Friday, September 7, 2012

Penangan Ayat Dhuha

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat & Salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para muslimin muslimat.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmatNya, redha Alhamdulillah atas segala ketentuanNya.


Aduhai manusia...lemahnya hatimu...

Bergerak kerja atas nama Islam tidak mudah. Bukan sahaja pelaksanaannya yang sukar di akhir zaman yang penuh fitnah ini, malah keikhlasan hati pun amat sukar terbentuk kerana kerja Islam itu pasti tidak lari daripada bisikan syaitan durjana.

Membina Tsiqah Diri

Daie...tsiqah...suatu yang seharusnya seiring. Jika ingin menjadi daie yang baik, haruslah membina jua tsiqah diri kerana Allah SWT. Tsiqah tidak patutlah memilih. Dengan 'mad'u', tsiqahnya mantap. Dengan 'sahabat', tsiqahnya sentap. Jadilah diri sendiri dalam keadaan sedar 'aku ialah hamba Allah SWT' kerana tsiqah itu milik mutlak Allah SWT. Biarkan orang mengatakan bahawa 'kamu tidak tsiqah', yang penting tiada hati yang terguris dek 'tsiqah' yang dibina tanpa dihiraukan orang sekeliling. Bukan begitu cara Rasulullah SAW. Iman, asas akhlak yang baik akan membentuk tsiqah. Jika merasakan 'tidak tsiqah', checklist semula iman. Bagaimana hubungan kita dengan Allah SWT? Mantapkah hubungan kita dengan Allah SWT jika urusan kita dengan manusia sering mengundang murka dan ketegangan? Muhasabah~

Muslimat, berdikarilah!

Rasulullah SAW ialah seorang muslimin agung. Baginda juga punya sahabat dan sahabiah. Hebatnya baginda menjaga muslimat dengan baik. Mendidik muslimat agar berdikari dengan cara yang lembut. Kini, sukar ditemui 'akhi' dalam kebanyakan 'daie'. Tegang...kerana kerja Islam itu serius bukan mainan gurauan. Mind setting begitulah yang meruntuhkan momentum gerak kerja yang ikhlas. Tekanan...itu yang dirasa kerana kerja Islam perlu cepat siapnya. Tidak salah jika mahu segalanya dicepatkan tetapi jangan dipentingkan hasil 'janji siap', pentingkan kebersamaan 'turun padang' bekerja bersama terutama jika usahanya sukar untuk mendapatkan hasil yang mudah.

Checklists DIRI...

Muslimat...lembut benar hatimu. Murah benar air mata mu. Namun muslimat, ada cara hatimu mampu dikuatkan hingga air mata mu lebih mahal.

Jika hatimu rasa hiba sehibanya dengan tekanan dan kerendahan semangat, matamu mula terasa berat hingga ingin ditumpahkan air jernih, melangkahlah kakimu menyucikan diri dengan wudhu'. Tunaikan solat sunat 2 rakaat, merintihlah sepuasnya. Sedarilah bahawa sebenarnya hatimu tidak ikhlas sepenuhnya hingga ada ruang untuk kamu terasa hati dengan mudahnya pada ujian dari-Nya biarpun ujian itu sekadar kata-kata ringkas yang mengguris hati.


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Demi waktu Duha.

Dan malam apabila ia sunyi-sepi.

(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).

Dan sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.

Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda (berpuas hati).

Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan?

Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayat petunjuk (dengan wahyu Al-Quran)?

Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan?

Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya.

Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik.

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.




.: Kita benar-benar miskin kerana kita tidak punya apa-apa. Namun, kita sangat kaya jika merasakan nikmat bahawa Allah SWT itu Maha Dekat. Kita benar-benar yatim kerana kita tidak punya siapa-siapa untuk dijadikan tempat mengadu segala suka duka. Namun, Allah SWT sentiasa memberi perlindungan dan perhatian hingga kita merasakan sentiasa selamat. Allah SWT tidak meninggalkan, tidak juga membenci...Dia cuma menguji agar kita tidak akan meninggalkan-Nya, jua tidak akan menjauhi-Nya. Kita benar-benar dapat memperoleh kesudahan yang baik jika kita benar-benar yakin pada janji-Nya & sentiasa bersangka baik dengan setiap perancangan-Nya:.

