Thursday, September 30, 2010

Sahabat

Salam tulus penuh kerinduan dititipkan buat para sahabat yang disayangi atas dasar akidah yang satu..


"Nama ana Nursyuhada Fatihah bt Zainudin, sc hayat, asal seremban."
"Panggil syu kn?" (sahabat2 muslimin da mula woooo...sahabat2 muslimat dah gelak2..)


"Eh,suka-suka hati je panggil syu. Syuhada la!"


Permulaan ku bersama kalian..amat manis..hingga terkadar mengukir senyuman jika mengenangkan kembali segala pahit manis bersama.. Tika ku jatuh, kalian memberi semangat. Tika ku berada di puncak semangat, kalian mengatakan diriku hebat. Tiap salah faham yang berlaku antara kita pasti mudah terselesai kerana kita cukup tahu tujuan kita dipertemukan..dan kita cukup percaya pada ukhwah yang terjalin atas dasar akidah.


Permulaan penghijrahan diriku dari seorang yang agak teruk kepada yang benar-benar dipelihara Allah penuh dengan ujian. Sekelip mata rakan-rakan yang ku sayangi sebelum ini hilang begitu sahaja. Persahabatan yang terjalin selama bertahun-tahun putus begitu sahaja dek fitnah yang dilemparkan kepada diri ini. Namun, Alhamdulillah aku gembira dengan segala ujian yang berlaku..bukti kasih sayang dariNya..


Tiap kali tika sujudku, sepenuh hati diri ini merayu semoga diberi kekuatan untuk terus tabah menghadapi segala ujian yang berat ini sekelip mata. Ku bermohon supaya ditunjukkan kepada hamba-hambaMu yang menuduh, mencaci, menghina, memaki, menfitnahku kebenaran yang terselindung..


Sungguh, Engkau sememangnya Maha Berkuasa..
Beberapa minggu selepas itu, mereka kembali menghubungiku untuk memohon maaf yang teramat sangat kerana segala salah faham yang berlaku. Alhamdulillah..itulah kuasa Allah & senjata mukmin iaitu doa.


Tika ku benar-benar terasa keseorangan, sahabatku mengatakan...
"Ala..takpe syuhada..Allah tarik sorang dari kawan ko sebab Allah nak gantikan dengan yang lebih baik..mungkin lebih banyak."
"InsyaAllah.."


Tidak lama selepas itu, aku diperkenalkan kepada kalian. Tika itu jualah segalanya bermula. Baru ku tahu apa ertinya ukhwah yang sering dibicarakan pada diriku sebelum ini. Baru ku dapat rasakan sendiri kemanisan ukhwah kerana Allah. Sungguh, segalanya amat indah kerana segalanya kerana Allah S.W.T..Jatuh bangunku, kalian sentiasa di sisi. Jatuh bangun kalian, aku sering cuba untuk mengerti & memahami.


Terlalu banyak yang ingin dibicarakan. Sungguh nikmat segalanya!!!


Namun....
kini segalanya berubah..
Diri ini mohon ampun kerana menjauhi kalian..
Tidak bererti diri ini membenci..
Cuma tidak kuat..
Kalian sering katakan kepadaku "ujian hebat untuk orang yang hebat"..
Kini ku mencari semua kehebatan dalam diriku yang hina ini..


Tidak perlu kalian gusarkan tentang diriku ini..
Allah ada untuk memeliharaku..
Walau sejauh mana pun diriku dari kalian,
mengertilah bahawa diri ini sentiasa ingin dekat dengan penciptanya..


Walau senyap mana pun diriku pada kalian,
mengertilah bahawa diri ini sentiasa merintih diterima supaya dekat kembali padaNya..


Walau sering terukir senyuman di bibir ini,
mengertilah bahawa diri ini sentiasa sedih & risau
kerana amat ingin bersama denganNya..


Sahabat,
ujian kita berbeza..
Nikmat kita jua berbeda..
Namun, fitrah kita TETAP sama..
tetap hambaNya yang hina..
Jadi,
mengertilah bahawa diri ini perlukan keredhaanNya..
mendambakan kasihNya..
kerana di akhirat nanti ku ingin bertemu denganNya
walaupun cuma untuk seketika...


Sahabat,
diri ini sentiasa mendoakan kejayaan kalian dunia akhirat..


Salam tulus kemaafan untuk semua sahabat~


Ma fi Qalbi Ghairullah
(Dalam hatiku, cukuplah ada Allah..)


Wallahualam~ =)





Wednesday, September 29, 2010

Cahaya Pembukaan Syahadah

Aku sedang sibuk mencari maklumat berkenaan 'Enzyme Assay' seperti yang diminta oleh Dr. Zaharah.


