Tuesday, August 21, 2012

Tudung Labuh Jaga Hati

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat & Salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat yang diberikan, Redha Alhamdulillah atas segala ketentuan.


Terimbau pertama kali mengenakan tudung labuh di kepala,

"Nah, syud! Ambik la tudung labuh pink ni. syud suka warna pink kan? Fatma baru gosok."
"Eh...betul ke ni? Syud pinjam ye!"
"Takpe..takpe..fatma bagi syud je tudung ni. Hadiah untuk syud."

"Thanx fat!

     Pelbagai halangan yang berlaku dalam mujahadah mengenakan tudung labuh. Rakan lama segan lepak bersama, beberapa insan menjauhkan diri, beberapa insan mengutuk, mempertikaikan, sebagainya yang hampir serupa...negatif ~


     Jika yang negatif itu datang dari hamba Allah SWT, pasti yang positif itu datang dari Allah SWT. Allah SWT sudah berjanji bahawa ganjaran syurga diberikan kepada orang yang bersabar. Yang menyokong dan mengkritik pada masa yang sama, itulah antara ujian halangan kepada hamba-hambaNya yang berniatkan kepada perubahan.

     Jangan dilihat pada labuhnya tudung, longgarnya jubah untuk menilai 'baik' 'buruk' seseorang itu. Labuhnya tudung bukan menandakan pasti baik namun labuhnya tudung itu pastinya antara langkah baik bagi mula mendekati yang Maha Lembut lagi Baik yakni Allah SWT yang Esa. Ada tikanya, perubahan luaran itu mampu mendidik dalaman.

    Tudung labuh itu melindungi diri dari yang tidak sepatutnya. Sangat mudah Allah SWT menjaga wanita daripada fitnah yang mudah menghampiri dengan syarat mujahadahlah untuk mendekati Allah SWT, pasti Allah SWT mempermudahkan diri menjauhi orang yang jauh daripada Allah SWT. Kita bukanlah Tuhan yang berhak menilai 'jauh' 'dekat' nya seseorang itu dengan Allah SWT namun, kita mampu melihat seseorang itu melalui akhlaknya.

     Akhlak itu cerminan iman, erat tautan hati kepada Allah, utuh iman kepada Allah, indah jua akhlak yang terpancar dalam menerusi langkah sebagai musafir jalanan di dunia sementara ini. Tudung labuh mengajar diri menjaga akhlak sebaik mungkin agar tidak menconteng arang ke muka para muslimah lain yang ikhlas menjaga diri kerana Allah SWT, lebih-lebih lagi kepada Allah SWT yang Maha Memerhati agar diri terus dijaga rapi oleh sebaik-baik Penjaga.

     Tudung labuh panas itu istilah biasa bagi mereka yang tidak pernah mencubanya. Hakikatnya, tudung labuh itu nyaman, menjaga diri dari yang tidak baik untuk kulit kita. Hikmahnya setiap kebaikan yang Allah SWT ciptakan pasti tersembunyi berganda-ganda rahsia. Antara kesilapan si pemakai tudung labuh ialah bau badan yang tidak terjaga. Islam mengajar kebersihan, tidaklah haram memakai wangian yang hanya digunakan sedikit sahaja bagi mengelakkan ketidakselesaan para insan di sekeliling. Sedangkan Rasulullah SAW menggemari minyak wangi.

     Tudung labuh bukan syarat untuk pilih geng kepala sefikrah, tetapi tudung labuh ialah pintu kepada geng luar fikrah mengenali Islam. Sebagaimana Al-Quran panduan akhlak utama yang diciptakan untuk disebarkan kepada sekalian alam, begitulah jua kebaikan tudung labuh. Perlu disebarkan nikmat rahmat daripada Allah SWT. Jangan tubuhkan geng tudung labuh, tetapi tubuhkanlah geng ingin Islam.

     Pelbagai fesyen terkini menjadi perbahasan pelbagai pihak. Selendang besar, pashmina lebar, tudung bulat, tudung bawal 60 inci, dan sebagainya dapat digunakan untuk menutup aurat. Jika ada yang benar-benar tidak kena pada pandangan mata syariat Islam, tegurlah dengan mendidik mereka yang alpa itu dengan syariat Islam terlebih dahulu sebelum menghukum nilai syurga neraka mereka. Jika ada yang tidak kena pada pandangan mata sendiri, silalah bertegur dengan hikmah seiring dengan akhlak Islamiyyah. Di mata kita, perkara itu mungkin tidak sepatutnya seperti pemakaian selendang buat para daie muslimah, namun mungkin pada pandangan mata yang lain, cara itulah yang menunjukkan Islam itu mesra remaja..wallahu'alam~

.: Labuhkan tudungmu menutupi dada, kerana Allah SWT ingin melindungi dirimu daripada mata durjana, dan terus menjagamu hingga ke syurga :.

