Monday, May 14, 2012

Apabila Teguran dilempar ke Muka.

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat & Salam atas baginda Rasulullah SAW, ahlul bait, para sahabat baginda, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmatNya, Redha Alhamdulillah atas segala nikmatNya. :)


Pertama kalinya, blog ini diperingatkan semula sebagai catatan biasa dari hambaNya yang hina. Bukanlah sebuah medium dakwah hebat berintikan fikrah perjuangan. Ini ialah blog Cerita Hati Hamba Allah.

     Selepas fitnah hebat datang bertimpa-timpa, muslimah itu diam seketika. Nasihat senior dituruti kerana fitnah menimpa bukan menimpa semata diri seorang tetapi turut ditempias pada sahabat seperjuangan. Diam muslimah itu turut memperlahankan rentak perjuangannya. Hingga tenggelam timbul dirinya pada pandangan mata sahabatnya. Biarkan...kerana itu yang terbaik buat sementara.



     Allah SWT Maha Mengetahui niat hati hambaNya, Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Niat muslimah itu untuk diam seketika tidak lama. Allah SWT tidak mengizinkan proses diam itu lama. Perhimpunan bersama sahabat seperjuangan bakal tiba. Mereka yang berada di atas memohon pertolongan mengambil tempat mengeluar 2 3 patah bicara untuk disampaikan amanat darinya. Tika itu, persiapan dalam masa terlalu singkat membuatkan diri muslimah itu buntu dalam kesibukan.

    Sungguh berbeza benar perasaan berhadapan dengan orang kebanyakan berbanding dengan sahabat seperjuangan yang hebat di pandangan mata. Biar tidak layak ditempatkan di tempat yang di atas, namun itulah perancangan Allah SWT atas hambaNya. Akhirnya, Allah SWT memberikan muslimah itu ilham bagaimana ingin disampaikan amanat tersebut.

     Tika waktu kejadian, sempat dilakukan solat sunat sebelum melangkah gerak ke perhimpunan tersebut. Apabila dipersilakan mengambil tempat dalam slot pilihan, hanya Allah SWT Maha Mengetahui bahawa langkah kaki itu ialah langkahan kaki hambaNya yang hina yang diminta oleh Allah SWT untuk menyampaikan sedikit amanat buat para pejuang yang hebat belaka.

     Dimulakan bicaranya dengan memuji Allah SWT, Rasulullah SAW, petikan ayat Al-Quran. Muslimah itu menuntun bicara sepatah demi sepatah keluar mengikut perancangannya atas kehendakNya. Tika itu hatinya tenang, tiada sedikit ego terkelumit dalam hati tika menyampaikan amanat berbentuk teguran tersebut. Muslimin, muslimat semuanya ditegur sama terutama sebagai peringatan kepada dirinya yang hina. Alhamdulillah, selesai segala amanat yang dipertanggungjawabkan pada waktu itu. Dirinya terus pulang. Melihat kepada beberapa wajah sahabat yang agak berubah selepas ditegur, kata-kata biasa dilemparkan oleh muslimat itu melalui mesej pesanan ringkas dalam perjalanan pulangnya;

"Jika engkau benar-benar mencintai Allah SWT & Rasulullah SAW, maka bersakit-sakitlah dirimu untuk bertemu mereka."

     Namun, Allah SWT tidak pernah berhenti mengusik hambaNya dengan ujian. Beberapa hari berlalu, hinggalah diizinkan Allah SWT untuk bertemu dengan para sahabat semula. Dirinya ditegur, "selepas ini, muslimat tidak perlu kehadapan dalam perhimpunan kerana ego seorang muslimin ini lain sedikit. sebolehnya biarlah muslimin." Teguran itu mudah, ringkas, namun padat dengan pelbagai perkara hingga tercoret petikan ringkas dari muslimat itu :

"Khawla Al-Azwar seorang wanita besi yang teknik peperangannya seakan Khalid Al-Walid tidak memperlihatkan bahawa muslimat itu benar-benar perlu berada jauh terkebawah daripada muslimin.

Muslimin fitrahnya pemimpin, Muslimat fitrahnya membantu si pemimpin. Jika pemimpin tidak mampu berada di semua tempat pada masa yang sama, jatuhlah tanggungjawab menunaikan amanah itu pada pembantunya di tempat tertentu.

Pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a, dirinya selaku pemerintah agung tika itu mampu menerima teguran seorang wanita. Jika kini seorang muslimin itu tidak boleh ditegur oleh muslimat dan sebaliknya, bolehlah dikatakan bahawa mereka lebih mulia daripada Saidina Umar r.a. yang menerima teguran dari kalangan mereka yang berlainan jantina.

Jika diikutkan ego manusia, tidak perlu sesiapa kehadapan menegur apa-apa perkara kerana muslimin akan ego dengan teguran muslimat, muslimat akan ego dengan teguran muslimin. Ego itu bukan akhlak Islam, lebih pada bisikan syaitan durjana. Langkahan hamba yang benar-benar berusaha mendamba redha Allah SWT, ada ketikanya turut tergelincir seketika dengan bisikan syaitan durjana.

Jika benar hati dapat merasai teguran itu datangnya dari Allah SWT, tentu tidak dipertikaikan siapa yang menegur. Tidak bermakna bukan mulut seorang ustaz yang berbicara, kita perlu menolak sesuatu yang berbentuk teguran untuk kebaikan."

     Allah SWT Maha Mengetahui segalanya. Muslimah itu bersyukur jua kerana melihat karenah manusia di sekelilingnya lebih mematangkan dirinya menerima keadaan sebaiknya. Pandangan hina dari manusia itu lebih mengingatkan dirinya betapa benar hinanya seorang manusia itu di sisi Allah SWT. Allah SWT menjaga, mendidik dengan pelbagai cara.

p/s : Nasihat ataupun 'advice' tetap bermaksud sesuatu teguran membina kepada pendengarnya. Muhasabah diri agar sentiasa mengingati bahawa Allah SWT yang menghendaki sesuatu perkara itu terjadi. Nasihat biarpun daripada seorang pelaku maksiat, ianya tetap masih nasihat. Namun, ada ketikanya dosa si pemberi nasihat melambung tingginya hingga terhijab apa yang ingin disampaikannya. Maksiat...maksiat...maksiat...Astaghfirullahulazim~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...