Wednesday, August 15, 2012

Pertemuan Akhirat

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Selawat & Salam atas Baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat-Nya, Redha Alhamdulillah atas segala ketentuan-Nya.



Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya ;

Bermula roh-roh itu berkelompok-kelompok, mana yang sesuai (sifat, akhlak, tujuannya), maka roh-roh itu menjadi jinak (saling mencintai). Manakala jika (sifat, akhlak, tujuannya) tidak sepadan, maka ia akan saling menjauh (bertelingkah). -riwayat al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud-

Apabila antara 2 pihak itu tidak selari tujuannya, pertelingkahan itu mudah berlaku. Contohnya di dalam perkahwinan itu sendiri, jika si isteri bertujuan kepada duniawi semata manakala sang suami bertujuan akhirat hakiki, pasti sering berlaku pertelingkahan kerana orientasi jiwa yang berbeza. Orientasi jiwa yang berbeza ini akan menyebabkan pertembungan. Jika pertembungan itu dapat diolah sedikit supaya bertemu persamaan, pasti pertelingkahan dapat dielakkan.


Menyedari Matlamat Kehidupan

Setiap insan di muka bumi ini dihadiahkan dengan fitrah yang serupa yakni, fitrah inginkan kebaikan. Agama sebagai jalan terbaik diri dipandu semoleknya dalam kebaikan. Fitrah merasakan 'hidup ber-Tuhan' juga pasti tersimpan dalam sanubari insan.
 
   Namun, ada tikanya fitrah-fitrah kebaikan seperti itu mampu dicarik kesuciannya dek hiasan dunia berupa harta, wanita & sebagainya seperti yang pernah difirmankan Allah swt berkenaan dunia dan hiasan di dalamnya.

   Matlamat hidup seorang hamba Allah sewajibnya ialah mendapatkan keredhaan Allah SWT.


Menyedari Hakikat Kehidupan

Walaupun pembuka bicara tajuk kali ini menyentuh soal si isteri dan suami yang berbeza tujuan, mari dialihkan seketika pada hakikat kehidupan terutama kepada yang belum bergelar isteri atau suami.

   Dalam kehidupan seharian sebagai pelajar, kawan, anak, kakak, & sebagainya...pasti kita berhadapan dengan pelbagai jenis manusia & kerenahnya. Contoh yang mudah kepada mereka yang memegang jawatan dalam sebuah persatuan atau badan organisasi, datang melangkahkan kaki dengan niat untuk mendapatkan redha Ilahi. Namun, niat itu dilupakan secara tidak sengaja apabila kita sibuk berdebat mahukan keputusan. Kita sedia maklum bahawa niat itu mudah berubah. Islam tidak melarang berdebat & seangkatan dengannya cuma Islam menunjukkan cara debat yang baik. Itulah hakikat yang berlaku, biarpun semua ahli mesyuarat berniatkan redha Allah swt yakni tujuan yang sama, masih boleh berlaku pertelingkahan kerana ada ketikanya masing-masing terlupa bahawa redha Allah itu tidak mudah didamba seperti dikata.

Pesanlah selalu kepada diri jika dalam suasana tegang yang menguji bahawa diri kita hanya ingin redha-Nya. Bisikkan ke dalam hati bahawa Allah SWT sedang memerhati diri kita sebagai hamba-Nya.

"Ya Allah Tuhan yang Maha Memerhati setiap apa yang terzahir malah tersembunyi. Ampunkan segala dosa kami atas segala keterlanjuran yang kami sedar atau tidak sedar. "


.: Jika sudah sehaluan untuk mendapatkan redha Allah swt sekalipun, namun masih ada sekelumit bongkak di dalam hati bahawa 'aku lebih mulia' pastinya banyak perkara rumit yang berlaku. Hal ini kerana kita sudah bertindak zalim dengan tidak meletakkan diri di tempat yang sepatutnya yakni 'hamba Allah yang mendambakan redha-Nya' :.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...