"Syud, mira tuliskan nama syud kat kehadiran ni ye."
"Ok,mira. Tulislah."



"Syud, betul ke ejaan ni? Nur Syuhadah Fatihah bt Zainudin."
"Salah. Nur dengan Syuhada rapat jadi Nursyuhada. Takde 'h' kat syuhada. Tapi takpelah. Good Try!"


"Owh..sedap nama syud. Cahaya Pembukaan Syahadah."
"......." (terdiam seketika..hanya mampu tersenyum..Mira jua turut tersenyum memandangku.)


Subhanallah..
baru ku tersedar..makna namaku..tanggungjawab yang amat besar..Cahaya Pembukaan Syahadah..mampukah aku menjadi seperti namaku???


Ya Allah..
setiap hari tidak pernah ku lupa diriMu..aku bersyukur Engkau masih menjagaku walau apa jua keadaanku. Tika ku terleka dengan urusan dunia, Kau mnenyedarkan aku dengan kata-kata ringkas dari sahabatku dunia akhirat.


Ya Allah..
setiap hari ku berperang dengan diriku sendiri..aku amat mendambakan kasihMu yang benar-benar hangat ku rasakan dulu. Tapi aku tidak cukup kuat ya Allah. Namun aku tahu, Engkau sedang menguji. Menguji kesungguhanku.


Ya Allah..
Setiap hari ku pohon kekuatan untuk bangun malam bermunajat kepadaMu. Alhamdulillah, hari ini Kau mengejutku untuk bermunajat kepadaMu. Ku menggosok mukaku dengan 2 telapak tanganku. Kalimat suci berbentuk doa ku panjatkan kepadaMu sebagai tanda syukur kerana masih dibangunkan selepas mati kecilku.
Tapi sayang...masanya tidak sesuai..'keistimewaan wanita'..Ku sedar Kau sedang betul-betul menguji kesetiaan hambaMu ini..tapi siapa kata wanita yang uzur tidak dapat bermunajat kepadaMu???


Ya Allah..
Aku pernah cuba menjauh dariMu..kerana merasakan betapa lemahnya diri ini..tapi tidak ku mampu..kerana aku masih berpijak di bumiMu..bernafas dengan nikmat udaraMu..makan rezeki kurniaanMu..segalanya dariMu..betapa hinanya diri ini ya Allah..dosaku menggunung tinggi, imanku mendasar ke bumi..namun ku masih sedar hakikat diriku sebagai hambaMu..


Ya Allah..ampunilah segala dosaku..jika ku terleka dengan duniaMu,sedarkan aku bahawa segala di dunia ini sementara..jika ku mengabaikan suruhanMu, sedarkan aku dengan ujian yang bertimpa-timpa..jika ku mengundang kemurkaanMu, sedarkan aku bahawa Kau sentiasa melihatku..jika ku hanyut dengan nikmatMu, sedarkan aku melalui hambaMu yang tidak mempunyai apa yang ku miliki..jika ku lalai dari mengingatiMu,sedarkan aku bahawa ku pernah bersujud merayu kepadaMu agar tidak membiarkan aku jauh dariMu walau seketika..


Ma Fi Qalbi Ghairullah~
(Dalam hatiku, cukuplah ada Allah)


Wallahualam~ =)



Saturday, September 25, 2010

Tertutup Rapat Pintu Hatiku

Pemilik Cintaku selepas Allah & Rasul. Alangkah bestnya buku ini. Ku harap semoga dirinya yang akan bergelar suamiku akan membaca buku ini. Sebagai panduan untuk melayari perkahwinan yang sentiasa mengamalkan ajaran Islam yang cukup indah itu. Sedari bangun tidur hinggalah tidur semula segalanya indah jika mengikut ajaran Islam.



-1 new message recieved-
-Opening...-
+60123456789
Salam anti. Ana xsgka begini akhirnya. Selama ini........


Mesej yang cukup panjang sehingga ber'page-page' panjangnya itu adalah mengenai kemarahan seorang Adam terhadap diriku yang dikatakan mempermainkan dirinya. Amat panjang & amat marah. Hanya itu yang mampu ku terangkan mengenai mesej itu.
   Dipendekkan cerita, aku membalas setiap mesej yang diberi dengan menjelaskan keadaan. Jika benar aku hanya ingin mempermainkan perasaannya, tidak aku beriya-iya memperkenalkan dirinya pada keluargaku sebagai seorang yang istimewa walaupun dia tidak pernah hadir memperkenalkan dirinya sendiri kepada keluargaku.