Wednesday, August 15, 2012

Pertemuan Akhirat

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Selawat & Salam atas Baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat-Nya, Redha Alhamdulillah atas segala ketentuan-Nya.



Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya ;

Bermula roh-roh itu berkelompok-kelompok, mana yang sesuai (sifat, akhlak, tujuannya), maka roh-roh itu menjadi jinak (saling mencintai). Manakala jika (sifat, akhlak, tujuannya) tidak sepadan, maka ia akan saling menjauh (bertelingkah). -riwayat al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud-

Apabila antara 2 pihak itu tidak selari tujuannya, pertelingkahan itu mudah berlaku. Contohnya di dalam perkahwinan itu sendiri, jika si isteri bertujuan kepada duniawi semata manakala sang suami bertujuan akhirat hakiki, pasti sering berlaku pertelingkahan kerana orientasi jiwa yang berbeza. Orientasi jiwa yang berbeza ini akan menyebabkan pertembungan. Jika pertembungan itu dapat diolah sedikit supaya bertemu persamaan, pasti pertelingkahan dapat dielakkan.


Menyedari Matlamat Kehidupan

Setiap insan di muka bumi ini dihadiahkan dengan fitrah yang serupa yakni, fitrah inginkan kebaikan. Agama sebagai jalan terbaik diri dipandu semoleknya dalam kebaikan. Fitrah merasakan 'hidup ber-Tuhan' juga pasti tersimpan dalam sanubari insan.
 
   Namun, ada tikanya fitrah-fitrah kebaikan seperti itu mampu dicarik kesuciannya dek hiasan dunia berupa harta, wanita & sebagainya seperti yang pernah difirmankan Allah swt berkenaan dunia dan hiasan di dalamnya.

   Matlamat hidup seorang hamba Allah sewajibnya ialah mendapatkan keredhaan Allah SWT.


Menyedari Hakikat Kehidupan

Walaupun pembuka bicara tajuk kali ini menyentuh soal si isteri dan suami yang berbeza tujuan, mari dialihkan seketika pada hakikat kehidupan terutama kepada yang belum bergelar isteri atau suami.

   Dalam kehidupan seharian sebagai pelajar, kawan, anak, kakak, & sebagainya...pasti kita berhadapan dengan pelbagai jenis manusia & kerenahnya. Contoh yang mudah kepada mereka yang memegang jawatan dalam sebuah persatuan atau badan organisasi, datang melangkahkan kaki dengan niat untuk mendapatkan redha Ilahi. Namun, niat itu dilupakan secara tidak sengaja apabila kita sibuk berdebat mahukan keputusan. Kita sedia maklum bahawa niat itu mudah berubah. Islam tidak melarang berdebat & seangkatan dengannya cuma Islam menunjukkan cara debat yang baik. Itulah hakikat yang berlaku, biarpun semua ahli mesyuarat berniatkan redha Allah swt yakni tujuan yang sama, masih boleh berlaku pertelingkahan kerana ada ketikanya masing-masing terlupa bahawa redha Allah itu tidak mudah didamba seperti dikata.

Pesanlah selalu kepada diri jika dalam suasana tegang yang menguji bahawa diri kita hanya ingin redha-Nya. Bisikkan ke dalam hati bahawa Allah SWT sedang memerhati diri kita sebagai hamba-Nya.

"Ya Allah Tuhan yang Maha Memerhati setiap apa yang terzahir malah tersembunyi. Ampunkan segala dosa kami atas segala keterlanjuran yang kami sedar atau tidak sedar. "


.: Jika sudah sehaluan untuk mendapatkan redha Allah swt sekalipun, namun masih ada sekelumit bongkak di dalam hati bahawa 'aku lebih mulia' pastinya banyak perkara rumit yang berlaku. Hal ini kerana kita sudah bertindak zalim dengan tidak meletakkan diri di tempat yang sepatutnya yakni 'hamba Allah yang mendambakan redha-Nya' :.

Warkah Buatmu

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Selawat & Salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmatNya, Redha Alhamdulillah atas segala ketentuan-Nya.




Assalamualaikum...

