Wednesday, February 9, 2011

Surat Untuk Adik

Dengan Nama Allah yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...



Dulu kau tak di inginkan dalam keluarga
Dulu kelahiranmu ke dunia penuh bahaya
Pilihan hanya sama ada ibu atau dirimu yang selamat
Seringku berdoa pada-Nya agar segalanya selamat walau hati ini lebih menginginkan ibu yang selamat…


Kemudian lahirlah dirimu melihat dunia
Masih merah lembut dirimu
Alhamdulillah semua selamat
Ternyata Allah sayang kita semua rupanya

Kau membesar dalam jagaan ibu
Hampir kau mati dilemaskan kakakmu
Kakak yang cemburu padamu
Selamat ibu sempat menghalang

Kau membesar dalam jagaan
Semakin membesar, semakin seperti ‘anak jantan’
Dengan kakakmu kau tidak ‘ngam’
Walaupun nyata kau jua perempuan

Kau kuat main
Kau kuat marah
Kau kuat gelak
Kau agak senget

Semakin lama kau makin kenal dunia
Ku ajak kau solat, liat
Ku ajak kau jadi baik, sekejap mampu kau tahan
Bukan salahmu kerana kau masih budak

Seliat dirimu, masih jua kau ingin solat berjemaah denganku
Ku ajar caranya, kau mengikut
Kelakar teletahmu
Penuh kesabaran menahan gelak melihatmu yang ‘slumber’

Tapi hidayah Allah datang
Nyata sungguh hidayah itu memang milik-Nya
Hanya untuk orang terpilih
Mak, adik nak pakai tudung la mak

Alhamdulillah berkat doa mereka yang menyayangimu
Sungguh kau ayu dalam tudungmu adik
Mak, tudung ni kecik..tak tutup dada adik pun..
Kau lebih pilih yang menutup dari yang cantik

Kakyang..pinjam sarung tangan..
Aku senyum tanda teramat gembira
Kau bijak meminta tanpa ku menyuruh
Kerana ku sedar kau masih budak

Akak, stoking kau lagi satu mana? Adik nak pinjam..
Kakak-kakakmu amat suka
Kerana adik dah pandai sekarang
Pandai mengikut syariat-Nya

Kakak tak pernah minta adik pakai tudung,
Tak pernah minta adik pakai sarung tangan,
Tak pernah minta adik pakai stoking,
Tak pernah minta adik menutup aurat sehebat itu di usia kecilmu.

Tapi dirimu bijak menjaga diri sejak kecil
Kakak malu denganmu adik
Kerana kau terlalu menjaga
Kau juga berani bersuara mengingatkan kakakmu yang kekadang terleka

Tapi susah untukku sentiasa bersama tika di luar rumah
Kerana mulutmu yang susah nak diam
Bukan salah mulutmu
Kerana apa yang keluar darinya ialah dari mata yang melihat

Kakyang..makcik tu tak pakai stokin
Kakyang..kakak tu tak tutup aurat..baju lengan pendek
Kakyang..baju orang tu ketat..tak tutup aurat
Bermacam lagi kata sehingga ku harus mencipta pelbagai alasan membalasnya

Namun adik..
Ada perkara yang lebih sedih kakakmu tangiskan
Tangisan yang tak pernah kau nampak
Tangisan dibalik ketegasan seorang kakak

Mak..adik nak barang tu..boleh la mak..
Ah..tak boleh! Membazir je..
Cepat ku halang..
Pelbagai lagi permintaanmu kakak halang hingga kakak dapat gelaran ‘garang’.

Adik…kakak kasihan melihat dirimu tak seuntung kakak
Dulu kakak dilimpahi dengan penuh kasih sayang
Semua yang kakak inginkan, kakak dapat
Barang kakak mesti sentiasa baru

Tapi dirimu…
Segalanya tidak boleh ku berikan
Bukan sengaja tapi terpaksa
Kerana keluarga kita dulu & sekarang nyata berbeza

Ada ketika kau lebih memahami
Setiap tangisan ibu
Kakak perasan hatimu makin keras
Mungkin kerana masalah yang melanda

Adik…jangan kau keraskan hatimu sayang
Kerana dia tetap yang perlu kau hormati
Kau masih kecil adikku
Kakak takut kelak keras hati itu akan menjadi benci

Adik…kau cepat matang
Itu takkan dapat kakak nafikan
Mungkin kerana dari sebelum kau lahir hingga kini
Kau dipilih oleh Allah untuk menerima ujian-Nya

Adik…kakak takut dirimu dewasa
Kerana takut kau tidak mampu
Berhadapan dengan hakikat sebenar
Tentang apa yang berlaku tak seindah tawa kecilmu

Adik..jaga dirimu sebaiknya
Kakak sayang adik
Segala janji kakak padamu akan kakak tunaikan
Cuma mungkin tidak secepat yang disangka


Belajarlah mengenali dunia dengan mata hati sebagai hamba Allah wahai sayangku…
Sentiasalah engkau di sisi ibu kerana kau amat disayanginya..
Doa-doa kami sentiasa mengiringi usiamu…
Semoga kau sejahtera dunia akhirat~

8/2/11
Nukilan kakak-kakakmu yang menyayangimu
Khas untuk hari kelahiranmu yang ke-8
~Nur Aqilah Fatihah bt Zainudin~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...