Perasaan sayang dalam diriku ini menjadi punca aku dikatakan sebagai mempermainkan dirinya. Walhal, perasaan ini ciptaan Allah. Makhluk Allah jua. Allah kurniakan akal untuk kita berfikir. Jika benar aku masih sayang pada insan yang tidak sepatutnya aku sayang lagi, biarkan sajalah. Kerana aku masih punya akal yang dikurniakan oleh Allah yang Maha Mengasihi. Nafsu ku mengatakan sayang, tapi akal mengatakan takkan ku terima insan seperti itu untuk menjadi suamiku. Akal ku hanya memandang pegangan agama yang mantap & akhlak yang baik. Kerana sememangnya perkahwinan perlu berlandaskan pada agama seperti sabda Rasulullah S.A.W :


“Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.


Aku cuma ingin bahagia dibimbing oleh insan bernama suami yang menerima diriku seadanya. Biarkan sahaja jika benar aku masih sayang pada insan yang tidak sepatutnya. Hal ini kerana aku tidak membuka pintu hatiku kepada mana-mana lelaki sebelum bertemu dengan suamiku. Biar suamiku sahaja yang dapat menilai kasih & sayangku pada dirinya. Jika masih ada perasaan sayang pada orang yang tak sepatutnya, habis diriku ditolak mentah-mentah. Kalau begitu, apalah nasib kaum hawa yang pernah terlanjur bersama pasangan kekasih yang belum halal untuk mereka? Pasti akan terabai kan? Kerana kekurangan yang ada pada diriku iaitu mempunyai rasa 'sayang' pun sebegini teruk hukuman yang diterima. Apatah lagi mereka yang sudah terlalu banyak melakukan dosa. Pasti tiada harapan untuk mereka memulakan hidup baru kerana persepsi lelaki beriman pun sebegini teruk. Di situlah tertunainya janji Allah S.W.T dalam firmanNya:


Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji. Sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. [Surah al-Nur, ayat 26]


Tiada lelaki yang sudi untuk membimbing insan-insan yang perlukan bimbingan ke pintu taubat & pintu syurga Allah. Inilah yang terjadi. Terus-terusan dalam kancah maksiat. Nauzubillah~


Semakin lama, aku semakin tidak faham dengan lelaki. Bukankah mereka diciptakan untuk melindungi? Memimpin wanita ke syurga? Membetulkan apa yang salah? Ke mana perginya kematangan yang sepatutnya mantap dalam diri lelaki?? Walhal mereka merupakan pemimpin dunia mengejar redha Allah!


Sayang yang ada dalam diriku pada insan yang tidak sepatutnya ini hanyalah satu kekeliruan. Benar-benar satu kekeliruan kerana kadang-kadang bila difikirkan semula, tiada langsung rasa sayang padanya. Jika benar-benar sayang, pasti perasaan itu sentiasa sahaja bertakhta di hati yang masih sakit ini. Yang masih punya banyak kotoran dosa. Ish..tiada maknanya untuk aku menyayangi insan lain selain suamiku! Ku usaha dengan sesungguhnya untuk menjaga rapi hati ini hanya untuk suamiku. Ku harap perasaan sayangku pada mereka-mereka hanyalah atas dasar sesama muslim. Agak 'sayang' apabila melihat mereka hanyut dalam dunia yang jauh dari agama.


Jujur! Aku sudah tidak yakin dengan kewibawaan lelaki memimpin wanita. 


Wahai lelaki dari kaum Adam..
Ingatlah kalian dikurniakan kelebihan 9 akal..
Jauh lebih banyak dari kami Hawa yang hanya dikurniakan 1 akal..
Sepatutnya kalian lebih matang..
Lebih bijak menilai..
Labih pandai menghitung..
Lebih terbuka minda..
Kerana di atas dunia ini,
bukan hanya aku dan kamu..
Masih banyak hambaNya yang lain..
yang turut bersama menikmati hidup sementara ini..


Teralu banyak ujian & dugaan 
Kerana kita bukan hidup di zaman Rasulullah S.A.W
yang iman umat-umat Islam pada ketika itu..
mantap, teguh, kukuh berdiri..
atas dasar akidah yang hakiki!


Tapi kita hidup di dunia akhir zaman,
Dunia yang penuh dengan hasutan, nafsu, maksiat..
Tidak perlu ku terangkan lebih..
kerana kau lebih mengetahui..
Kau lebih arif dari ku..
Rasulullah S.A.W pun turut risau akan semua ini..
Sehingga di akhir hayatnya jua,
kita umatnya masih tetap dalam ingatannya..
Walaupun tika itu kau & aku
masih jua belum hadir atas muka bumi ini..
Rasulullah S.A.W sudah lebih dahulu risaukan diri kita..