Monday, September 3, 2012

Dia di Kejauhan

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Selawat & salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat-Nya, Redha Alhamdulillah atas segala ketentuan-Nya.


Setelah berbulan bersama mereka...melihat realiti hidupnya yang ditinggalkan sementara selama ini dek tanggungjawabnya sebagai pelajar kampus di nun selatan semenanjung Malaysia, akhirnya tiba masa untuk dirinya kembali pulang ke bumi selatan meneruskan langkah sebagai peneroka ilmu-Nya.

     Terimbau beberapa perkara yang tersimpan rapi dalam benak fikirnya tika ini hingga terasa seperti ingin dibiarkan jari-jemari terus menari atas papan kekunci laptop menaip memori indah bersama yang tersayang.

     Bermula dengan kisah arwah datuk yang sakit tenat selama seminggu sebelum arwah meninggal dunia pada 28/7/2012, Tika itu baginya sangat rumit. Allah SWT menguji lagi. Rahsia yang disimpan hampir 10 tahun dibongkar tika itu. Di hadapan arwah datuk yang sedang tenat malah tidak mengenali sesiapa pun melainkan isterinya tika itu, rahsia itu seakan tidak memberi kesan kerana tiada apa-apa yang diingatinya. Namun, bagi insan lain di sekeliling yang masih waras akal fikiran dan menjadi saksi bongkaran rahsia itu...segalanya seolah-olah terpana. Senyuman dirinya tika awal ketibaannya bersama ibu tercinta dan adik-adik yang lain akhirnya hilang dan diganti tangisan esakan apabila dirinya dihambat pelukan oleh ibu saudaranya.

"Kakak kena banyak sabar ye. Apa yang jadi ini bukan salah ayah kakak, bukan jua salah mak kakak. Jaga adik-adik."

     Kata-kata keramat itu dilafazkan dekat di telinganya. Tangisan esakan itu sebagai respon terhadap kata-kata tersebut. Dia sudah pun mengetahui rahsia itu sejak sekian lamanya, dia juga sudah terlalu biasa dengan perkara itu hingga tiada lagi air mata yang mampu dikeluarkan untuk itu. Namun, apabila dirinya dihambat pelukan, segalanya berubah. Dirinya yang kuat memendam rasa, tabah kononnya mengukir senyuman tika hatinya menangis akhirnya menumpahkan air mata. Mungkin benar kata orang, perkara yang sakit itu perlu diluahkan kerana takut memakan diri.

     Namun, dirinya amat bersyukur kerana Allah SWT sentiasa ada untuk mendengar rintihannya. Mungkin itulah kekuatan yang didambanya selama ini. Tika di awal waktu dirinya dapat mengetahui kebenaran rahsia itu, ibu tempat bergantung yang erat selain Allah SWT. Namun, dek kerana tekanan hidup si ibu akhirnya si ibu melafazkan kata 'melepaskan si anak pergi'. Tiada lagi tempat si anak mengadu rasa, berkongsi cerita. Itulah didikan Allah kepada dirinya. Hanya Allah tempat bergantung dalam kehidupan daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara.

Cuti semester kali ini sangat menarik baginya. Pelbagai nikmat yang disulami ujian tiba kepadanya. Alhamdulillah semoga rasa sentiasa bersyukur itu berkekalan. Sering dirinya memikirkan segala apa yang berlaku dalam hidupnya itu sebagai perkara yang masih lagi baik baginya berbeza pada pandangan orang sekitar yang merasakan 'ee...teruknya'. Mungkin itulah hikmah daripada sikap 'sentiasa bersangka baik dengan perancangan Allah SWT'. Walau seteruk mana pun terjahan ujian yang berlaku, hakikatnya perancangan Allah SWT itu masih baik.

