Thursday, March 29, 2012

Perjuangan Non-STOP : Ukhwah Sekular!

Dengan Nama Allah yang Maha Allah lagi Maha Pengasih
Selawat & salam ke atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmatNya, redha Alhamdulillah atas segala ketentuanNya.


Kata orang, jalan perjuangan itu jauh. Penuh duri. Penuh sakit. Penuh ujian. Hanya hati-hati tertentu yang dipilih Allah untuk terus setia di jalan. Jalan yang pastinya tidak menjanjikan karpet merah berhias bunga wangian serta disambut oleh para bidadari dunia. MUSTAHIL.



Hakikat sebenar perjuangan itu ialah...

Wahai mereka yang beriman, siapa di antara kamu yang berpaling tadah dari agamaNya (murtad) maka Allah akan datangkan pula suatu kaum yang Allah kasihi mereka dan mereka mengasihi Allah, bersifat lemah-lembut terhadap orang yang beriman dan berlaku tegas terhadap orang kafir. Mereka berjuang bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut celaan orang-orang yang mecela, yang demikian itu limpah kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya kerana Allah itu luas kurniaan lagi meliputi ‘ilmuNya. Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan rasulNya serta orang-orang yang berimna, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat serta mereka ruku’ (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (dapatlah ia kemenangan) kerana sesungguhnya golongan Allah (Hizbullah) itulah yang tetap menang.
(Surah Al-Ma’idah: Ayat 54-56)

Perjuangan itu mengajar kita menjadi :

1. Sedar diri bahawa kita ialah hambaNYA semata.

.: Jadi, tidak perlulah kita meletakkan pergantungan selain daripada Allah. Sesungguhnya Allah yang Maha Memahami, Maha Mengetahui, Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Tanpa izin dariNya, tiada apa yang mampu berlaku. Pasakkan dalam hati bahawa sesuatu yang Allah beri pada hambaNya ialah atas dasar keperluan hambaNya, bukan semata atas kehendak hambaNya. Jika Allah merasakan bahawa kita perlu ditegur melalui ujian, maka kita akan menerima ujian itu tanpa kita membuat apa-apa persediaan. Jika Allah merasakan kita perlu untuk mendapat nikmat itu pada waktu itu maka jangan risau segalanya akan datang dalam aturan yang sangat cantik. Tidak perlu terlalu risau kepada perkara yang tidak pasti kerana Allah sedang merancang sesuatu yang terbaik buat hambaNya :.

2. Sedar diri bahawa segala rezeki itu milikNya semata.

.: Jadi, lapangkan dada mudahkan urusan gerak kerja dengan mengeluarkan harta yang dipinjamkan Allah kepada kita. Biar sedikit tapi tinggi nilainya di sisi Allah jika ikhlas niat asalnya. Rezeki Allah tidak pernah putus buat hambaNya. Walau bagaimanapun kita merasakan sempit dada sesak jiwa dengan harta simpanan yang semakin berkurang, namun pasakkan dalam hati rezeki Allah ada di mana-mana. Rezeki ini juga bukanlah semata-mata bermakna wang ringgit namun...masa luang, masa mampu berjalan, masa yang mempunyai kesempatan untuk kita melangkah bergerak kerja itu juga merupakan antara rezeki yang Allah berikan. Jadi, hargai sebelum Allah tarik nikmat rezeki itu & pada waktu itu kita hanya mampu menanti dipersoalkan di akhirat apa yang kita lakukan dengan nikmat yang diberikanNya sepanjang hayat kita. :.

3. Sedar diri bahawa kita berurusan dengan hambaNya yang lain jua.

.: Ukhwah dalam perjuangan tidak boleh dibuat-buat. Segalanya datang dari hati yang ikhlas mengharapkan redha Allah melalui perjuangan bersama sahabat-sahabat. Antara kesilapan para daie yang sering merasakan dirinya terbeban dengan pelbagai kerja ialah men'sekular'kan ukhwah.

Men'sekular'kan ukhwah ?? Apa yang dimaksudkan di sini dengan kalimah men'sekular'kan ukhwah ialah ketika kita menguruskan 1 kumpulan usrah yang terdiri daripada mereka yang baru ingin mengenal Islam, layanan kita tersangat baik pada mereka, menunjukkan sepenuh perhatian. Namun, apabila berurusan dengan sahabat-sahabat...ada kalanya kita melayan sahabat dengan cara yang keras atas alasan 'dia sahabat ana, dia faham ana bagaimana. Kami dah lama usrah bersama.' Konsep yang SALAH. 