Ya Rasulullah S.A.W....
Andai engkau masih hidup..
Sanggup ku jejakkan kaki walau beribu batu jauhnya..
Kerana aku amat merinduimu ya Rasulullah..
Aku sedih dengan lelaki yang tidak mengikut jejak langkahmu ya Rasulullah...
Mereka menilai wanita dengan nilai yang amat teruk ya Rasulullah..
Sedangkan engkau memuliakan kami..
Engkau sentiasa berlapang dada..
Kerana aku tahu engkau sedar yang manusia tiada yang sempurna..
Hanya dirimu yang sempurna ya Rasulullah..


Ya Allah S.W.T.....
UjianMu hadir lagi mengisi ruang-ruang kosong hidupku..
Hidup insan yang lemah..
Hidup hamba yang hina..
Hanya Engkau yang takkan berlalu pergi..
Hanya Engkau ya Allah..
Ya Allah S.W.T.....
Aku amat bermohon padaMu.....
Tutupkanlah pintu hatiku ini serapat-rapatnya
untuk kaum Adam..
Bukakanlah seluas-luasnya pintu hatiku ini
untuk suamiku..
Ya Allah S.W.T......
Berikanlah diri ini kekuatan..
Menghadapi ujian dunia ini..
Peliharalah diriku..
Agar aku tidak turut hanyut bersama hamba-hambaMu yang sombong dengan petunjukMu..
Aku bermohon,
berikanlah petunjuk & hidayatMu
kepada mereka-mereka yang hanyut..
kasihanilah mereka ya Allah..


Cukup di sini coretan kali ini..aku mohon maaf atas segalanya kepada mereka-mereka yang pernah terlibat dalam hidupku..terima kasih atas segalanya..


~Ma fi qalbi ghairullah~
~(Dalam hatiku, cukuplah ada Allah)~


wallahualam~ =)



Kehadiran yang Dinanti

Ya Allah..
Rahmati kedua ibu bapaku dunia & akhirat..
kasihanilah adik-adikku..
Tabahkan sahabat2ku..


Ya Allah..
Aku benar-benar mahu mengetahui siapakah bakal suamiku?
Jika boleh..aku mahu berbicara pada lelaki yang tidak aku ketahui siapakah dirinya.

Aku mahu katakan padanya..

Wahai suamiku..
Datanglah dalam realitiku & bawalah aku ke sisimu.
Suamiku..lelaki yang satu-satunya halal untuk menyentuhku.
Sekalipun engkau belum muncul, aku memohon dengan ketulusan hatiku agar engkau segera hadir melamarku.
Aku amat menanti kehadiranmu.
Aku mahu keluar dari kekusutan batinku ini.
Aku hanya wanita yang tidak berdaya, yang kian hari berasa tertekan dengan kerenah makhluk bernama lelaki di sekelilingku.
Apakah kemunculanmu itu bisa mengusir segala beban yang membusung di jiwaku?

Atau...

Adakah engkau juga dalam kalangan lelaki-lelaki yang akan membuatkan hati wanitaku terus berasa sukar bernafas dalam atmosfera dunia ini.
Walhal, aku punya ruang yang luas & merdeka.
Aku perlukan lelaki yang punya cahaya ketulusan untuk menyinari batin kewanitaanku dengan keikhlasan.

Suamiku...

Aku berdoa tika zulmat, di bawah langit hitam tika waktu menghampiri Jaufullail,
aku memohon dalam hela nafas doaku agar lelaki yang menjadi suamiku adalah penyelamat jiwaku.
Dia akan membawa aku keluar dari daerah kecewa & putus asa.
Mewarnakan puing-puing jiwaku yang kusam terkena palitan kesepian supaya bertukar menjadi warna-warna jingga romantis.
Aku benar-benar mahu merasakan bagaimana suamnya hela nafas seorang pencinta yang mencintai sepenuh jiwa.
Aku mahu mengenyam setiap detik waktu yang berlalu dalam pelukan kekasih yang halal untukku.
Aku percaya hanya lelaki berhati kudus, membuatkan jiwaku benar-benar selamat.
Kerana aku percaya, setiap yang zahir dari kekasih halalku pasti terbit dari keikhlasan yang tulus.

Ya Allah...
wujudkah lelaki yang hanya memandang agamaku?
Jika ada, hadirkan orangnya.
Dan pastikan dia menjadi pasanganku, Ya Allah.
Kerana Engkau telah membuatkan hatiku jatuh cinta pada manusia sepertinya, sudah pasti Engkau telah menciptakan seseorang untukku yang benar-benar mirip sepertinya.
Bukankah setiap suatu itu dijadikan berpasangan?
Sudah tentu belahan jiwaku ini akan bercantum dengan pasangan yang serupa dengannya.

