayangkan, kerana mempertahankan keimanan kepada Allah SWT, kita akan dibiarkan hidup dalam kering-kontang kemarau yang menyeksakan. 
     Tika itu, bukan akal fikiran yang bijak pandai (bijak pandai pun masih belum dapat membezakan baik buruk perlakuan) yang dapat mengatakan 'Engkau bukan Tuhan-ku. Engkau DAJJAL !! '. Hanya iman di hati yang mampu menyelamatkan kita daripada menduakan-Nya. Jika kita sudahpun mensyirikkan Allah SWT atas muka bumi ini, kita sudahpun menempah singgahsana di neraka durjana.



.: Ya Allah, jadikanlah kami sebagai hamba-Mu yang sering mendekati-Mu, yang sering bertaubat kepada-Mu, yang sering mensyukuri nikmat pemberian-Mu, yang sering redha atas ketentuan-Mu, yang sering menghayati erti hidup sebagai hamba-Mu, yang sering setiap perlakuan itu atas nama-Mu :.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...