Tuesday, December 14, 2010

Ta'labah bin Abdul Rahman Pemuda Hebat!

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...



Pernahkah saudara mendengar tentang kisah Ta’labah, salah seorang daripada para sahabat Nabi s.a.w. Seorang pemuda yang punya misi dan visi yang sangat agung.


Seorang remaja yang begitu hebat di zaman Rasulullah s.a.w. Namanya Ta’labah bin Abdul Rahman, seorang remaja berusia 17 tahun. Setelah memeluk Islam,beliau selalu mengikut Rasulullah mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah akan khabarkan kepada Ta’labah. Suatu hari Rasulullah menyuruh Ta’labah mencari sesuatu. Ketika dalam perjalanan mencari barang yang Rasulullah hajati itu, Ta’labah telah melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Angin yang bertiup membuatkan pintu tandas rumah tersebut juga terbuka ditiup angin dan Ta’labah terlihat seorang perempuan sedang mandi. Ta’labah terus berkata;

” A’uzubillah! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril beritahu kepada Rasulullah s.a.w! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah…”

Dia merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang dipuncaknya ada gua. Ta’labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Rasulullah s.a.w menanti kepulangan Ta’labah beberapa hari namun Ta’labah tidak kunjung tiba lalu Rasulullah s.a.w mengarahkan Saidina Umar untuk mencari Ta’labah dan Saidina Umar terjumpa Ta’labah di tempat dia sembunyi tadi. Umar berkata;

“Ta’labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu.”

“Kenapa, sudah turun kah ayat al-Quran tentang dosaku, sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah, aku tak nak masuk neraka, aku tak nak masuk neraka.” Kata Ta’labah dalam ketakutan yang amat sangat.

Oleh sebab Ta’labah sudah sangat lemah, Umar memimpinnya balik kerumah. Apabila Rasulullah s.a.w menziarah Ta’labah, Ta’labah sedang terlentang lalu Rasulullah s.a.w meriba kepala Ta’labah tetapi Ta’labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya;

” Kenapa wahai Ta’labah?”

” Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu,wahai Rasulullah” kata Ta’labah.

” Apa yang kamu mahu Ta’labah?”

” Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah”

” Apa cita-cita kamu wahai Ta’labah?”

” Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku.”

Lalu Rasulullah s.a.w berkata:

” Wahai Ta’labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu.”

Lalu Ta’labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah s.a.w. Yang menariknya, ketika mayat Ta’labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah datang agak lewat ketika itu. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Ta’labah. Tetapi Rasulullah berjalan merapati kubur Ta’labah dalam keadaan berjalan yang agak tersekat-sekat.

Sahabat-sahabat bertanya:

” Wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?”

Rasulullah menjawab:

” Kamu tidak melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Ta’labah ke kubur.”

Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama Ta’labah. Betapa takutnya beliau dengan azab Allah walaupun dia tidak sengaja terpandang perempuan yang sedang mandi itu. Begitu malu bertemu Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah s.w.t. Akhirnya matinya di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke kuburan. Subhanallah!

Wahai pemuda berjiwa besar,

Sama-sama kita melihat kemana tujuan hidup kita diacukan, apakah kemuncak kejayaan yang kita idam-idamkan. Mungkin ramai dari kita yang mahukan kereta sport yang berkelajuan tinggi, citakan kerjaya yang beri pulangan lumayan, idamkan isteri yang lagak seperti model. Namun tahukah saudara ada sesuatu yang lebih besar dan tinggi nilainya. Itulah keredhaan dan keampunan Allah! Itulah syurga Allah!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...