Harus disemat baik-baik dalam hati bahawa sahabat kita yang sudah lama bersama kita mengikuti usrah bukanlah orang yang sempurna ilmunya, akhlaknya, & pelbagai lagi indikator lain yang dilihat sebagai pendakwah. Sahabat kita jua ialah mad'u. Mereka jua ialah anak usrah kita. Mereka jua masih penuntut ilmu dunia akhirat. Jadi, dalam memberi pandangan...haruslah kita meraikan pandangan mereka terlebih dahulu. Dalam kita meletakkan hukum hakam agama, haruslah kita melembutkan hati mereka untuk mereka mudah menerima cara penolakan kita terhadap hujah mereka & berlapang dada menerima hujah kita.

p/s : Teruskan bergantung harap pada Allah kerana kita mampu kerana Allah bersama kita.
siiru'ala barakatillah ^_^

Monday, March 26, 2012

Hanya Allah yang Tahu

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat & salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmatNya, redha Alhamdulillah atas segala ketentuanNya.


Dunia senda gurau! Ayat ringkas yang melambangkan pelbagai persoalan kehidupan. Mampukah? Mampukah? Mampukah?



Dulu, lantang bersuara itu imej dirinya. Kini, diam memedihkan hati itu kebiasaannya.
Dulu, lakukan sahaja apa yang difikirnya betul prinsipnya. Kini, lakukan apa yang orang lain rasakan betul sehingga dirinya rasa 'ini bukan diriku'.
Dulu, senyum itu sentiasa di bibir menjadikannya ceria. Kini, senyum itu dikatakan fitnah hingga akhirnya menjadikan dirinya mudah berubah watak.
Dulu, dirinya sayang pada semua yang ada padanya. Kini, dirinya mudah melepaskan segalanya.
Dulu, dia adalah dia. Kini, dia adalah hasil bentukan mereka.
Dia sangat merindui dirinya. Jangan dijaga diri terlalu erat hingga merasakan hidup dalam nafas tersekat yang menanti masa untuk pergi ke dunia akhirat.

"Ya Allah...tiada apa lafaz yang mampu diluahkan, Tak terdaya lagi untuk terus mengadu. Sebagaimana mulut yang terus membisu, begitu jua hati yang semakin sepi dari berkata-kata. Ya Allah yang maha Mengetahui, lepaskan dari semua ini. Ikhlaskan hati menerima ketentuan. Cukupkan dalam hati hanya Kamu."

Sunday, March 25, 2012

Dibentuk + Membentuk = Terbentuk

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat & Salam atas Baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat baginda, para tabii tabiin, semua muslimin muslimat.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmatNya & redha Alhamdulillah atas segala ketentuanNya.


Tarbiyah, 'term' yang sering kedengaran dalam kalangan mereka-mereka yang menyertai usrah, halaqah, program ilmu agama.

Tarbiyah mempunyai pelbagai penafsiran mengikut pandangan individu itu sendiri. Bagiku yang jahil ini, tarbiyah ialah agen perubahan total kepada diriku sendiri. Perubahan. Itu mungkin antara kata kunci utama dalam pendefinisian 'tarbiyah'.

Tarbiyah mengubah keadaan daripada sesuatu yang kurang baik kepada baik kemudian kepada lebih baik. Tarbiyah juga boleh didefinisikan sebagai pendidikan berterusan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT (ini jawapan 'biasa' didengar daripada naqibah).

Diri kita akan dibentuk baik melalui tarbiyah yang Allah beri sama ada dalam aspek nikmat atau ujian. Namun, untuk kita terus istiqomah dalam 'medium tarbiyah' yang terbaik, kita sendiri harus membentuk tarbiyah dalam diri kita. Bagaimana? InsyaAllah mutaba'ah amal yang dijadikan sebagai teman setia para daie pendokong gerakan dakwah yang menjunjung perjuangan Rasulullah SAW itulah jawapannya.

Mutaba'ah amalnya pada peringkat awalnya menjadikan kita dalam medium keterpaksaan kerana melakukan sesuatu yang tidak pernah dibuat. Peringkat pertengahannya pula menjadikan kita dalam medium kebiasaan. Peringkat akhirnya pula menjadikan kita dalam medium keakraban kerana kita sangat akrab dengan mutaba'ah amal kita sendiri. Nah, di situlah terbukti bahawa mutaba'ah amal kita sedang 'menjaga' kita.