Aku tidak mahu meminta pada yang lain.
Aku tidak mahu mengadu pada sesiapa.
Hanya padaMu ya Allah
Aku teramat yakin & percaya, hanya dengan kekuasaanMu sahaja kami bisa bertemu.
Temukanlah kami ya Allah.

Selawat & salam ke atas Nabi Muhammad & ahli keluarganya.

Dan segala puji bagi Tuhan Rabbulalamin.....


Cintaku PADAMU

Aku cinta pada Dia
Begitu mudah ku melafazkan kata
Sedangkan diri ini cukup hina
Mudah dibuai ombak
Ombak kecil yang semakin besar
Dek nafsu, hasutan syaitan durjana..


Aku rinda pada Dia
Betulkah itu yang dirasa?
Atau hanya penyedap jiwa
Jiwa yang semakin kosong
Sunyi tanpa tarbiyah
Sepi tanpa kemantapan iman..

Aku amat HINA!!
Itulah sebenarnya yang berlaku
Sememangnya diri ini amat hina

Ya Allah,
Sejak sebelum ku wujud di dunia
Hingga kini ku sudah dewasa
Kau sentiasa di sisi
Suka dukaku
Pahit manis kisah hidupku
Hanya Kau yang mengetahui semuanya..

PerhatianMu kepadaku
Mengalahkan seorang guru pada anak muridnya
Kasih sayangMu kepadaku
Mengalahkan seorang ibu pada anaknya
Tapi ku sering terlupa..
Lupa akan nikmat perhatian & kasihMu..
Hinanya diriku..

Ya Allah...
Ampunkan dosaku
Atas segala kata yang tak seiring amalan
Atas segala janji yang tak dapat dipenuhi
Atas segala perbuatan punca fitnah
Atas segala kesabaran yang hilang
Atas segala keluhan tanpa keikhlasan
Sesungguhnya aku amat mensyukuri nikmatMU..
Meredhai atas segala ujian & ketentuan dariMu..

Untuk mereka yang banyak
Menguji kesabaran
Menipu & berdusta
Memperlekehkan & mempermenkan
Mengumpat & menfitnah
Mengutuk & menghina
Mencaci & mengeji
Diri ini..yg sememangnya hina..
Hanya mampu ku doakan
Kebahagiaan & kesejahteraan
Hidup kalian dunia akhirat
Ku pohon ampun & maaf
Atas segala yang pernah terukir
Ku ucap terima kasih
Atas segala yang pernah dinikmati

Pemergian diri ini
Bukan tanda membenci
Cuma telah ku temui
Apa yang dicari selama ini
Kini telah ku ketemui
Sehingga akhir hayat
Ku akan setia di jalanMu
Hanyutkan diriku dalam cintaMu
Wahai Maha Pemilik Cinta...

[K.A.M.I : kasih pada semua kerana Allah S.W.T!]
~wallahualam~

 

Monday, September 20, 2010

Ku Mengharapkan Mu



Semakin ku hampir
Semakin teruji
Kesetiaanku, kesabaranku
Tapi ku tahu,
DiriMu menyayangiku
Begitulah jua diriku
Yang mendambakan kasihMU 


Semakin jauh perjalanan hidupku
Semakin terbuka mindaku
Semakin matang fikiranku
Semakin diri ini terdidik dengan kesabaran
Lebih mengenali dengan apa yang dikatakan...
"menerima Qada' & Qadar dr Allah SWT"

Walau apa yang terjadi
Ku sedar diriMu sentiasa di sisi
Tempatku merintih tika sepi
Tempatku mencurah isi hati
Kerna Kau lebih mengetahui
Perihal diri hambaMu yang hina ini

Tidakku dengar suaraMu
Tidakku lihat wajahMu
Tidakku sentuh diriMu
Namun,
Aku sentiasa merindu
Cinta hanya untukMu
Hidup & matiku kerna diriMu

Selamanya, kini & dulu...
Engkaulah segalanya bagiku...

[K.A.M.I: kasih]

Thursday, September 16, 2010

Aku Lemah TanpaMu

Aku tidak kuat
TanpaMu aku lemah
Aku jatuh tidak berdaya
TanpaMu aku tewas..


Dulu..
Dapat ku rasakan
Kau sentiasa disisi
Tiap masa Kau yg ku rindu
Langkahku hanya mengingatiMu
Suka dukaku
Hanya Kau tempat mengadu
UjianMu teramat hebat
Diri dimaki
Diri difitnah
Hilang segala nikmat sekelip mata
Tapi tidakku lemah
Kerana Kau segalanya bagiku
Jaga & tidurku hanya untukMu..

Kini..
Dapat ku rasakan
Semakin jauh diri ini
Semakin alpa diri ini
Hatiku sering menangis
Tangisan rindu padaMu
Seksaan rindu amat menyakitkan
Hanya diriMu yg ku mahu
Jangan biar diri ini jauh dariMu
Kerana hidupku hanya untukMu..

