Saturday, February 11, 2012

Senyum Memupuk Ikhlas.

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih...
Selawat & Salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat, para tabii tabiin & seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmatNya, redha Alhamdulillah jua atas segala ketentuanNya.


Pujian, celaan, segalanya itu datang dari mulut manusia namun yang menerimanya ialah hati. Hati yang tidak ikhlas dalam perbuatannya akan terusik dengan pujian apatah lagi dengan celaan. Tika mendapat pujian, lumrahnya hati akan berbunga, namun sebagai hambaNya kita mestilah memulangkan semula pujian itu pada yang mencipta kita iaitu Allah SWT dengan sebutan ringkas penuh bermakna iaitu "SUBHANALLAH" yang bermaksud Maha Suci Allah. Segala bentuk zikir digalakkan untuk menjadi sebutan kita apabila menerima teguran. Ianya bukti segala yang datang dari Allah SWT mestilah dipulangkan kembali kepadaNya kerana kita hanya hamba.



Apabila menerima celaan, kebiasaannya hati mudah tersentuh. Perjuangan yang dikata ikhlas kerana Allah SWT terus terbantut akibat kata-kata manusia. Ikhlaskah sebegitu? Husnuzon..tepuk dada tanya iman, Jika benar kita ikhlas kerana Allah SWT, biar apa dikata manusia Allah SWT lebih tahu apa adanya.

Selain dari berlapang dada menerima segala baik buruk yang datang singgah dalam hidup kita, senyum juga merupakan ubat yang baik dalam mendidik hati. Kurangkan berkata banyak, lebihkan senyuman untuk mendidik hati ikhlas kepada Allah SWT. Tidak salah untuk bercerita tapi takut-takut jika terlalu banyak bercerita, berubah niat kita. Daripada niat hanya ingin bercerita menjadi iktibar bertukar menjadi rungutan terhadap ujian kehidupan. Naudzubillah.

Kerana itu pupuklah hatimu dengan keikhlasan yang dapat menimbulkan senyuman dibibirmu. Tidak perlu diceritakan ujian kehidupan dari A-Z tanpa ada noktahnya kerana nikmat dariNya melimpah ruah berganda-ganda daripada ujian yang didatangkan sebagai kafarah dosa apabila kita hanyut dalam nafsu kemaksiatan & sebagai peningkat keimanan apabila kita hanyut dalam iman yang bertambah baik.

Segala pujian & celaan yang datang padamu balaslah ia dengan zikrullah & senyuman. Tika dipuji, bibir tersenyum hati berbicara Subhanallah, Alhamdulillah. Tika dicaci, bibir tersenyum hati berbicara Alhamdulillah..hanya Engkau yang mengetahui perihal hambaMu ini ya Allah. :)

p/s : Senyum tak perlu kata apa-apa. :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...