Kisah Ramadhan

     Ramadhan kali ini dihiasi dengan pekikan, makian, cacian, segala yang negatif kerana pergaduhan dan pertelingkahan antara insan-insan yang disayanginya. Hingga akhirnya dia mengangkat kaki keluar dari suasana ketegangan tersebut buat seketika bagi menenangkan hati adik-adik yang teresak-esak menangis kerana menyaksikan perkara yang tidak sepatutnya dilihat oleh mereka.

     Ramadhan kali ini juga dihiasi dengan pergaduhan dahsyat sang abang dengan sang adik di meja makan tika berbuka. Sepakan padu di kepala hingga tersepit sang abang tanpa apa-apa balasan menjadi bukti masing-masing mempunyai masalah hati yang sakit. Hati yang tidak sabar hingga natijahnya si ibu rebah terduduk dengan tangisan penuh esakan sambil memeluk mereka mengelakkan lebih lagi sengketa.

     Ramadhan kali ini juga dihiasi dengan nilai cinta dan kasih dari-Nya. Masih ada adiknya yang sudi mengikut dirinya melakukan solat berjemaah. Ini kali pertama sewaktu cuti di rumah, dia mendapat nikmat solat berjemaah setiap waktu solat hinggakan solat sunat terawih pun lebih baik dari tahun sebelumnya.

     Adik lelakinya yang sibuk bekerja sambilan ketika Ramadhan sering pulang ke rumah sangat lewat. Namun, ada suatu malam dirinya terus berjumpa dengan kakaknya, "Kak, bagi mak duit raya ni. Ni duit gaji aku RM 50. Bagi tau." "OK!" balas si kakak bahagia melihat adiknya itu. Pada malam itu juga adiknya akan keluar bersama rakan-rakan mencari baju raya di bazar-bazar tengah malam. Sebelum keluar, dia menghampiri kakaknya yang sedang baring menonton televisyen dan mencium pipi kakaknya. "Aku pergi dulu tau. Selamat hari raya." Terus adiknya bergegas keluar rumah. Tiada kata dari kakaknya, hanya doa di dalam hati ditembah padu ke langit, "Ya Allah, jagalah adik-adikku......"

Kisah Syawal

     "Tahun ni lantak korang la nak beraya kat mana pun. Aku dah tak kisah dah. Korang pun dah macam takde mak bapak. Buatlah apa yang korang suka. Esok aku takkan kejut korang bangun raya. Rumah yang bersepah ni pun, lantak korang la."

Allahurobbi....inilah kemuncaknya. Syawal tahun ini ternyata syawal yang paling pahit. Sungguh pahit hingga tiada apa kata yang mampu terluah. Kasihan melihat adik yang masih kecil sekadar diam. Berbeza sungguh syawalnya berbanding kakaknya tika kecil. Syawal ini si adik sekadar mengikut perancangan abang dan kakaknya yang ingin memberikan ketenangan pada si ibu tercinta dan memenuhi permintaan beraya bersama sang ayah. Akhirnya, pagi syawal tika keluarga yang lain sedang gembira menyambut syawal bersama keluarga, mereka bangun dengan sendiri...mengemas beg untuk sedia pergi merantau ke Johor beraya bersama si ayah, meninggalkan si ibu tercinta menenangkan fikiran di rumah seorang diri. Sungguh sedih.....hingga kini jika terimbau semula pasti tertumpah air mata sang kakak. Ketabahan adik-adik memberikan kekuatan kepada sang kakak.

.: Ada ketikanya apabila terlalu banyak perkara tragis yang berlaku dalam masa yang sekejap, kita hanya mampu terduduk dan merasakan 'cukuplah Allah bagiku'. :.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...