Kuncikan hatiku dalam cintaMu
Cinta yg berkekalan ke syurgaMu..

[K.A.M.I: kasih]

Saturday, September 11, 2010

Kembalikan Fitrahku~



Dengan Nama Allah yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Andai manusia itu sedar tentang nikmat masa yang diberikan, pastinya tiada perkara lagha yang berlaku atas dunia ini. Semua hamba pasti akan sentiasa dalam ibadat, sekurang-kurangnya sentiasa berzikir. Betapa hinanya diri ini. Aku banyak melakukan perkara yang lagha. Sentiasa ku berazam untuk meninggalkan segala bentuk lagha itu namun aku tidak kuat. Sering ku terlupa tentang janjiku pada diri sendiri untuk berubah menjadi seseorang yang sentiasa menjaga masa, tidak bertangguh, dan pelbagai lagi perkara lain.



Sesungguhnya dunia ini tidak diciptakan untuk bermain-main & Allah menciptakan diriku untuk beribadat kepadaNya. Allah tidak meminta untuk 24 jam sujud menyembahNya di sejadah! Cukuplah Allah sentiasa diingati. Kerana dengan mengingati Allah, hati kita akan tenang. Segala perkara yang ingin dilakukan mesti didahului dengan lintasan hati "agak-agaknya Allah redha tak kalau aku buat macam ni?" Jika hati kita kuat mengatakan Allah pasti akan redha, teruskan dengan permulaan Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim~ Kalau hati kita kuat mengatakan Allah takkan redha, jauhkanlah perkara itu. Sesungguhnya kita akan dapat rasa seperti dijaga oleh Allah S.W.T. Itu yang pernah ku rasakan. PERNAH!! kerana sekarang aku semakin lemah. semakin jauh dariNya. Bukan ini yang ku mahukan! Aku ingin setia disisiMu ya Rabb.

Aku pernah SENTIASA mengingatiMu ya Rabb. Setiap langkahku hanya mengingatiMu. Jiwaku tenang. Aku dapat rasakan diri ini sentiasa diperhatikanMu. Setiap langkahku hanya untuk mendapat keredhaanMu & aku amat takut jika aku membuatMu murka terhadap aku. Aku langsung tidak risau jika berseorangan, kerana aku benar-benar dapat rasakan Engkau amat dekat denganku ya Allah.

Tapi kini ku jauh Ya Allah!! Amat jauh!!! Sejak dulu lagi aku sentiasa berusaha mengejar cintaMu tapi ku sedar pada hakikatnya aku semakin jauh!

Aku teringat semua kenangan aku bersamaMu ya Allah. Hanya Engkau & aku. Hanya Engkau & aku. Aku amat rindukan waktu itu ya Allah.

Pagiku disertai dengan ingatan terhadapMu.
Amat bersyukur masih hidup.
Engkau jua yang mengejutku.
Doa dipanjat, sunnah Rasulullah ku taat.

langkah ke bilik air disertai zikir padaMu
Doa minta perlidungan lazim di bibir
Kaki kiri melangkah dahulu ke dalam bilik air
Ku bersihkan diri keranaMu ya Allah.
Sunnah Rasulullah ku taat.

Langkah kaki kanan ku dahului keluar dari bilik air
Doa dititip tersemat rasa syukur
Lega jua kerana diri ini telah bersih keranaMu

Pakaianku tersemat sambil doa ku titip
Moga ku peroleh kebaikan, terlindung dari keburukan
Bersyukur kerana punya wajah yang elok dilihat
Moga dapat menenangkan suamiku nanti
Doa dititip agar akhlak seindah diriku ditatap rias cantik olehMu

Syukur kerana Engkau telah mengindahkan diriku
Menjalani hidup sebagai hambaMu
Ku capai tafsir Al-Quran
Ku alunkan kalimah suciMu itu
Ku hayati maknanya
Indah..sebagai panduan hidupku

Sebelum melangkah keluar bilik
Ku titipkan doa
Agar Engkau redha dengan pemergianku
Terus berjuang atas bumiMu
Sebagai hamba yang membawa amanatMu
Semoga segala urusanku dipermudahkan

Tiap langkahku menjalani kehidupan
Tidak lekang zikir di bibirku
Walau seteruk mana ujian
Ku tenang kerana sedar segalanya dariMu

Ku bersedia awal untuk bertemuMu
Cantik wangi hanya untuk bertemuMu
Surau kosong & sunyi itu tempat Engkau & aku bertemu
Pasti basah sejadahku
Dek air mata dari hambaMu yang hina ini
Yang sedar hakikat hidup
Yang penuh dosa
Sungguh hina diriku

