Friday, July 27, 2012

Langkahan Itu Sayu

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih
Selawat dan Salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam..
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat-Nya, Redha Alhamdulillah atas segala ketentuan-Nya..




Bulan pada malam itu menjadi saksi atas segalanya. Pergaduhan yang mengundang parang besi dan sebagainya sebagai pemudah kata membuatkan si ibu akhirnya rebah ke sofa.

“Kaklong, esok kau balik Kedah. Bawa sekali adik kau ni duduk dengan ayah. Biar dia habiskan cuti sekolah dia kat sana. Kalau duduk sini, tak tahulah apa lagi yang nak jadi,” pinta mak.

Shahrul, remaja belasan tahun yang sering panas baran. Dia akur dengan pinta si ibu untuk mengikut kakaknya kembali ke Kedah.


Dalam perjalanan selama 6 jam di atas bas, si kakak mengharapkan agar dia dapat menyelami hati keras dan panas baran adiknya itu. Dia cuba mengajak berborak. Sepatah ditanya, sepatah dijawab adiknya. Berkali dicuba, hingga akhirnya dia akur sukar untuk dia menimbulkan semula kemesraan yang pernah terbit antara mereka suatu ketika dahulu kerana dirinya yang duduk berjauhan dari keluarga selama hampir 3 tahun dek penempatan universiti yang jauh nun di utara.

     Tika melihat sang adik mengiringkan badan sebelahnya untuk tidur, dia terimbau kembali saat kecil adik remajanya itu sering menyandarkan kepala di bahunya. Adiknya yang kini sudah membesar. Dia harus menerima hakikat itu bahawa pelbagai perubahan berlaku dalam keluarganya. Kematangan umur itu pastinya yang tersurat namun Allah Maha Mengetahui segala perubahan yang tersirat itu lebih terikat dan mendidik dirinya menerima segala qada’ dan qadar.

     ‘Study week’ yang sepatutnya digunakan seoptimum mungkin untuk mengulangkaji pelajaran dan segala subjek sebagai persediaan sebelum menempuh ‘Final Exam Sem 5’ berubah menjadi ‘Care Week’ kerana minggu itu dia perlu bersama adiknya Shahrul sepanjang keberadaan Shahrul di tempat ayahnya. Pelbagai perkara dilakukan bersama. Tidur, lepak, makan, sakat-menyakat, beli-belah, menonton DVD, dan sebagainya. Setiap pagi, masing-masing akan bangun lewat kerana tidur lambat pada malamnya. Setiap malam pastinya sang ayah membawa mereka ke Musabaqah Al-Quran Peringkat Kebangsaan memandangkan ayah mereka perlu bertugas menjaga kelancaran majlis tersebut. Pulang daripada Musabaqah, sang ayah akan membawa mereka makan malam di luar. Kembali ke rumah, pastinya mereka menonton DVD terlebih dahulu sebelum masing-masing terlelap tanpa habis DVD tersebut dimainkan.

     Sepanjang bersama, dia sering melihat Shahrul ketawa riang menyakat dirinya. Alhamdulillah adiknya masih seperti dahulu cuma kesempatan untuk bersama itu kurang menyebabkan hubungan mereka pada awalnya tampak kekok. Hubungan Shahrul dengan ayahnya juga semakin erat.

     Pejam celik pejam celik sudah tiba pada hari keempat Shahrul berada di Kedah bersama kakak dan ayahnya. Malam itu Shahrul akan kembali pulang ke kampungnya bertemu semula dengan emak dan adik-adik yang lain. Sebelum pulang, ayah membawa Shahrul dan kakaknya makan di salah sebuah gerai yang sedap masakannya. Jelas senyuman yang lebar tampil di wajah Shahrul. Dalam kesibukan Shahrul makan, kakaknya sempat mengambil beberapa gambar curi adiknya itu.

