Friday, February 24, 2012

Hantaran untuk IBU

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Selawat & salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas nikmatNya, redha Alhamdulillah atas ketentuanNya.


Ibu...
Sedari dalam kandungan.
Belaianmu mengasyikkan.
Perutmu kau usap tanda sayangiku,
Tetap ku rasai nikmat kasihmu.


Ibu...
Panggilan 'sayang' kau lantunkan
memanggil diriku yang sering dalam tangisan
hampiri maghrib, tangisanku tidak henti.
namun kau sabar hingga aku diulit mimpi.

Ibu...
Keluarga bahagia kini derita
Kau simpan segalanya hanya di hatimu
Bertahun terbuku hingga datang ujian dariNya
Jantungmu tidak lagi baik seperti dulu.

Ibu...
Sejak perkongsian itu...
kita benar rapat dalam penuh kematangan.
Tangisan, gelak tawa mu.
cukuplah itu menjadi temanku di kejauhan.

Ibu...
Kau lah sahabat baik ku.
Biar banyak persoalan darimu
Namun satu pun tidak mampu aku jawabkan untukmu
Kerana sebak dadaku...hanya Allah yang tahu

Ibu...
Suka dukamu, aku tempat kau bercerita
Derita hatiku tersimpan rapi
kerana hatiku ini sememangnya untuk si permata
Engkaulah ibu permata yang hakiki

Ibu...
semakin dewasa, semakin aku bahagia
bahagia dalam derita yang tercipta untuk kita
ini bahagian kita dari yang Maha Pencipta
aku mendoakan kau tabah sentiasa.

Ibu...
tersentap jiwaku.
bila terlafaz dari bibirmu...
"kakyang akan tinggalkan mak nanti"
aku mengerti bahawa jodoh itu akan datang jua nanti.

Ibu...
jika mampu,
memang tidak aku tinggalkan dirimu
walau sekelip mata.
tapi apakan daya.

Ibu...
sungguh aku merasakan
sangat cukup dengan kasihmu
cita-citaku ingin menemanimu
sepanjang hayatku.

Ibu...
Aku sayang padamu...
Jika tiba saatnya berpisah jasad kita
untuk aku dijaga yang hak dariNya
ku mohon restu, terimalah hantaran untukku...
sebagai hadiah buatmu ibu...

Ibu.............

Saturday, February 11, 2012

Senyum Memupuk Ikhlas.

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih...
Selawat & Salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat, para tabii tabiin & seluruh umat Islam.
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmatNya, redha Alhamdulillah jua atas segala ketentuanNya.


Pujian, celaan, segalanya itu datang dari mulut manusia namun yang menerimanya ialah hati. Hati yang tidak ikhlas dalam perbuatannya akan terusik dengan pujian apatah lagi dengan celaan. Tika mendapat pujian, lumrahnya hati akan berbunga, namun sebagai hambaNya kita mestilah memulangkan semula pujian itu pada yang mencipta kita iaitu Allah SWT dengan sebutan ringkas penuh bermakna iaitu "SUBHANALLAH" yang bermaksud Maha Suci Allah. Segala bentuk zikir digalakkan untuk menjadi sebutan kita apabila menerima teguran. Ianya bukti segala yang datang dari Allah SWT mestilah dipulangkan kembali kepadaNya kerana kita hanya hamba.



Apabila menerima celaan, kebiasaannya hati mudah tersentuh. Perjuangan yang dikata ikhlas kerana Allah SWT terus terbantut akibat kata-kata manusia. Ikhlaskah sebegitu? Husnuzon..tepuk dada tanya iman, Jika benar kita ikhlas kerana Allah SWT, biar apa dikata manusia Allah SWT lebih tahu apa adanya.

Selain dari berlapang dada menerima segala baik buruk yang datang singgah dalam hidup kita, senyum juga merupakan ubat yang baik dalam mendidik hati. Kurangkan berkata banyak, lebihkan senyuman untuk mendidik hati ikhlas kepada Allah SWT. Tidak salah untuk bercerita tapi takut-takut jika terlalu banyak bercerita, berubah niat kita. Daripada niat hanya ingin bercerita menjadi iktibar bertukar menjadi rungutan terhadap ujian kehidupan. Naudzubillah.

Kerana itu pupuklah hatimu dengan keikhlasan yang dapat menimbulkan senyuman dibibirmu. Tidak perlu diceritakan ujian kehidupan dari A-Z tanpa ada noktahnya kerana nikmat dariNya melimpah ruah berganda-ganda daripada ujian yang didatangkan sebagai kafarah dosa apabila kita hanyut dalam nafsu kemaksiatan & sebagai peningkat keimanan apabila kita hanyut dalam iman yang bertambah baik.

Segala pujian & celaan yang datang padamu balaslah ia dengan zikrullah & senyuman. Tika dipuji, bibir tersenyum hati berbicara Subhanallah, Alhamdulillah. Tika dicaci, bibir tersenyum hati berbicara Alhamdulillah..hanya Engkau yang mengetahui perihal hambaMu ini ya Allah. :)

p/s : Senyum tak perlu kata apa-apa. :)

Tuesday, February 7, 2012

IKHLASKAH?

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih...
Selawat & salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam...
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmatNya, redha Alhamdulillah atas segala ketentuanNya.


