Monday, September 3, 2012

Dia di Kejauhan

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Selawat & salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat-Nya, Redha Alhamdulillah atas segala ketentuan-Nya.


Setelah berbulan bersama mereka...melihat realiti hidupnya yang ditinggalkan sementara selama ini dek tanggungjawabnya sebagai pelajar kampus di nun selatan semenanjung Malaysia, akhirnya tiba masa untuk dirinya kembali pulang ke bumi selatan meneruskan langkah sebagai peneroka ilmu-Nya.

     Terimbau beberapa perkara yang tersimpan rapi dalam benak fikirnya tika ini hingga terasa seperti ingin dibiarkan jari-jemari terus menari atas papan kekunci laptop menaip memori indah bersama yang tersayang.

     Bermula dengan kisah arwah datuk yang sakit tenat selama seminggu sebelum arwah meninggal dunia pada 28/7/2012, Tika itu baginya sangat rumit. Allah SWT menguji lagi. Rahsia yang disimpan hampir 10 tahun dibongkar tika itu. Di hadapan arwah datuk yang sedang tenat malah tidak mengenali sesiapa pun melainkan isterinya tika itu, rahsia itu seakan tidak memberi kesan kerana tiada apa-apa yang diingatinya. Namun, bagi insan lain di sekeliling yang masih waras akal fikiran dan menjadi saksi bongkaran rahsia itu...segalanya seolah-olah terpana. Senyuman dirinya tika awal ketibaannya bersama ibu tercinta dan adik-adik yang lain akhirnya hilang dan diganti tangisan esakan apabila dirinya dihambat pelukan oleh ibu saudaranya.

"Kakak kena banyak sabar ye. Apa yang jadi ini bukan salah ayah kakak, bukan jua salah mak kakak. Jaga adik-adik."

     Kata-kata keramat itu dilafazkan dekat di telinganya. Tangisan esakan itu sebagai respon terhadap kata-kata tersebut. Dia sudah pun mengetahui rahsia itu sejak sekian lamanya, dia juga sudah terlalu biasa dengan perkara itu hingga tiada lagi air mata yang mampu dikeluarkan untuk itu. Namun, apabila dirinya dihambat pelukan, segalanya berubah. Dirinya yang kuat memendam rasa, tabah kononnya mengukir senyuman tika hatinya menangis akhirnya menumpahkan air mata. Mungkin benar kata orang, perkara yang sakit itu perlu diluahkan kerana takut memakan diri.

     Namun, dirinya amat bersyukur kerana Allah SWT sentiasa ada untuk mendengar rintihannya. Mungkin itulah kekuatan yang didambanya selama ini. Tika di awal waktu dirinya dapat mengetahui kebenaran rahsia itu, ibu tempat bergantung yang erat selain Allah SWT. Namun, dek kerana tekanan hidup si ibu akhirnya si ibu melafazkan kata 'melepaskan si anak pergi'. Tiada lagi tempat si anak mengadu rasa, berkongsi cerita. Itulah didikan Allah kepada dirinya. Hanya Allah tempat bergantung dalam kehidupan daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara.

Cuti semester kali ini sangat menarik baginya. Pelbagai nikmat yang disulami ujian tiba kepadanya. Alhamdulillah semoga rasa sentiasa bersyukur itu berkekalan. Sering dirinya memikirkan segala apa yang berlaku dalam hidupnya itu sebagai perkara yang masih lagi baik baginya berbeza pada pandangan orang sekitar yang merasakan 'ee...teruknya'. Mungkin itulah hikmah daripada sikap 'sentiasa bersangka baik dengan perancangan Allah SWT'. Walau seteruk mana pun terjahan ujian yang berlaku, hakikatnya perancangan Allah SWT itu masih baik.

Kisah Ramadhan

     Ramadhan kali ini dihiasi dengan pekikan, makian, cacian, segala yang negatif kerana pergaduhan dan pertelingkahan antara insan-insan yang disayanginya. Hingga akhirnya dia mengangkat kaki keluar dari suasana ketegangan tersebut buat seketika bagi menenangkan hati adik-adik yang teresak-esak menangis kerana menyaksikan perkara yang tidak sepatutnya dilihat oleh mereka.

     Ramadhan kali ini juga dihiasi dengan pergaduhan dahsyat sang abang dengan sang adik di meja makan tika berbuka. Sepakan padu di kepala hingga tersepit sang abang tanpa apa-apa balasan menjadi bukti masing-masing mempunyai masalah hati yang sakit. Hati yang tidak sabar hingga natijahnya si ibu rebah terduduk dengan tangisan penuh esakan sambil memeluk mereka mengelakkan lebih lagi sengketa.

     Ramadhan kali ini juga dihiasi dengan nilai cinta dan kasih dari-Nya. Masih ada adiknya yang sudi mengikut dirinya melakukan solat berjemaah. Ini kali pertama sewaktu cuti di rumah, dia mendapat nikmat solat berjemaah setiap waktu solat hinggakan solat sunat terawih pun lebih baik dari tahun sebelumnya.

     Adik lelakinya yang sibuk bekerja sambilan ketika Ramadhan sering pulang ke rumah sangat lewat. Namun, ada suatu malam dirinya terus berjumpa dengan kakaknya, "Kak, bagi mak duit raya ni. Ni duit gaji aku RM 50. Bagi tau." "OK!" balas si kakak bahagia melihat adiknya itu. Pada malam itu juga adiknya akan keluar bersama rakan-rakan mencari baju raya di bazar-bazar tengah malam. Sebelum keluar, dia menghampiri kakaknya yang sedang baring menonton televisyen dan mencium pipi kakaknya. "Aku pergi dulu tau. Selamat hari raya." Terus adiknya bergegas keluar rumah. Tiada kata dari kakaknya, hanya doa di dalam hati ditembah padu ke langit, "Ya Allah, jagalah adik-adikku......"

Kisah Syawal

     "Tahun ni lantak korang la nak beraya kat mana pun. Aku dah tak kisah dah. Korang pun dah macam takde mak bapak. Buatlah apa yang korang suka. Esok aku takkan kejut korang bangun raya. Rumah yang bersepah ni pun, lantak korang la."

Allahurobbi....inilah kemuncaknya. Syawal tahun ini ternyata syawal yang paling pahit. Sungguh pahit hingga tiada apa kata yang mampu terluah. Kasihan melihat adik yang masih kecil sekadar diam. Berbeza sungguh syawalnya berbanding kakaknya tika kecil. Syawal ini si adik sekadar mengikut perancangan abang dan kakaknya yang ingin memberikan ketenangan pada si ibu tercinta dan memenuhi permintaan beraya bersama sang ayah. Akhirnya, pagi syawal tika keluarga yang lain sedang gembira menyambut syawal bersama keluarga, mereka bangun dengan sendiri...mengemas beg untuk sedia pergi merantau ke Johor beraya bersama si ayah, meninggalkan si ibu tercinta menenangkan fikiran di rumah seorang diri. Sungguh sedih.....hingga kini jika terimbau semula pasti tertumpah air mata sang kakak. Ketabahan adik-adik memberikan kekuatan kepada sang kakak.

.: Ada ketikanya apabila terlalu banyak perkara tragis yang berlaku dalam masa yang sekejap, kita hanya mampu terduduk dan merasakan 'cukuplah Allah bagiku'. :.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...