InsyaAllah dalam keadaan setiap masa kita dibentuk dengan tarbiyah, kita tambah lagi dengan sedikit usaha membentuk medium tarbiyah sendiri, InsyaAllah akan terbentuk ruhiyyah yang kuat dalam mendepani segala yang mendatang, Sesungguhnya Allah bersama kita, tetapkan dalam hatiku CUKUPLAH ALLAH BAGIKU. syukran~

p/s : Dibentuk dengan tarbiyah, membentuk jua melalui tarbiyah sehingga terbentuklah jiwa yang hanya mengharapkan redha Allah. :)

Tuesday, March 20, 2012

Suara Muslimat

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat & Salam atas Baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmatNya, redha Alhamdulillah atas ketentuanNya.


Susuk tubuh muslimat itu melangkah dengan penuh yakin bahawa Allah di sisinya. Allah memelihara, Allah memerhati. Namun, ada tikanya tautan hati yang lemah terhadap Allah menjadikan dia mudah tewas dengan pandangan manusia. Letakkan Allah di hatimu, cukup! Allah akan memandu jalanmu wahai para mujahidah.

Langkahan Kaki Muslimat


Ada tikanya muslimat itu ditegur, "jaga langkahan kakimu, kerana hakikatnya engkau ialah muslimat. Tempatmu menjadi pengikut setia para muslimin mujahid di jalan Allah."

Wahai Muslimat, dalam perjuangan peganglah kata-kata bahawa "Itu ialah wanita muda Islam berjalan & dia sangat hebat".

Selagi berpaksikan pada redha Allah. langkahan kaki itu tidak perlu dihentikan untuk meratap sedih menerima teguran manusia. Kita sebagai muslimat hanya perlu berhenti seketika untuk menerangkan "Cukuplah Allah bersamaku, segala langkahan ini untuk redhaNya".

Benar, paksi langkah kaki mu perlu dipimpin oleh para muslimin. Namun, harus diingat bahawa untuk kamu terus istiqomah dalam medan perjuangan, tunjukkan diri kamu yang sebenarnya supaya muslimin yang ingin menyunting kamu sebagai suri hidupnya arif tentang diri kamu & tidak mengharapkan lebih perhatian selepas pernikahan. Isu ini bukan mainan. Inilah yang dibuktikan oleh Serikandi Mulia Zainab Al-Ghazali yang memberi kata dua kepada suaminya sebelum mereka menikah agar perjuangannya tidak terhenti selepas pernikahan. Andai bertemu serentak seruan jihad di jalan Allah & seruan suaminya, dia tidak teragak-agak menyahut seruan Ilahi kerana syahid itu cita-cita tertingginya.

Tegar Prinsip Muslimat


Hati yang penuh kelembutan walau dizahirkan dengan perwatakan tegas berprinsip akan terusik jua dengan pandangan manusia terhadapnya. Tidak kisah lah sama ada pandangan itu dari sahabat atau sahabiah.

"Jangan terlalu terkehadapan, bakal mengundang fitnah nanti"

Jadi, prinsip lillahitaala di hatimu pasakkan semantapnya. Hanya Allah tujuanmu, hanya Allah pemandumu, insyaAllah jalan penuh rintangan & persoalan manusia itu akan diselesaikan baik oleh perancangan Allah itu sendiri. Wanita itu sendiri fitnah akhir zaman, namun jangan dijadikan alasan itu untuk dirimu terus memencilkan diri dalam medan perjuangan.

Tika ada sesuatu yang perlu engkau tegakkan, ke hadapanlah & suarakan kerana Allah di sisimu.
Tika ada sesuatu yang perlu engkau tegahkan, ke hadapanlah & cegahlah kerana Allah di sisimu.
Tika ada sesuatu yang perlu engkau lindungi, ke hadapanlah & lindungi semampumu kerana Allah di sisimu.

Kelembutan Para Muslimat


Wahai Muslimat, kelembutan fitrahmu yang dikurniakan Allah kepadamu bukanlah penghalang dirimu terus maju kehadapan walau di tengah kepesatan muslimin dalam perjuangan. Khadijah r.a, Fatimah Az-Zahra, Aisyah r.a & ramai lagi susuk tubuh serikandi Muslimat menunjukkan fitrah muslimat itu ialah bijak, berani, cekal jiwanya, tegas prinsipnya.

Wednesday, March 7, 2012

Berdikari Si Anak Itu

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat & Salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas nikmatNya, redha Alhamdulillah atas ketentuanNya.


Puas meneka kenapa dirimu lebih tegar menjauhi dia sedangkan hakikatnya jasad sudah lama berpisah. Tika sendiri, tiada yang lain di ingatan. Hanya kamu...mereka...yang tak putus difikirnya. Mengapa harus begini?



Bagai separuh nyawanya pergi apabila bicaramu ingin pergi dari sisi.. Benarlah...dunia ini sementara. Dia yakin bahagia kamu bukan di sini, tapi di syurgaNya. Biarkan dia di sini mencari bekal untukmu di sana nanti. Cuma mohonku, doakan dia di kejauhan.