Ikhlas itu rahsia Allah SWT. Namun kita sebagai hambaNya yang sentiasa beramal kepadaNya hendaklah ikhlas dalam setiap perbuatan baik yang dilakukan. Ikhlas adalah untuk mendapat redha dari Allah SWT. Jika hati kita ikhlas, sangat tenang hidup ini rasanya.

Kisah yang ditayangkan di televisyen bertajuk 'Al-Ikhlas' memberi pencerahan kepada aku tentang apa yang dikata ikhlas. Tika insan lain memuji, mengeji sedikitpun tidak terusik di hatinya. Segala perkara keji ataupun jijik pada pandangan manusia dilakukannya tapi dia tetap melakukan kerana baginya perkara itu tidak salah malah lebih mulia jika disulami ikhlas.

Setiap hari, perbaharui niat kita dalam meneruskan kehidupan dan melakukan sesuatu amalan. Peringatkanlah diri untuk sentiasa berlapang dada. berlapang dada. berlapang dada. dan jangan dilupa bahawa segalanya ialah daripada Allah SWT.

"Ya Rabb...aku tidak tahu rahsia yang tersembunyi dalam hatiku ini. HambaMu ini bermohon tetapkan hati hambaMu ini di landasan yang betul, bersihkan hati ini dari noda kemaksiatan & kemungkaran, ikhlaskan hati ini dalam setiap perbuatan."

Allah SWT sentiasa memerhati. Jika merasakan tidak mampu berhadapan ujian dariNya, basahkan anggotamu dengan wudu', lakukan solat sunat 2 waktu, merintihlah sepuasnya, jadikan hanya Dia tempat mengadu. Hatimu jua bebas berbicara sendiri mengadu padaNya. Allah.....

Mencari redha Allah itu tidak mudah kerana ganjarannya ialah syurga Allah atas rahmat dari yang Maha Pemurah. Jadi, usaha ke arah itu juga ialah suatu bentuk mujahadah yang benar-benar menuntut segala susah payah. Sematkan dalam hati bahawa kita merupakan insan yang terjauh lebih teruk dari mereka di sekeliling kita. Lapangkan dada berhadapan dengan seribu macam perangai manusia. Senyum seikhlas hati. :)

Sunday, February 5, 2012

Merindui IKHWAN Itu

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih...
Selawat & salam atas baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam...
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmatNya, redha Alhamdulillah atas segala ketentuanNya...



Mari kita renungi sebuah kisah yang menunjukkan betapa baginda amat merindui kita; umat akhir zaman.



Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar.
Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.
Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai.
Wajahnya yang tenang berubah warna.

"Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.

Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.

Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.

Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.

Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu~

Cinta Rasulullah SAW Tidak Bermusim

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih...
Selawat ke atas baginda Rasulullah SAW & ahli keluarganya, para sahabat, para tabii tabiin, seluruh umat Islam...
Syukur Alhamdulillah atas segala nikmatNya, Redha Alhamdulillah atas segala nikmatNya.




Lahirnya sebagai yatim kematian bapa bernama Abdullah. Lahir penuh rahmat hingga Kaa'bah pun terselamat dari serangan tentera bergajah. Cukuplah burung Ababil menurut perintah Allah menunjukkan hari itu 12 Rabiul Awal Tahun Gajah ialah hari yang benar-benar terkandung penuh rahmat lagi nikmat.


Firman Allah di dalam ayat 107 Surah Al-Anbiya’ :


وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ


Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.

Dijaga oleh hanya ibu susuan, Halimatun Saadiah. Tidak berapa lama, ibunya Siti Aminah meninggalkan si kecil itu buat selamanya. Si kecil itu dilahirkan ketika jahiliyah berada di puncaknya. Penuh berdikari meneruskan kehidupan. Sesiapa yang disayanginya pasti akan ditarik jauh darinya. Itulah tarbiyah Allah SWT padanya untuk menanamkan rasa hanya bergantung kepada Allah SWT semata, tidak bergantung dengan yang selain dariNya.

Penggembala kambing kerjayanya. Biarpun dibenci namun semua tahu bahawa dia lah insan yang digelar Al-Amin. Akhlaknya yang sungguh indah membuatkan bakal permaisuri hatinya jatuh cinta. Siti Khadijah r.a pemula langkah ke arah jannah, melamar si jejaka dengan penuh akhlak mahmudah. Hidup mereka sentiasa dalam ujianNya, namun mereka sentiasa bersyukur padaNya. Tiba waktu Tahun Kesedihan menerpa, pergilah Siti Khadijah r.a mengadap Ilahi menanti suaminya di syurga hakiki. Langkah dakwahnya semakin hebat, bermula dari pergerakan rahsia hingga kepada yang terbuka kemudian ke Hari Akhir, Islam itu masih ada.

Susuk tubuh itu juga manusia yang dijaga rapi oleh Allah SWT, tetap merasa sakit derita suka duka gembira sengsara. Hingga tiba saat ketentuan Allah SWT datang menerpa, nazaklah dirinya menanti nafas yang terakhir di kerongkongnya. Allahurabbi...ummati..ummati..ummati..itu kalimah yang masih ingin diucapnya walau tinggal beberapa ketika nyawanya di dunia. Sungguh kasihnya baginda pada kita umatnya....

Rasulullah SAW bersabda,

"Barangsiapa menghidupkan sunnahku bererti menyintaiku. Dan barangsiapa menyintaiku akan bersamaku pada hari Kiamat di Syurga.."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...