Tika malamku
Sunnah Rasulullah ku taat sebelum tidur
Ku memujukMu agar mengejutkan aku
Agar dapat ku bermunajat kepadaMu

Selepas bermunajat kepadaMu
Aku sedar Kau sedang menemaniku menelaah pelajaran
IKIM menguatkan lagi rinduku padaMu

Itulah yang pasti berlaku dalam hidupku
Berputar-putar mengikut masa
Menjadi amalan seharianku
Hingga ku dapat rasa kebahagian dariMu
Kebahagian berkasih sayang denganMu
Indah!
Tidak pernah ku cemburu dengan pasangan couple di luar sana
Kerana aku sedar Kau sentiasa di sisiku
Aku lebih bahagia berbanding mereka apabila bersamaMu

Namun..
Semakin lama semakin banyak ujianMu yang hadir
Kedatangan insan yang ku rasakan dapat membimbingku
Sahabat-sahabat yang ramai
Tugasan untuk menegakkan syiarMu
Segalanya itu adalah untuk mendapat redhaMu
Namun aku sedar,
semenjak itu jualah aku semakin jauh dariMu
Aku tidak lagi dapat rasakan Engkau benar-benar dekat padaku..
Aku rindukan saat kita bersama..
Aku sanggup hilang segalanya,
asalkan aku sentiasa dekat denganMu!!!

"Ya Allah..aku bermohon kembalikanlah diriku kepada fitrahku. Fitrah sebagai hamba yang hina! Kekalkan diriku dalam kehinaan di hadapanMu. Sesungguhnya hidup matiku adalah keranaMu~"

wallahualam~

Syawal Nan Meriah


Dengan Nama Allah Yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah aku 'selamat' menjalani 1 syawal pada kali ini. Tahun ini suasana raya amat berbeza dari yang sebelumnya. Kebiasaannya, pagi raya aku & adik-adik akan dengar mak 'melontarkan suara' menyuruh kami cepat bersiap untuk ke rumah wan(nenek). Kali ini tidak lagi. Mungkin kerana wan (nenek) yang duduk di rumahku sejak beliau mula sakit-sakit beberapa hari sebelum ramadhan berakhir. Jadi, tak perlu lah aku & keluarga pulang ke kampung. Selalunya orang bandar yang ke kampung untuk beraya tapi kali ini orang kampung (wan) ke bandar (rumahku) untuk beraya..hee Pagi tadi mak 'melontarkan suara' menyuruh aku cepat ke kedai beli sedikit barang dapur.


Kali ini semua saudara-mara datang berkumpul di rumahku memandangkan wan tinggal di rumahku. Amat riuh. Amat meriah. Amat kelam-kabut. Amat macam-macam. Sampaikan jika ada bayi yang menangis, tak tahu anak siapa lah yang nangis tu..hee Aku membantu mak menguruskan dapur, melayan tetamu selagi termampu.

Sebenarnya, suasana yang meriah & gembira itu membuatkan aku sentiasa dalam keadaan risau. Semakin ramai saudara-maraku yang datang, semakin aku risau. Aku risau dengan batas pergaulan antara aku & sepupu lelaki, jua dengan pakcik-pakcik. Ada juga sepupuku yang lelaki malu untuk bersalaman(baguslah tu..) namun ada juga yang menghulurkan tangan..huhu Sehinggakan aku terpaksa 'memasamkan muka' untuk mengelakkan bersalaman dengan saudara-maraku.. (T_T) Lebih membuatkan diri ini rasa bersalah ialah apabila pakcik-pakcik ku yang menghulurkan tangan tika hendak pulang ke rumah masing-masing. Tanpa redha, aku terpaksa menyambut salam itu disertai ciuman di tangan mereka. Sejak kecil aku dididik untuk menghormati orang yang lebih dewasa sebegitu. Setelah ku dewasa, baru ku ketahui batas-batas pergaulan yang sebenar. Agak sukar untuk ku lakukan perubahan sehinggakan kadang-kala ku berharap agar aku cepat 'dijaga' oleh seorang insan bernama suami yang memahamiku sebagai muslimat yang memerlukan bimbingan.

"Ya Allah, berikanlah diri ini kekuatan agar mampu menurut & taat akan setiap perintahMu"

Esok, aku & keluarga akan menziarahi saudara-mara & dapat ku rasakan bahawa perkara yang sama akan berulang. SYUHADA!! CUBA ELAK PERKARA ITU BERLAKU!! InsyaAllah..segalanya kerana Allah S.W.T~

Wallahualam~

Friday, September 10, 2010

Pagi 1 Syawal 1431H


Dengan Nama Allah Yg Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang~

Alhamdulillah. 1 syawal 1431H kali ini aku sudah mula berjinak-jinak dalam 'blogging'. Pagi ini hujan rahmat yang amat lebat turun membasahi bumi Allah yang sementara ini. Sedang yang lain tidur, aku sibuk berusaha mendekatkan diri dengan 'blogging'. Kuharap blog ini dapat kujadikan sebagai medium tambahan perkongsian kisah hidupku yang tidak seberapa.