Apa khabar bidadariku? Semoga bakal isteriku ini sentiasa tenang berada dalam pemeliharaan Allah S.W.T. Amin Ya Rabbal alamin..

Bidadariku,
Tahukah dikau yang aku sentiasa merinduimu? Aku sentiasa berdoa agar dipertemukan denganmu kelak dan sesunggunhnya Allah itu maha adil lagi maha mengetahui. Dia telah menemukan aku denganmu.. Sesungguhnya tiada manusia yang sempurna di muka bumi ini, namun aku dapat merasakan bahawa engkaulah gadis solehah yang aku cari-cari selama ini.

Sayangku,
Sesungguhnya aku amat tertarik akan keindahan akhlak peribadimu dan itu amat membuatkan hatiku berdebar saat bertemu denganmu walaupun kau sentiasa menundukkan pandangan mata. Aku masih dapat melihat terpancarnya sinar nur dari wajahmu. Aku tidak memandang pada kejelitaan.. walau kurangnya paras rupamu, aku tetap bertekad ingin menyuntingmu buat menjadi isteriku dunia dan akhirat.

Wahai bidadariku,
Aku tidak sabar untuk menjadi suamimu.. merawat luka dan menghiburkan hatimu agar dikau sentiasa bahagia dalam mencari redha Ilahi, ku juga ingin merasa belaian mesra dari mu. Kerna itu aku sentiasa berdoa agar dikau menjadi pendampingku.

Kekasihku,
Aku ingin sentiasa membisikkan kalimah-kalimah suci di telingamu.. agar dikau dapat merasakan besarnya keagungan Allah s.w.t. Ku ingin mengejutkanmu saat malam yang dingin untuk sujud menyembah Ilahi.. Aku ingin membimbingmu dan aku juga mahu agar dikau sentiasa bersedia untuk menegur segala kekhilafanku.

Buat bakal isteriku,
Redha dan terimalah atas apa-apa sahaja ketentuan-Nya. Kerana Dia lebih mengetahui.. Jika benar kau adalah jodohku dan bakal calon bidadariku, aku memohon pada Ilahi agar dipercepatkan ijab dan kabul ini agar aku sah menjadi suami yang dapat mengimamkan solatmu..
Sekian sahaja warkahku ini..

Hanya satu pesananku. Jika kau mencintaiku, cintailah aku kerana Ilahi. Kerana aku hanya manusia biasa yang tidak punya apa-apa melainkan sekeping hati yang ikhlas mencintaimu kerana Allah..
Ikhlas daripada bakal suamimu..

-fully copied from iluvislam.com-

Saturday, August 11, 2012

Ramadhan Tanpa Kata

Dengan Nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
Selawat & Salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat-Nya, redha Alhamdulillah atas segala ketentuan-Nya.


Pelbagai perkara yang berlaku dalam lembah Ramadhan kali ini. Tika yang lain tinggi tahap ibadatnya, ada hambaNya yang semakin tinggi tahap ujian dariNya. Tika yang lain sedang ramah saling mengingati ibadat kepada Ilahi, ada hambaNya yang dirundung jeritan ego dan kemungkaran. Tika yang lain dihadiahkan dengan nikmat ahli baru dalam keluarga, ada hambaNya yang dibawa pergi insan disayangi menghadap Ilahi.

   Mengimbau kembali sisa-sisa coretan Ramadhan kali ini sejak awal masuknya 1 Ramadhan....sungguh betapa tersimpan sebeban kerugian kepada insan yang bernama manusia. Manusia itu lupa, tambah alpa bahawa Allah SWT itu Maha Pemurah dengan rahmatNya. Disediakan oleh-Nya satu bulan yang penuh dengan keberkatan. Penuh dengan peluang dalam perubahan. Penuh dengan segala yang sukar didamba dalam berbulan-bulan kehidupan.

   Masa berputar tanpa seketika pun terhenti. Terus berjalan taat pada perintah-Nya. Buktikan pada manusia bahawa mereka benar-benar dalam kerugian. Kerugian besar jika mereka berpaling dari-Nya dalam bulan keberkatan dinamakan Ramadhan.

Nikmat Allah SWT itu kadangkala cukup sebagai tanda Allah SWT berbicara dengan kita, Tidak perlu ditunggu musibah, bala menjelma baru tersentak "Allah sedang menegur". Antara nikmat terbesar yang Allah SWT berikan pada hamba-Nya ialah nikmat merasakan bahawa 'Allah ada bersama kita'.

Allah ada bersama kita...