Mencari apa erti perpisahan ini. Namun, kini dia peroleh jawabnya. Dirimu mendidiknya mengadu sepenuhnya hanya pada Allah SWT. Hanya pada Dia yang Maha Memahami lagi Mengerti segala ini. Benar, kini dirinya sedang belajar untuk tabah & lebih kuat walau tanpamu disisi. Kerana dirinya tahu doamu sentiasa mengiringi setiap langkahnya.

Kata akhirmu...

"Ketika kamu masih bayi, seorang pakcik tua pernah berkata pada ibu bahawa kamu merupakan budak yang berani...ibu yakin & pegang kata-kata itu..."

Jika dirimu sudah benar yakin dengan kata-kata itu, dirinya jua turut yakin segala apa yang berlaku bukan atas kehendak hatimu...tapi ini yang Allah rencanakan untuk dia & kamu. Biar Allah sahaja penyampai rindunya padamu. Terima kasih ibu katanya...

Dia semakin mampu berdikari. Berjalan sendiri dengan ingatan pada yang Maha Memahami. Namun, ada ketika...dia rindu suasana itu. Suasana tawamu. Suasana riuh ceritamu. Allahurobbi...ada ketikanya dia memerlukan kamu untuk dia bercerita suka duka pahit manis hidupnya seperti yang sering dilakukannya dulu. Namun, dikuatkan hati...kerana segalanya ini datangnya dari Ilahi...

p/s : Andai dirimu mampu mendengar setiap bait kata hatinya ibu...

Sunday, March 4, 2012

Aku Mampu kerana Allah Bersamaku

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Selawat & salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmatNya, Redha Alhamdulillah atas segala ketentuanNya.


Langkahan kaki seorang muslimah bertapakkan kepada syurga neraka si ayah & adik-adik lelakinya. Terus melangkah hingga akhirnya kembali pada Dia. Hidup semata-mata untukNya mendidik dirinya agar sentiasa redha dengan segala apa yang diberikan olehNya. Biar suka duka itu hanya diketahui olehNya.


Tiba masa hidup muslimah itu di saat ingin mengecapi bahagia...langkah..terus melangkah..hingga akhirnya datang secara tiba-tiba ujian yang disimpan Allah khas untukNya. Langkah itu terhenti, lutut itu jatuh tersembam ke tanah, dahi itu tunduk sujud menyembah Ilahi memohon kekuatan mendamba ketabahan dari Yang Maha Mengetahui segala rahsia kehidupan dirinya. Hanya Dia yang mengetahui apa yang telah dirinya lalui, hanya Dia juga yang mengetahui apa yang bakal dilaluinya. Alhamdulillah hanya itu yang mampu diucapnya.

"Mulai hari ini jagalah dirimu sendiri anakku...aku sudah tidak mampu..."


Berjujuran air mata membasahi pipi, menerka apa lagi yang Allah rencanakan. Benarlah kini cukuplah Allah bagi hambaNya. Hanya Allah..dunia ini hanya sementara. Seorang insan itu tidak akan diuji dengan sesuatu yang tidak mampu diterimanya. Alhamdulillah...jika Allah yakin hambaNya mampu menerima sesuatu yang berat malah mungkin tersangat berat, apatah lagi insan yang bergelar hamba. Haruslah meletakkan pegangan dalam hatinya kebergantungan yang sangat tinggi pada Allah.

Melihat insan lain bahagia dalam setiap sisi kehidupan, melatih diri bermonolog sendiri "itu bahagiannya..." Yakin dengan janji Allah...mampu kerana Allah bersama~

"Allah tidak meberati seseorang melainkan apa yang terdaya (dibuat) olehnya. Setiap orang mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Doa mereka ialah) Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau tersalah. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak berdaya memikulnya. Maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." (Surah Al-Baqarah : ayat 286)

Friday, March 2, 2012

Kebergantungan Tinggi PadaNya

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih...
Selawat & salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam...
Syukur Alhamdulillah atas nikmatNya, redha Alhamdulillah atas ketentuanNya.

 

Dinihari ini kembali lagi fikiran menerjah kehidupan lalu yang penuh hitam. Alhamdulillah...sehingga kini Allah masih memelihara diri. Ujian dariNya itu sentiasa memenuhi ruang kehidupan. Namun, nikmatNya jua turut datang menjengah. Lebih besar nikmat dari ujianNya. Pernah mendengar kalimah 'semakin dekat kasih manusia pada kita, semakin dekat diri kita dengan Allah'?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...