"Ya Allah. Ku berserah segala urusanku kepadaMu. Jika baik kesudahan perancanganku ini, izinkanlah ia berlaku. Jika buruk pengakhiran perancanganku ini, jauhkanlah ia dariku"

   Bagiku, blog ini bukan sebagai mengisi masa lapang, tapi jujur kukatakan adalah untuk medium memudahkan aku menjalani hidup sebagai khalifah Allah yang hina di muka bumiNya ini. Blog ini bukan untuk kujadikan sebagai medan peroleh simpati manusia budiman dengan ujian-ujian & pelbagai peristiwa yang akan ku kongsikan bersama. Bukan jua tempat untukku membuka pekung di dada, tetapi sebagai iktibar. Ku harap segala yang baik dari blog ini, bolehlah kalian ambil atau simpan. Segala yang kurang baik atau salah, bolehlah kalian ambil & rujuk pada yang lebih arif. Wallahualam~

Kuakui syawal kali ini berbeza dari yang sebelumnya. Mungkin kerana ku sudah dewasa, menjangkau umur yang semakin 'matang' daripada persepsi kebanyakan orang. Mungkin juga kerana persiapan raya yang ala-kadar. Mungkin juga kerana diriku sudah bergelar mahasiswi yang membawa pulang bersama tugasan & assignment tika cuti rayaku. Walau banyak mana pun kemungkinannya, ku sedar bukan itu punca tawarnya raya kali ini. Allah Maha Mengetahui segala tawar raya kali ini adalah kerana semakin hambarnya keharmonian keluargaku. Namun, tidak perlu ku kupas lanjut isu ini. Alhamdulillah, aku bersyukur walau sebesar mana pun badai yang melanda, tahun ini ayah masih lagi dapat beraya bersama aku, emak, & adik-adikku di rumah kami iaitu di seremban.

    Ku akui kadangkala diri ini agak tersentuh apabila melihat sahabat-sahabat lain yang masih mesra ikatan kekeluargaan sesama mereka antara ahli keluarga terutama di hari raya. Tapi aku bersyukur kerana masih lengkap ahli keluargaku berbanding dengan sahabat-sahabat lain yang sudah tidak berbapa,beribu. Itulah didikan yang sedang diserapkan ke dalam diriku iaitu apabila kita ditimpa ujian, jangan pandang orang yang di atas tetapi pandanglah orang yang di bawah. Sesungguhnya masih ramai lagi insan yang lebih malang nasibnya dari diriku. Segala ujian itu bentuk tarbiyah dari Allah & bukti kasih sayangNya pada kita. Ujian itu juga merupakan penghapus dosa. Jadi, jangan sesekali mengeluh dengan ujian yang diberikan oleh Yang Maha Berkuasa Atas sekelian Alam. Allah Maha Mengetahui segala yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Kita sebagai hamba hanya perlu belajar untuk redha dengan ketentuan Qada' Qadar Allah. InsyaAllah~

Hujan turun membelah sepi pagi
Dedaunan ditiup angin
Beralun molek..
Seolah memahami jiwaku ini
Yang mendambakan ketenangan
Fajar kan tiba
Lembaran hidup baru bermula
Perjuangan sebenar di hadapan mata
Adakah mampu untuk istiqomah?
Dalam mengamalkan segala amal
Yang dilazimkan tika ramadhan

Dapatkah kita pastikan...
Alunan ayat suci Al-Quran
yang melazimi bibir sebelum ini
tidak digantikan dengan
alunan lagu raya 
yang sudah sedia hafal liriknya

Dapatkah kita pastikan...
kekuatan beriktikaf di masjid
yang menjadi kebiasaan sebelum ini
tidak digantikan dengan
berjaga malam
hanya untuk menelaah pelajaran

Dapatkah kita pastikan...
Solat berjemaah
yang merupakan rutin harian sebelum ini
tidak digantikan dengan
"tidak sempat berjemaah, banyak tugasan lah."

Walau selemah manapun diri kita
Berdoalah supaya diberi kekuatan
Agar nafsu yang sudah tertunduk
Akan terus tersembam ke bumi
Biar iman yang mantap utuh tertanam
Dalam diri setiap insan
yang bergelar..
HAMBA ALLAH YANG HINA~
wallahualam~

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...