Saturday, August 4, 2012

Ramadhan Kian Pergi

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat dan Salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat-Nya, Redha Alhamdulillah atas segala ketentuan-Nya.


Orang kata, Ramadhan merupakan medium terbaik untuk menjadikan sesuatu perkara itu sebagai kebiasaan. Orang yang masih berada dalam kehinaan ketika bulan Ramadhan ialah orang yang benar-benar celaka kerana sesungguhnya dia sememangnya tidak mensyukuri nikmat Allah SWT yang ingin memberikan 1001 malah lebih rahmat untuk hamba-Nya.

Siapa yang CELAKA?

     Orang yang ego dengan manusia adakalanya akan ego dengan Allah SWT. Itu yang berlaku pada orang yang mensia-siakan nikmat masa barakah dalam bulan Ramadhan ini. Mereka dikatakan ego, sombong kerana mereka tidak mahu meminta daripada Allah SWT. Solat 5 waktu pun masih terkejar-kejar ingin dipenuhi. Jika penuh sekalipun, solat itu sekadar 'cukup syarat' sahaja. Berdoa selepas solat pun hanya menambahkan sedikit hiasan palsu atas solat tersebut kerana berdoa tidak dengan penuh pengharapan kepada Yang Maha Menguasai.

     Puasa juga sekadar syarat. Selepas sahur, terus kembali menumbangkan diri atas katil. Sebaiknya, masa selepas sahur itu dihiasi dengan bacaan Al-Quran yang dilengkapkan dengan tafsiran makna. Puasa lebih didefinasikan sebagai menahan lapar dahaga sedangkan puasa itu menahan diri daripada segalanya yang menjauhkan kita daripada Allah SWT. Indahnya nikmat Allah SWT yang ingin hamba-Nya sentiasa dekat dengan-Nya. Malah, Allah SWT menghadiahkan segunung pahala untuk hamba-Nya yang bermujahadah mendekati-Nya.

Lepaskan Si CELAKA!

     Allah SWT Maha Pengampun, Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang. Berubah , berhijrah itulah solusi untuk melepaskan sifat si CELAKA dalam diri.

1. Muhasabah Diri ;
seutuh mana kita meletakkan Allah SWT dalam hati kita
segigih mana kita berusaha mendapatkan redha-Nya
setabah mana kita mampu menerima Qada' Qadar-Nya tanpa Allah SWT di sisi
sehebat mana kita mampu menerajui kehidupan tanpa redha-Nya

2. Menjaga solat di awal waktu ;
Jika solat yang sebentar itu pun sudah tidak mampu kita jaga sebaiknya, bermaksud tautan hati antara kita dengan Allah SWT sudah sangat lemah dan hanya menanti putus..Naudzubillah
Jadikan solat sebagai medium terhebat kita benar-benar rapat dengan Allah SWT, merasakan Allah SWT benar-benar hadir di sisi, melihat setiap pergerakan solat kita, dikurniakan solat yang khusyuk.

3. Mengaji Al-Quran ;
Jadikan Al-Quran sebagai bahan bacaan utama di bulan Ramadhan ini. Rasakan dalam hati bahawa Allah SWT benar-benar ingin menyampaikan sesuatu kepada kita melalui surat cinta-Nya itu. Hayatilah sedalamnya setiap makna penafsiran ayat Al-Quran agar kita menjadi hamba-Nya yang dikatakan sebagai 'golongan yang berfikir'.

4. Solat Sunat Taubat suatu kewajipan ;
Kita tidak pernah terlepas daripada melakukan dosa walau sekelumit zarah. Allah SWT Maha Mengetahui betapa lemahnya diri kita berhadapan dengan fitnah dunia, hasutan syaitan, godaan nafsu biarpun dalam bulan Ramadhan ini. Jadi, teruskan melakukan solat sunat taubat kerana Allah SWT Maha Pemurah, mencintai hamba-Nya yang bertaubat kepada-Nya. Biarpun ada ketikanya kita tumbang dengan maksiat kembali, teruskan mujahadah melakukan solat sunat taubat biarpun berulang kali kerana Allah SWT melarang keras hamba-Nya yang berputus asa daripada rahmat-Nya.

.: Sentiasalah mengharapkan keredhaan Allah SWT, kerana tanpa pengharapan untuk redha-Nya, setiap langkah perbuatan kita dalam kehidupan hanyalah berintikan kekosongan yang menjadi rutin harian manusia biasa yang hanya menunggu dirinya dikuburkan :.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...