Friday, September 10, 2010

Pagi 1 Syawal 1431H


Dengan Nama Allah Yg Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang~

Alhamdulillah. 1 syawal 1431H kali ini aku sudah mula berjinak-jinak dalam 'blogging'. Pagi ini hujan rahmat yang amat lebat turun membasahi bumi Allah yang sementara ini. Sedang yang lain tidur, aku sibuk berusaha mendekatkan diri dengan 'blogging'. Kuharap blog ini dapat kujadikan sebagai medium tambahan perkongsian kisah hidupku yang tidak seberapa.



"Ya Allah. Ku berserah segala urusanku kepadaMu. Jika baik kesudahan perancanganku ini, izinkanlah ia berlaku. Jika buruk pengakhiran perancanganku ini, jauhkanlah ia dariku"

   Bagiku, blog ini bukan sebagai mengisi masa lapang, tapi jujur kukatakan adalah untuk medium memudahkan aku menjalani hidup sebagai khalifah Allah yang hina di muka bumiNya ini. Blog ini bukan untuk kujadikan sebagai medan peroleh simpati manusia budiman dengan ujian-ujian & pelbagai peristiwa yang akan ku kongsikan bersama. Bukan jua tempat untukku membuka pekung di dada, tetapi sebagai iktibar. Ku harap segala yang baik dari blog ini, bolehlah kalian ambil atau simpan. Segala yang kurang baik atau salah, bolehlah kalian ambil & rujuk pada yang lebih arif. Wallahualam~

Kuakui syawal kali ini berbeza dari yang sebelumnya. Mungkin kerana ku sudah dewasa, menjangkau umur yang semakin 'matang' daripada persepsi kebanyakan orang. Mungkin juga kerana persiapan raya yang ala-kadar. Mungkin juga kerana diriku sudah bergelar mahasiswi yang membawa pulang bersama tugasan & assignment tika cuti rayaku. Walau banyak mana pun kemungkinannya, ku sedar bukan itu punca tawarnya raya kali ini. Allah Maha Mengetahui segala tawar raya kali ini adalah kerana semakin hambarnya keharmonian keluargaku. Namun, tidak perlu ku kupas lanjut isu ini. Alhamdulillah, aku bersyukur walau sebesar mana pun badai yang melanda, tahun ini ayah masih lagi dapat beraya bersama aku, emak, & adik-adikku di rumah kami iaitu di seremban.

    Ku akui kadangkala diri ini agak tersentuh apabila melihat sahabat-sahabat lain yang masih mesra ikatan kekeluargaan sesama mereka antara ahli keluarga terutama di hari raya. Tapi aku bersyukur kerana masih lengkap ahli keluargaku berbanding dengan sahabat-sahabat lain yang sudah tidak berbapa,beribu. Itulah didikan yang sedang diserapkan ke dalam diriku iaitu apabila kita ditimpa ujian, jangan pandang orang yang di atas tetapi pandanglah orang yang di bawah. Sesungguhnya masih ramai lagi insan yang lebih malang nasibnya dari diriku. Segala ujian itu bentuk tarbiyah dari Allah & bukti kasih sayangNya pada kita. Ujian itu juga merupakan penghapus dosa. Jadi, jangan sesekali mengeluh dengan ujian yang diberikan oleh Yang Maha Berkuasa Atas sekelian Alam. Allah Maha Mengetahui segala yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Kita sebagai hamba hanya perlu belajar untuk redha dengan ketentuan Qada' Qadar Allah. InsyaAllah~

Hujan turun membelah sepi pagi
Dedaunan ditiup angin
Beralun molek..
Seolah memahami jiwaku ini
Yang mendambakan ketenangan
Fajar kan tiba
Lembaran hidup baru bermula
Perjuangan sebenar di hadapan mata
Adakah mampu untuk istiqomah?
Dalam mengamalkan segala amal
Yang dilazimkan tika ramadhan

Dapatkah kita pastikan...
Alunan ayat suci Al-Quran
yang melazimi bibir sebelum ini
tidak digantikan dengan
alunan lagu raya 
yang sudah sedia hafal liriknya

Dapatkah kita pastikan...
kekuatan beriktikaf di masjid
yang menjadi kebiasaan sebelum ini
tidak digantikan dengan
berjaga malam
hanya untuk menelaah pelajaran

Dapatkah kita pastikan...
Solat berjemaah
yang merupakan rutin harian sebelum ini
tidak digantikan dengan
"tidak sempat berjemaah, banyak tugasan lah."

Walau selemah manapun diri kita
Berdoalah supaya diberi kekuatan
Agar nafsu yang sudah tertunduk
Akan terus tersembam ke bumi
Biar iman yang mantap utuh tertanam
Dalam diri setiap insan
yang bergelar..
HAMBA ALLAH YANG HINA~
wallahualam~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...