Mengimbau kenangan sejak mula mengenal dunia. Mengenal Tuhan melalui kalimah yang terbit daripada bibir ibu ayah tercinta. Betapa semakin hinanya diri. Semakin bongkak pada Pencipta Agung. Semakin keras kepala menurut nafsu sendiri. Tapi rahmat Allah SWT mengatasi kemurkaan-Nya. Biar berulang kali dosa terlaksana, taubat ditinggal sengaja, Allah SWT masih memelihara. Tidak ditimpakan setinggi taufan menghempap bumi berpijaknya kaki. Tidak ditimpakan segagah bumi bergegar menelan sekujur badan. Subhanallah...Allah Maha Berkuasa kepada hamba-Nya...namun rahmat kasih sayang-Nya tidak berbelah bagi diberi pada hamba-Nya. Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah

Allah sudah cukup...

Menongkah arus kehidupan, berhadapan pelbagai ragam keadaan. Itulah ujian di mata orang, namun itulah nikmat di mata kita. Perancangan Allah SWT berbeza untuk setiap hamba-Nya. Yang cantik di mata orang, itu yang terlalu indah bagi kita. Yang buruk di mata orang, itulah yang terbaik buat kita. Allah SWT sebaik-baik perancang. Teruskan langkahan kaki menurut perancangan Allah SWT dengan penuh redha tanda tunduk patuh mendambakan keredhaan-Nya. Sejak mengenali dunia, hingga kembali ditanam ke dalamnya...Allah SWT sentiasa bersama kita. Tepuk dada, tanya hati di mana engkau meletakkan Allah SWT. Tika solat kah, tika doa kah, atau tika taubat kah? Allah SWT sentiasa bersama..sentiasa...tidak pernah sesaat dirimu terlepas daripada pandangan-Nya namun engkau yang memalingkan pandangan dari-Nya. Namun, Allah SWT masih lagi memberi pelbagai nikmat atas dunia-Nya ini untukmu. Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah

Allah satu-satunya tempat pergantungan...

Jadikan dirimu yang hatinya tertaut erat kepada-Nya...
Jadikan dirimu yang fikirannya hanya memikirkan Allah SWT dan bukti kebesaran-Nya...
Jadikan dirimu yang bibirnya hanya melafazkan kata zikir dan keampunan kepada-Nya...
Jadikan dirimu yang langkahan kakinya sentiasa dipandu kalimah suci-Nya...
Jadikan dirimu yang hidup-Nya semata-mata mendamba keredhaan-Nya...

.: Ya Allah, jadikanlah kami sebagai hambaMu yang sering mendekatkan diri kepadaMu...yang sering bertaubat kepadaMu...yang sering mengharapkan redhaMu.
Cukuplah hanya Engkau bagi kami... :.

Detik Terakhir Ramadhan

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih...
Selawat & Salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmatNya, redha Alhamdulillah atas segala ketentuanNya...



Kini...menghampiri detik terakhir penghujung Ramadhan. Terimbau apakah yang diri ini lakukan sepanjang hari Ramadhan yang berlalu sebelum ini.

"Demi Masa...sesungguhnya manusia itu dalam kerugian..."



Saturday, August 4, 2012

Ramadhan Kian Pergi

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat dan Salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat-Nya, Redha Alhamdulillah atas segala ketentuan-Nya.


Orang kata, Ramadhan merupakan medium terbaik untuk menjadikan sesuatu perkara itu sebagai kebiasaan. Orang yang masih berada dalam kehinaan ketika bulan Ramadhan ialah orang yang benar-benar celaka kerana sesungguhnya dia sememangnya tidak mensyukuri nikmat Allah SWT yang ingin memberikan 1001 malah lebih rahmat untuk hamba-Nya.

Siapa yang CELAKA?

     Orang yang ego dengan manusia adakalanya akan ego dengan Allah SWT. Itu yang berlaku pada orang yang mensia-siakan nikmat masa barakah dalam bulan Ramadhan ini. Mereka dikatakan ego, sombong kerana mereka tidak mahu meminta daripada Allah SWT. Solat 5 waktu pun masih terkejar-kejar ingin dipenuhi. Jika penuh sekalipun, solat itu sekadar 'cukup syarat' sahaja. Berdoa selepas solat pun hanya menambahkan sedikit hiasan palsu atas solat tersebut kerana berdoa tidak dengan penuh pengharapan kepada Yang Maha Menguasai.