     Selepas makan, ayah menghantar Shahrul ke terminal untuk Shahrul pulang sendiri ke kampung. Setibanya di terminal, Shahrul terus mengambil beg kemudian mencium tangan kakaknya. Tidak cukup dengan itu, dia turut mencium pipi kakaknya kiri dan kanan. Tidak pernah Shahrul mencium tangan kakaknya apatah lagi mencium pipi kakaknya. Kali ini si kakak sangat sedar bahawa ciuman adiknya kali ini sangat berbeza. Terasa berat melepaskan adiknya pulang. Si kakak terus menanti di dalam kereta sambil Shahrul mengikut sang ayah untuk menaiki bas. Sang ayah kembali kepada kakak tanpa Shahrul lagi. Shahrul sudah pun menaiki bas.

     Terlihat bergenang air mata ayah. Berat katanya melihat adik pulang. Kata sang ayah bahawa dirinya sedih apabila mendapat tahu adiknya itu terlibat dengan perkara yang mampu merosakkan kewarasan akal. Si kakak menahan sebak. Terimbau semula kenangan selama 4 hari bersama adiknya itu. Alhamdulillah…Alhamdulillah…Alhamdulillah…

Si kakak memberi mesej ringkas kepada adiknya itu, “Nanti jangan lupa turun di terminal kat kampung tu ye. Aku sayang kau. Jaga diri. Jangan ulang lagi buat benda tak elok tu. Nanti datanglah Kedah lagi ye.Aku dan ayah balik dulu ye. :) ”

Shahrul membalas ; “Sayang korang jugak!

Si kakak membalas ; “Eleh..habis comel lah tu. Tadi ayah nangis lepas hantar kau. Aku pun nangis. Jaga diri tau. Jangan ulang lagi benda yang tak elok tu.

Shahrul membalas ; “Apa kau ingat aku tak nangis ke kat sini? Aku pun nangis jugak.

Si kakak terus menunjukkan mesej Shahrul itu kepada ayahnya, terus mengalir air mata sang ayah. Kakak dan ayah masing-masing diam membisu. Mereka sedar segala kepincangan yang berlaku itu ialah bahagian untuk keluarga mereka dari Allah SWT.

     Selepas menghantar Shahrul ke terminal bas, ayah terus menghantar si kakak pulang ke universiti. Sedih benar hati si kakak apabila melihat sang ayah terpaksa menunggu kawannya datang bertemu dengannya untuk menerima duit pinjaman supaya sang ayah dapat memberikan sedikit duit belanja kepada si kakak. Semakin tinggi semangat kakak ingin membantu keluarga dari semua seginya. Kakak teringat antara kata-kata ayah ketika di musabaqah Al-Quran Kebangsaan tersebut iaitu “ayah kena tinggalkan kerja yang ayah buat sekarang ini, barulah ayah betul-betul dapat berubah. Ayah tak mampu…” itulah kalimah agung yang terbit dari bibir ayah ketika di musabaqah. Hati ayah terjentik dengan kalimah suci Al-Quran yang dialunkan merdu beserta makna penafsirannya yang menyentuh hati.

     Setibanya di universiti sekaligus ke hostel dengan mata yang bengkak akibat menangis itu, si kakak membuka buku catatan pelajarannya untuk dia mula menelaah pelajaran walau hatinya masih terbayang Shahrul yang benar-benar rapat dengan dirinya sejak kebelakangan ini. Tiba-tiba dia terselak pada satu muka surat yang berada di tengah-tengah buku kosong tersebut. Dia kenal benar tulisan itu. Itu tulisan Shahrul.
“Belajar elok-elok!
Ingat mak ayah!
Fikirkan masa depan!”

Terus laju air mata si kakak menuruni pipi apabila membaca coretan ringkas itu. Shahrul yang sering diabaikan di sekolah, sering dikaitkan dengan masalah di sekolah, sering dipandang hina insan sekeliling termasuk saudara mara sendiri memberikan kata-kata semangat kepada kakaknya dalam diam. Si kakak sedar Shahrul menulis kata-kata itu ketika si kakak tidur kerana buku catatan pelajaran itu sering terbuka dan sentiasa di sisi laptop kakaknya kerana kakaknya sering terlelap selepas study dalam keadaan barang-barang belajar yang belum dikemas rapi sebelum tidur.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...