     Puasa juga sekadar syarat. Selepas sahur, terus kembali menumbangkan diri atas katil. Sebaiknya, masa selepas sahur itu dihiasi dengan bacaan Al-Quran yang dilengkapkan dengan tafsiran makna. Puasa lebih didefinasikan sebagai menahan lapar dahaga sedangkan puasa itu menahan diri daripada segalanya yang menjauhkan kita daripada Allah SWT. Indahnya nikmat Allah SWT yang ingin hamba-Nya sentiasa dekat dengan-Nya. Malah, Allah SWT menghadiahkan segunung pahala untuk hamba-Nya yang bermujahadah mendekati-Nya.

Lepaskan Si CELAKA!

     Allah SWT Maha Pengampun, Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang. Berubah , berhijrah itulah solusi untuk melepaskan sifat si CELAKA dalam diri.

1. Muhasabah Diri ;
seutuh mana kita meletakkan Allah SWT dalam hati kita
segigih mana kita berusaha mendapatkan redha-Nya
setabah mana kita mampu menerima Qada' Qadar-Nya tanpa Allah SWT di sisi
sehebat mana kita mampu menerajui kehidupan tanpa redha-Nya

2. Menjaga solat di awal waktu ;
Jika solat yang sebentar itu pun sudah tidak mampu kita jaga sebaiknya, bermaksud tautan hati antara kita dengan Allah SWT sudah sangat lemah dan hanya menanti putus..Naudzubillah
Jadikan solat sebagai medium terhebat kita benar-benar rapat dengan Allah SWT, merasakan Allah SWT benar-benar hadir di sisi, melihat setiap pergerakan solat kita, dikurniakan solat yang khusyuk.

3. Mengaji Al-Quran ;
Jadikan Al-Quran sebagai bahan bacaan utama di bulan Ramadhan ini. Rasakan dalam hati bahawa Allah SWT benar-benar ingin menyampaikan sesuatu kepada kita melalui surat cinta-Nya itu. Hayatilah sedalamnya setiap makna penafsiran ayat Al-Quran agar kita menjadi hamba-Nya yang dikatakan sebagai 'golongan yang berfikir'.

4. Solat Sunat Taubat suatu kewajipan ;
Kita tidak pernah terlepas daripada melakukan dosa walau sekelumit zarah. Allah SWT Maha Mengetahui betapa lemahnya diri kita berhadapan dengan fitnah dunia, hasutan syaitan, godaan nafsu biarpun dalam bulan Ramadhan ini. Jadi, teruskan melakukan solat sunat taubat kerana Allah SWT Maha Pemurah, mencintai hamba-Nya yang bertaubat kepada-Nya. Biarpun ada ketikanya kita tumbang dengan maksiat kembali, teruskan mujahadah melakukan solat sunat taubat biarpun berulang kali kerana Allah SWT melarang keras hamba-Nya yang berputus asa daripada rahmat-Nya.

.: Sentiasalah mengharapkan keredhaan Allah SWT, kerana tanpa pengharapan untuk redha-Nya, setiap langkah perbuatan kita dalam kehidupan hanyalah berintikan kekosongan yang menjadi rutin harian manusia biasa yang hanya menunggu dirinya dikuburkan :.

Perceraian : Bukan Titik Nokhtah

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih...
Selawat & Salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh muslimin muslimat.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat-Nya, Redha Alhamdulillah atas segala ketentuan-Nya.


Hukum Talak

HukumPenjelasan
Wajiba) Jika perbalahan suami isteri tidak dapat didamaikan lagi
b) Dua orang wakil daripada pihak suami dan isteri gagal membuat kata sepakat untuk perdamaian rumahtangga mereka
c) Apabila pihak kadi berpendapat bahawa talak adalah lebih baik
d) Jika tidak diceraikan keadaan sedemikian, maka berdosalah suami
Harama) Menceraikan isteri ketika sedang haid atau nifas
b) Ketika keadaan suci yang telah disetubuhi
c) Ketika suami sedang sakit yang bertujuan menghalang isterinya daripada menuntut harta pusakanya
d) Menceraikan isterinya dengan talak tiga sekali gus atau talak satu tetapi disebut berulang kali sehingga cukup tiga kali atau lebih
Sunata) Suami tidak mampu menanggung nafkah isterinya
b) Isterinya tidak menjaga maruah dirinya
MakruhSuami menjatuhkan talak kepada isterinya yang baik, berakhlak mulia dan mempunyai pengetahuan agama
HarusSuami yang lemah keinginan nafsunya atau isterinya belum datang haid atau telah putus haidnya


.: Jika minta diri diceraikan, dikatakan dosa. Jika tidak mahu melepaskan, dikatakan dayus :.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...